Topic

ACV (1) Addin (265) agenda kristian (3) Agong (1) Akhirat (2) Akidah (5) Al-Quran (23) Al-Quran Digital Readpen (3) Amanah (8) Anak yatim (2) apple cider (1) april fool (1) Aurat (1) Bajet (1) Bajet 2014 (1) Berita (67) Bonus (1) Cerpen (2) Cinta (25) Coklatminda (1) cuka epal (1) Derma (6) derma palestine (1) Doa (8) Doa Akhir tahun (1) Doa awal tahun (1) Ebook jana RM (13) Elaun (1) Famili (50) free (4) free cash (2) free cek (1) Gaji (12) Gaji Agong (1) gaji baru DG41 (8) gaji baru guru (6) Gaji baru guru 2013 (1) gaji kakitangan awam 2015 gaji 2015 (1) Gaji MP (1) Gaji PM (1) Gaji Sultan (1) Gambar menarik (191) games (1) Gula Stevia (2) Gula stevia air zam-zam (2) guru (2) guru berkesan (1) guru oh guru (1) Hadith (27) Halal (14) Halloween (1) hari guru (1) Hari ibu (1) Hijrah (11) Hudud (2) Hukum (10) ilearn (1) ilearn ace (1) ilearn sasbadi (1) ilearnace (1) ilmu (6) Imam Mahdi (1) internet (1) IRM (1) Islam (1) isreal (1) Isu (302) jadual gaji 2015 (1) Jaga aurat (1) jam azan (1) Jenaka (65) Jom belajar (35) Jom melabur (10) Kesihatan (147) Kiamat (2) komputer (3) Kristianisasi (1) laksa sarawak (1) laksa sarawak hj Manan (1) Make money (53) MAS (1) MAS MH17 (1) MAS MH370 (1) Meaning of life (1) MH17 (1) MH370 (1) mindtech education (1) My Qalam (4) myqalam 4 kids (1) onexox (1) online survey (1) pa (1) PAK21 (1) palestine (1) Pasport Khulafak (3) PasportRasul (4) paste laksa (1) paste laksa sarawak (1) pembelajaran online (1) percuma (5) perlindungan takaful (6) Pilihanraya (2) Plan Medical card (1) Plan Ummah (1) PM (2) Politik (4) promosi (1) PRU 12 (1) PruBSN (6) prubsn takaful (1) Rasul (2) Rasulullah saw (3) Raya (1) Renungan (153) Rezeki (14) RM percuma (2) rumah rasul (1) Saham akhirat (1) sajak guru (1) sajak guru oh guru (1) sasbadi (1) sasbadi online (1) SAVE PALASTINE (5) Sedekah (2) Seminar buat RM (2) Sesat (1) siapalah kita (1) sifir gaji SPBA (7) Sifir gaji SPBA terkini (6) sifir gaji SSM (3) simkad (1) simkad onexox (1) simkad RM10 (1) simkad termurah (1) SPBA (6) SPBA 2012 (3) spba batal (3) SSM 2012 (2) SSM baru (2) Stevia (1) Sultan (1) sunnah (3) survey (1) survey online (2) Syiah (1) Taat ibu bapa (1) takaful (6) takwim (3) takwim 2014 (1) takwim 2015 (1) takwim 2016 (1) Takwim persekolahan 2015 (1) takwim persekolahan 2016 (1) telur tiruan (1) umat (1) Ustaz Haslin (2) valentine (2) web hosting (4) xox (1) zionis (1)

Total Pageviews

Apr 19, 2009

Topeng murung

PASTI anda pernah mendengar cerita yang lebih kurang sama dengan dua kes di atas; jumpa ramai doktor dan makan pelbagai ubat tetapi sakit dialami tetap tidak hilang. Ada yang menganggap masalah begini disebabkan ‘buatan orang’, terutama apabila berat badan individu berkenaan susut mendadak. Gejala kesakitan dialami kedua-dua pesakit beransur kurang selepas berjumpa pakar psikiatri dan mendapat rawatan bersesuaian.


Dua-dua pesakit itu mengalami kemurungan, tetapi gejalanya muncul dalam bentuk kesakitan. Kebanyakan pesakit, terutama di Asia, datang berjumpa doktor kerana mereka mengalami kesakitan atau terasa tidak sihat dan bukan kerana masalah emosi.

Apa yang tidak diketahui pesakit dan kebanyakan doktor (pegawai perubatan) di klinik adalah, rasa sakit boleh menjadi topeng kepada kemurungan, kata Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr Yen Teck Hoe.

Masih ramai enggan berjumpa doktor kerana gangguan emosi kerana menganggapnya sebagai memalukan. Sebenarnya ia bukan perkara memalukan kerana kemurungan boleh berlaku kepada sesiapa saja, termasuk tokoh terkenal seperti Abraham Lincoln, Winston Churchill, Vincent Van Goh, Puteri Diana, Brooke Shields dan Jim Carrey.

Malah, kanak-kanak berumur lima tahun juga boleh mengalami kemurungan tetapi dengan gejala berbeza seperti ada masalah kelakuan, belajar serta lebih suka menyendiri. Antara gejala kemurungan yang perlu diperhatikan di kalangan orang dewasa ialah hilang minat terhadap aktiviti yang dulu disukai, tiada nafsu seks, selalu berasa sedih dan resah, sukar tidur malam dan menumpukan perhatian, selera makan berubah (kurang atau lebih berselera), sentiasa berasa penat dan tidak bersemangat serta dihantui rasa bersalah tanpa sebab munasabah.

“Lebih ramai wanita mengalami kemurungan berbanding lelaki iaitu pada nisbah 2:1 yang dipercayai disebabkan perubahan hormon. Bagaimanapun, banyak faktor lain menyumbang kepada nisbah berkenaan seperti budaya dan tanggungjawab kerana dalam kebanyakan budaya wanita mempunyai tanggungjawab besar — bekerja, menjadi isteri, ibu dan pengurus rumah tangga. Selain itu, sikap wanita yang lebih peka kepada kesihatan menyebabkan ramai tampil mendapatkan rawatan.

“Selain itu bagi lelaki, perkahwinan menjadi faktor yang boleh melindungi mereka daripada kemurungan, tetapi perkara ini tidak berlaku kepada wanita kerana sebaik berkahwin, tanggungjawab mereka bertambah.

“Kemurungan di kalangan wanita ditunjukkan melalui gejala tidak bersemangat dan rasa tidak berguna, sebaliknya lelaki menampilkan kemurungan dalam bentuk kemarahan dan mudah terganggu,” katanya pada bengkel media Hari Kesakitan dan Kemurungan Malaysia anjuran Eli Lilly (M) Sdn Bhd.

Jika diperhatikan gejala kemurungan yang disenaraikan, jelas menunjukkan ia lebih menjurus kepada gangguan emosi dan perubahan tingkah laku. Jadi bagaimana kemurungan boleh dikaitkan dengan kesakitan seperti dua kes di atas?

Menurut Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Nor Zuraida Zainal, kemurungan dan rasa sakit saling berkait. Apabila seseorang menghidap penyakit, dia ada risiko dua kali ganda dilanda kemurungan.

Sebaliknya individu yang murung pula biasanya hilang selera makan, sentiasa berfikiran negatif dan tidak lagi memberi tumpuan pada diri sendiri yang menyebabkan sistem imun lemah dan mereka mudah mendapat penyakit, termasuk jangkitan.

Kajian mendapati dua pertiga daripada pesakit yang menerima rawatan anti kemurungan dilaporkan mengalami kesakitan fizikal seperti kerap sakit kepala, pinggang, otot dan perut. Dalam satu pertiga kes, kesakitan fizikal ini berlanjutan lebih lama berbanding gejala kemurungan itu sendiri.

Bagaimana hubungan ini boleh terjadi? Antara penjelasan yang diterima ialah, kedua-duanya memberi kesan atau mendapat kesan daripada perubahan pada paras bahan kimia otak dan sistem imun badan, kesan sampingan ubat, rentetan perlakuan daripada cubaan membunuh diri dan faktor genetik.

“Kemurungan memberi kesan kepada paras neurotransmiter iaitu bahan kimia otak yang bertanggungjawab menghantar maklumat ke saraf. Dua neurotransmiter iaitu serotonin dan noradrrenalin terbabit dalam kawalan kemurungan dan kesakitan. Apabila seseorang mengalami kemurungan, paras neurotransmiter berkurang dan menyebabkan kesakitan lebih terasa.

“Semua orang mengalami rasa sakit tetapi tidak menjadi satu gangguan kerana ia dikawal oleh serotonin. Bagaimanapun, bagi orang yang mengalami kemurungan, paras dan aktiviti serotonin yang berkurang menjejaskan kawalan terhadap rasa sakit. Akibatnya, pesakit berasa lebih sakit,” katanya.

Pesakit murung biasanya datang dengan gejala fizikal seperti:

  • Penurunan atau pertambahan berat badan yang ketara

  • Tidak boleh tidur malam, tidur kerap terganggu atau terlalu banyak tidur

  • Keresahan melampau atau tidak berperasaan

  • Keletihan atau tidak bertenaga

  • Kesakitan fizikal (pada mana-mana anggota badan)

    Antara sakit fizikal yang biasa dialami pesakit murung ialah:

  • Sakit pinggang — Kira-kira 59 peratus pesakit kemurungan ada masalah sakit pinggang. Dalam kebanyakan kes, kemurungan, keresahan dan penyalahgunaan dadah mengalami kemurungan terlebih dulu sebelum sakit pinggang.

  • Sakit sendi (osteoartritis) pada pinggul atau lutut lebih kerap dialami pesakit tua.

  • Kanser — 47 peratus pesakit kanser mengalami masalah psikiatri, terutama jika kanser sudah merebak dan mereka berasa sangat sakit. Masalah psikiatri yang biasa pada pesakit kanser ialah kemurungan dan keresahan.

    Bagaimanapun perlu diingat, kemurungan tidak menyebabkan kanser tetapi kanser boleh mengakibatkan seseorang mengalami kemurungan.

    Pada masa sama, kebanyakan pesakit murung juga ada masalah kesihatan. Antara penyakit yang sering dikaitkan dengan kemurungan ialah:

  • Strok

  • Penyakit Alzheimer

  • Penyakit Parkinson

  • Penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD)

  • Serangan jantung

  • Artritis

  • Keretakan tulang pinggul

    Dr Nor Zuraida memberitahu pada individu berpenyakit, ada beberapa faktor risiko untuk mendapat kemurungan pada individu yang mempunyai masalah kesihatan iaitu:

  • Wanita

  • Tidak berkahwin

  • Tinggal sendirian

  • Pernah mengalami kemurungan

  • Menjalani sesetengah jenis rawatan

  • Penyakit sampai ke tahap serius

    Apabila mendapat rawatan, emosi pesakit bertambah baik dan kesakitan fizikal dialaminya juga akan hilang. Apabila bertambah ‘sihat’, ramai bertanya adakah mereka boleh berhenti mengambil ubat. Sesetengah pesakit malu apabila ada ahli keluarga bertanya sampai bila mereka (pesakit) perlu bergantung kepada ubat.

    Sikap ahli keluarga yang tidak memahami keperluan dan manfaat ubat ini boleh menyebabkan rawatan menjadi sukar, malah pesakit terdorong untuk berhenti mengambil ubat tanpa berbincang dengan doktor.

    Ramai pesakit dan ahli keluarga tidak sedar, memberhentikan pengambilan ubat secara tiba-tiba bermakna mereka memberi peluang tinggi (60 hingga 70 peratus) kepada kemurungan untuk menyerang semula. Ini bermakna risiko pesakit untuk mengalami kemurungan selepas berhenti mengambil ubat adalah sangat tinggi.

    Ada yang bertanya, adakah pesakit perlu mengambil ubat sepanjang hayat? Jawapannya ya dan tidak; walaupun kemurungan dikategorikan sebagai penyakit sepanjang hayat, kata Presiden Persekutuan Psikiatri dan Kesihatan Mental Asean (AFPMH), Profesor Dr Mohamad Hussain Habil.

    Bagi pesakit yang pertama kali berdepan masalah kemurungan, pengambilan ubat biasanya hanya untuk satu hingga dua tahun dan tempoh ini meningkat kepada dua hingga tiga tahun jika mengalami dua episod kemurungan.

    Namun jika memberhentikan sendiri pengambilan ubat, risiko penyakit datang balik adalah tinggi iaitu 50 peratus bagi pesakit yang kali pertama mengalami masalah ini, 75 peratus (dua episod kemurungan) dan 95 peratus bagi tiga episod kemurungan. Dalam ayat lebih mudah, lebih kerap seseorang mengalami kemurungan, peluang untuk penyakit berulang lebih tinggi jika berhenti mengambil ubat.

    Kemurungan adalah penyakit sepanjang hayat, tetapi dengan rawatan, pesakit boleh menjalani kehidupan normal, boleh bekerja, berkahwin dan mempunyai keluarga selagi mereka mengambil ubat.

    Kemurungan sama seperti penyakit kronik lain dan ia perlu dirawat. Kos rawatan kemurungan sebenarnya jauh lebih rendah berbanding penyakit lain. Contohnya kos rawatan kanser payudara peringkat kedua untuk enam bulan adalah sama untuk merawat kemurungan selama 20 tahun!

    “Namun yang lebih penting ialah mengenal pasti dan mendapatkan rawatan seawal mungkin. Ini sebabnya pengamal perubatan, terutama doktor di klinik yang menjadi barisan pertama ditemui pesakit, perlu peka terhadap gejala kemurungan, terutama kesakitan fizikal yang tidak dapat diterangkan.

    “Ubat tahan sakit tidak dapat mengatasi kemurungan. Malah ujian darah, ujian sinar-X atau imbasan CT tidak dapat mengesan penyakit ini yang akhirnya membawa pesakit kepada pengamal perubatan alternatif dan tradisional.

    “Lebih menyedihkan, ada pengamal tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan sama ada mengenakan bayaran lebih mahal berbanding kos rawatan di hospital atau mencabul kehormatan pesakit seperti banyak dilaporkan di akhbar,” katanya.

    Kajian mendapati 82 peratus pesakit murung yang mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan am tidak dirawat sementara 18 peratus lagi diberi ubat anti kemurungan dan daripada jumlah ini hanya 10 peratus pesakit menerima rawatan sewajarnya.

    Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1999 menunjukkan, kemurungan adalah penyakit keempat utama di dunia yang boleh menyebabkan seseorang hilang keupayaan dan kesengsaraan.

    Ia menjejaskan keupayaan mental dan fizikal yang memberi kesan besar terhadap kehidupan, kerjaya, hubungan sosial dan merendahkan kualiti hidup seseorang.

    Dianggarkan 121 juta penduduk dunia mengalami masalah kemurungan dan ia dijangka menjadi penyakit kedua utama penyebab ketidakupayaan menjelang 2020.

    Kajian Bebanan Penyakit dan Kecederaan Malaysia (2000) melaporkan kemurungan menjadi punca ketidakupayaan utama di kalangan wanita dan ada di tempat kedua bagi lelaki.

    Malah, keadaan ekonomi boleh menjadi faktor risiko kemurungan kerana pakar perubatan mendapati jumlah pesakit yang datang untuk rawatan kemurungan meningkat antara 10 hingga 20 peratus setiap kali berlakunya kemelesetan ekonomi.

    Dr Hussain berkata, pesakit dan ahli keluarga perlu ingat, kemurungan adalah gangguan mental yang tiada kaitan dengan gila. Oleh kerana gejalanya membabitkan perubahan emosi, ramai tidak menyedari mereka mengalami kemurungan.

    “Dianggarkan 10 hingga 15 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik mengalami kemurungan. Ini sebabnya pengamal perubatan am perlu memerhatikan jika pesakit turut menunjukkan gejala kemurungan dan bukan hanya fokus kepada kesakitan fizikal mereka.

    “Aduan kesakitan fizikal menyebabkan banyak kes kemurungan disalah diagnos, pesakit tidak diberi rawatan sewajarnya dan akibatnya penyakit bertambah buruk,” katanya.

    Dr Jessjit Singh memberi panduan mudah kepada pengamal perubatan am untuk mengenal pasti gejala kemurungan pada pesakit iaitu dengan bertanya tiga soalan iaitu:

  • Adakah anda berasa sedih setiap hari, terutama dalam tempoh lebih dua minggu kebelakangan ini? Individu murung akan memberi reaksi dan berfikiran negatif. Jadi ia memudahkan doktor mengesan masalah mereka. Ramai keliru antara kesedihan biasa dengan kemurungan. Kesedihan biasa hilang dalam masa satu hingga dua hari manakala kesedihan kemurungan berlanjutan lebih dua minggu.

  • Adakah anda masih suka melakukan aktiviti kegemaran? Individu murung hilang minat terhadap perkara diminatinya.

  • Adakah anda pernah terfikir untuk membunuh diri? Individu murung tiada niat membunuh diri, tetapi mereka tidak dapat mengawal otak daripada memikirkannya, terutama apabila tidak dapat tidur. Malah ada pesakit berkata, lebih baik jika mereka tidak terjaga daripada tidur langsung. Kajian mendapati 10 hingga 20 peratus pesakit pernah cuba membunuh diri.

    Pengesanan ini penting untuk membantu pesakit mendapat rawatan sewajarnya secepat mungkin, sekali gus mengelak kesilapan rawatan (ubat tahan sakit juga ada kesan sampingan tersendiri), mengurangkan kesengsaraan pesakit sekeluarga dan lebih penting, menyelamatkan mereka daripada cubaan membunuh diri.



    Panduan Umum Kemurungan

    Adakah anda mengalami:

    1. Tertekan atau berasa murung

    2. Hilang minat atau suka terhadap aktiviti

    3. Tidak bermotivasi dan semangat

    4. Sakit kepala, belakang, otot atau sendi

    5. Letih dan tidak bertenaga

    6. Pergerakan lembab atau resah

    7. Susah tidur pada waktu malam

    8. Berasa tidak berguna atau bersalah

    9. Selera makan bertambah atau berkurang

    10. Tidak dapat menumpukan perhatian

    11. Rasa hendak bunuh diri

    Jika anda menjawab ‘Ya’ kepada soalan 1 dan 2, serta ‘Ya’ untuk empat soalan lain, anda dinasihat mendapatkan penilaian perubatan pakar bagi menentukan sama ada anda mengalami kemurungan.
  • No comments:

    Post a Comment