Topic
Total Pageviews
Sep 30, 2012
Kalau kita dah takde....bagaimana hidup mereka???
kalau esok kita dah kembali menemuiNya......
meninggalkan dunia ini selama-lamanya....
Bagaimana agaknya kehidupan isteri dan anak-anak kita?....
susah @ senang???
Bagaimana hutang-piutang kita yang masih belum selesai???....
Mampukah mereka menyelesaikannya???
Cukupkah harta yang kita tinggalkan buat mereka???
Berapa lama harta kita dapat meneruskan kehidupan mereka???
Bagaimana kehidupan Mak dan Abah kita yang sangat-sangat mengharapkan perhatian kita???.....siapa yang akan membantu menampung kehidupan mereka???
Bagaimana kehidupan adik-beradik kita yang sangat harapkan bantuan kita?.....
Bagaimana kehidupan saudara-mara yang perlukan pertolongan kita???
Jan 12, 2012
HADIAH istimewa untuk masa depan anak-anak!!!
untuk dapatkan produk istimewa untuk penyubur minda anak-anak, untuk mencapai pencapaian yang lebih baik.....sila hubungi 0196434876/ 019-2407038.....semoga segala usaha kita diberkati olehNya
Apr 10, 2010
Ciuman beracun
Penyakit menular akibat berciuman.

TAHUKAH anda apa itu mononukleosis? Secara amnya, ia didefinisikan sebagai jangkitan yang dinamakan Epstein-Barr virus (EBV). Ia berupaya menyebabkan pelbagai simptom alahan seperti selesema, batuk dan juga sakit tekak.
Menurut Pakar Bedah Telinga dan Tekak, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Rahmat Omar, virus ini biasanya melibatkan kanak-kanak dan boleh merebak melalui rembesan air liur, batuk serta bersin.
![]() |
| DEMAM merupakan salah satu gejala awal. |
Antara petanda dijangkiti mononukleosis ialah pesakit mungkin berdepan dengan gejala seperti demam, kelesuan, hilang selera makan, sakit tekak dan bengkak kelenjar terutama di bahagian leher.
“Simptom ini juga menyerupai virus lain seperti sitomegalovirus (CMV) kerana mempunyai gejala yang sama. Bagaimanapun, doktor mungkin melakukan ujian darah bagi memastikan jangkitan itu disebabkan oleh mononukleosis.
![]() |
| DR. RAHMAT OMAR |
“Kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan setahun hingga remaja 18 tahun memang berpotensi untuk mendapat jangkitan ini. Orang dewasa memang jarang dijumpai,” ujarnya.
Sama seperti virus EBV, sekali dijangkiti virus CMV, virus itu akan berada di dalam badan pesakit seumur hidup.
![]() |
| SAKIT tekak mungkin petanda anda sudah dijangkiti. |
CMV juga bertindak menyebarkan virus melalui cecair badan seperti darah, air liur, air kencing, air mani dan susu ibu.
Individu yang mempunyai imunisasi yang lemah memiliki risiko yang lebih besar untuk dijangkiti CMV.
![]() |
| PENGAMBILAN antibiotik tertentu bagi merawat penyakit ini boleh menyebabkan ruam di badan. |
Jika seseorang itu hamil dan belum pernah terdedah kepada virus CMV, tetapi mempunyai jangkitan lain, virus itu boleh memberi kesan kepada bayi yang belum dilahirkan itu.
Kajian turut menunjukkan EBV boleh menjangkiti sel-sel epitelium orofarinks dan kelenjar saliva.
Justeru itu, pencegahan awal perlu diambil bagi memastikan jangkitan tersebut tidak menjadi serius sehingga mendatangkan kemudaratan pada kesihatan.
![]() |
| |
Pulih sendiri
Menurut Rahmat, jangkitan mononukleosis sering dianggap tidak serius kerana ia boleh sembuh dengan sendirinya tanpa perlu mengambil ubat-ubatan.
“Bukan bermaksud ia tidak berbahaya, maka tidak perlukan rawatan. Jangkitan itu akan pulih dengan sendirinya dalam masa tiga hingga empat bulan, bergantung pada imunisasi badan.
“Tempoh timbulnya inkubasi (simptom) ialah di antara empat hingga lapan minggu setelah dijangkiti. Tapi ada juga kes di mana penyakit ini merebak sehingga melebihi 18 bulan.
“Jika terdapat keradangan teruk pada tekak, pemeriksaan di bahagian tengkuk akan dilakukan bagi mengesan puncanya.
“Kalau pesakit dijangkiti, tekak mungkin akan mempunyai selaput berwarna putih dan kemerah-merahan.
“Pesakit tidak perlu bimbang tentang gejala ini melainkan jika ia berlarutan,” ujarnya sambil menunjukkan gambar rajah kerongkong.
Turut popular dengan gelaran kissing disease atau ‘penyakit berciuman’ di negara-negara Barat, virus tersebut juga boleh disebarkan kepada orang lain melalui ciuman oleh pesakit yang dijangkiti mononukleosis.
Di samping itu, perkongsian minuman, berus gigi ataupun barang solek seperti pelembap bibir juga berpotensi mengakibatkan jangkitan melalui saliva (air liur).
Disebabkan ia adalah sejenis virus, antibiotik seperti penisilin tidak akan membantu kecuali jika ada jangkitan bakteria.
“Antibiotik tertentu juga boleh menyebabkan ruam di badan. Kajian menunjukkan lebih 80 hingga 90 peratus akan mendapat ruam yang teruk jika diberikan antibiotik.
“Rehat secukupnya dan elakkan makanan yang boleh mengganggu keselesaan tekak kerana ia boleh membantu mengurangkan gejala ini daripada berlarutan,” jelasnya.
Bahana kencing tikus
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

BANYAK pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti kuman kencing tikus baru-baru ini.
Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun, Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.
Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan.
Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.
Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.
170 anak
“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.
“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat bakteria Leptospira membiak).
“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,” katanya.
Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.
“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.
“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan.
Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.
Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran makhluk perosak tersebut.
“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.
![]() |
| DR. INTAN |
Rumput
“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.
“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia.
“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan.
Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing tikus.
“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat leptospirosis.
“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya.
Gerudi
Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.
“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.
“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan bakteria ini.
“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.
Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan masing-masing.
“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.
“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.
Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.

“Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa sekitar 10 hari untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan gejala.
“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.
Seperti jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin, tetrasiklin dan doksisiklin.
“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira tinggi sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti kuman itu hanya mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan haiwan peliharaan mereka.
“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah pilihan utama namun ia tidak akan membunuh bakteria itu sepenuhnya sebaliknya hanya meredakan simptom jangkitan seperti demam panas, muntah, cirit-birit atau demam kuning.
“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya.
Nov 17, 2009
Himpitan saraf
Kebas belakang paha petanda abnormaliti saraf tunjang

KEBAS di bahagian kaki atau belakang paha yang kadang kala melibatkan kawasan pinggul sering sahaja dianggap remeh oleh kebanyakan daripada kita.
Dengan hanya menyapu salap panas atau mengurut, kesakitan dan rasa kebas tersebut hilang seketika, namun ia menyerang kembali tanpa mengira waktu.
Dalam istilah perubatan, kebas atau paresthesia merupakan satu keadaan di mana kawasan pada bahagian anggota badan seperti kaki dan tangan tidak boleh merasa.
Menurut Pakar Perunding Neurosurgeri (Bedah Otak dan Saraf) Hospital Kuala Lumpur, Dr. Azmi Alias, keadaan tersebut boleh menjadi lebih teruk sekiranya dibiarkan berlanjutan.
Tekanan terhadap saraf
“Kebas atau rasa mencucuk di bahagian aras pinggang hingga ke bawah merupakan antara simptom awal terhadap abnormaliti keadaan saraf tunjang di dalam tulang belakang,” katanya.
Azmi menjelaskan, gejala tersebut boleh berlaku akibat penyakit berkaitan saraf tunjang dan akar saraf yang secara umumnya dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Extradural (25 peratus), Intradural extramedullary (50 peratus) dan Intradural intramedullary (25 peratus), berdasarkan kepada kedudukannya dengan selaput saraf tunjang atau dikenali sebagai Dura Matter.
![]() |
| DR. AZMI ALIAS |
Tekanan terhadap saraf tunjang boleh menyebabkan pesakit mengalami gejala seperti lemah anggota kaki, hilang keseimbangan semasa berjalan, kebas, hilang kawalan autonomik terhadap pundi kencing dan kesukaran untuk membuang air besar.
“Tekanan terhadap akar saraf pula menyebabkan pesakit berasa sakit di bahagian belakang dan kadangkala renjatan yang menular ke sebelah bahagian peha dan betis,” jelasnya.
Bagi kategori Extradural, ia berlaku akibat penyakit di luar selaput saraf tunjang seperti Spondylosis, cakera (disk) tulang belakang terkeluar (PID), keretakan tulang belakang akibat kemalangan serta ketumbuhan.
“Bagi kategori ini, himpitan terjadi di kawasan luar saraf tunjang. Ini secara tidak langsung akan mengganggu bahagian saraf yang mengawal deria sentuh serta saraf motor,” ujarnya.
Bagi kategori kedua iaitu Intradural Extramedullary, ia berlaku akibat penyakit di dalam selaput dura tetapi di luar saraf tunjang seperti ketumbuhan Meningioma dan Schwannoma.
Bagi kategori ketiga pula, penyakit tersebut melibatkan saraf tunjang itu sendiri seperti ketumbuhan Ependymoma dan Astrocytoma, jangkitan saraf, penyakit vascular, syringomyelia dan demyelination.
Serang tidak kira masa
Menurut Azmi, gejala seperti kebas, rasa mencucuk pada mana-mana anggota tubuh terutama bahagian kaki perlu diambil perhatian oleh orang ramai.
“Malah, lemah anggota tangan atau kaki serta hilang kawalan pundi kencing dan sembelit memberi petanda terdapat masalah berkaitan saraf,” katanya.
![]() |
| |
Bukan sekadar itu, rasa kebas atau sakit akan timbul dan menjadi lebih teruk apabila melakukan kerja-kerja harian seperti membongkok, mengangkat barang atau keadaan posisi tubuh yang salah.
Tidak terhad di kawasan pinggul dan belakang paha, kesakitan turut merebak di anggota tubuh yang lain atau radiculopathy turut mengganggu keselesaan pesakit.
“Ada keadaan tertentu, pesakit boleh menjadi lumpuh akibat himpitan pada saraf ini,” jelasnya.
Di samping itu juga, kebas pada anggota kaki ini menyerang tidak kira masa. Malah, dalam keadaan tubuh sedang berehat, kebas ini masih terasa.
“Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa penyakit lain yang boleh menyebabkan gejala kebas seperti arteriosclerosis di mana salur darah di bahagian kaki menjadi lebih sempit menyebabkan pesakit mengalami gejala intermittent claudication termasuk sakit atau kebas di bahagian kaki dan hanya boleh berjalan sehingga beberapa meter sahaja.
Tambahnya lagi, penghidap penyakit kencing manis juga boleh mengalami gejala kebas di hujung jari tangan dan kaki.
Penggantian cakera
Mengenai rawatan, Azmi menjelaskan ia bergantung kepada jenis penyakit dan kerosakan yang berlaku sehingga menghimpit saraf tunjang dan ekor saraf.
“Sekiranya ia melibatkan kehadiran tumor, pembedahan perlu dilakukan bagi membuangnya. Sekiranya ia melibatkan cakera tulang belakang yang terkeluar, pembedahan bagi mengeluarkan bahagian cakera tersebut dan penggantian cakera boleh dilakukan,” katanya.
Tambahnya, ubat penahan sakit dan teknik Traction atau regangan tulang belakang turut dilakukan dalam sesetengah kes PID yang boleh mengurangkan tekanan terhadap akar saraf.
Dalam pada itu, Azmi menjelaskan pesakit perlu berjumpa doktor dan untuk menjalani pemeriksaan fizikal bagi mengetahui keadaan saraf dan kawasan yang terlibat.
“Untuk pemeriksaan tersebut, salah satu caranya ialah penggunaan peta titik saraf sebagai rujukan dan dari situ, pakar dapat mengetahui bahagian sebenar tubuh yang bermasalah,” katanya sambil menunjukkan gambarajah tersebut.
Lanjutan daripada pemeriksaan fizikal, pesakit perlu menjalani ujian imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) di bahagian tulang belakang bagi meneliti secara terperinci struktur saraf tunjang, akar saraf dan anatomi tisu sekelilingnya dengan lebih jelas.
Selain daripada itu, ujian X-ray dan CT Scan juga boleh dilakukan bagi mengetahui keadaan tulang belakang yang secara semulajadi berfungsi melindungi saraf tunjang pesakit.
Diabetes tandingi kanser
Semalam, Hari Diabetes Sedunia disambut. Adakah kita memahami mesejnya?

SEJENIS ubat tradisional berasaskan herba dikhabarkan begitu mujarab bagi menyembuhkan penyakit kencing manis atau diabetes.
Begitu juga dengan rawatan terapi khas yang mengiringi pengambilan ubat-ubatan tersebut.
Semua pernyataan di atas adalah suatu pembohongan!
Rekod klinikal membuktikan apabila seseorang menghidap diabetes, dia akan hidup bersama penyakit itu sehingga akhir hayatnya.
“Diabetes adalah penyakit kronik yang sehingga kini tiada penawarnya. Ubat-ubatan fungsinya hanya untuk mengawal.
“Oleh itu, usah percaya kepada sebarang ubat-ubatan yang dikatakan mampu ‘menyembuhkan’ diabetes sedangkan pesakit terus terikat untuk membeli bekalan ubat tersebut,” kata Konsultan Endokrinologi, Profesor Datuk Dr. Mafauzy Mohamed.
Tambah beliau, bagaimana penghidap itu dapat menjalani kehidupan normal walaupun ‘membawa’ penyakit tersebut sepanjang hayat bergantung kepada usaha mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang berkesan di samping memperbaiki gaya hidup.
Jumlah penghidap diabetes di Malaysia menunjukkan kenaikan yang membimbangkan.
Pada tahun 1996, sebanyak 6.5 peratus rakyat Malaysia di kalangan usia lebih daripada 30 tahun didiagnosis dengan penyakit tersebut dan meningkat kepada 9.5 peratus pada tahun 2006.
“Kebimbangan ini seiring dengan risiko penyumbang kepada penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, angin ahmar dan strok.
“Pada tahun 2006 saja, dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang yang berusia melebihi 18 tahun di Malaysia menghidap diabetes.
“Jumlah itu lebih tinggi berbanding mereka yang menghidap kanser atau AIDS,” terang Mafauzy kepada Jurnal.
![]() |
| |
Gemuk di pinggang
Ramai antara kita yang tidak sedar mengenai kecenderungan kumpulan tertentu dalam masyarakat yang berisiko tinggi mendapat diabetes.
Berita buruk ini bukan saja menakutkan mereka yang berusia di antara 40 hingga 50 tahun, bahkan menghantui wanita yang dalam fasa kehamilan, orang yang hipertensi, berpenyakit vaskular, dislipidaemia, serta mereka yang menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).
“Masalah kegemukan yang mencapai tahap obesiti juga membawa masalah lebih-lebih lagi jenis obesiti tengah iaitu kegemukan di bahagian perut dan pinggang.
“Kegemukan inilah yang menjadi punca utama rintangan insulin,” jelas Mafauzy.
Selain itu, faktor genetik sangat ketara dalam membentuk kemungkinan penghidapnya.
Mereka yang mempunyai sejarah diabetes dalam keluarga perlu berwaspada dengan kemungkinan tersebut memandangkan masalah itu boleh diwarisi.
“Jika bercakap tentang pecahan mengikut kaum, orang India mempunyai kecenderungan tertinggi bagi penyakit ini, diikuti oleh orang Melayu dan Cina.
“Statistik 2006 juga mencatatkan bahawa Negeri Sembilan dan Melaka mempunyai laporan kes diabetes paling banyak, sementara penduduk Sabah adalah yang terendah mendapat diabetes,” ulas beliau yang mengaitkan trend perangkaan itu dari sudut populasi kaum, gaya hidup berasaskan kuasa ekonomi serta corak pemakanan.
Mesej yang hendak disampaikan sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia semalam adalah penyakit ini perlu dicegah dan dikesan lebih awal supaya apabila sudah didiagnosis, ia perlu diuruskan secara lebih agresif.
Setiap tindakan awal boleh menghindar rentetan masalah kesihatan yang lebih buruk.
“Bagi pesakit diabetes Jenis 2, komplikasi miksovaskular sudah boleh dikesan semasa diagnosis.
“Ini termasuklah keseriusan masalah berkaitan deria penglihatan atau retinopati (12 peratus), nefropati (18 peratus), disfungsi erektil (20 peratus) dan neuropati (12 peratus),” kata Mafauzy.
Disiplin
Maka, langkah mencegah yang pertama adalah dengan meningkatkan kepekaan terhadap faktor-faktor risiko iaitu melalui pemeriksaan.
Jika diabetes dikesan, keberkesanan penjagaan diet ideal dan senaman fizikal perlu dipertingkatkan agar berat badan dapat dikurangkan.

Pesakit juga perlu berdisiplin dengan senaman yang dijalankan. Ujian klinikal dan kecergasan mengesyorkan senaman minimum adalah dengan berjalan kaki selama 30 minit sebanyak tiga kali seminggu.
Sementara itu, pengambilan ubat-ubatan hanya boleh dimulakan sekiranya perubahan gaya hidup tadi tidak menunjukkan sebarang impak positif selepas enam bulan.
Sehingga kini dianggarkan lebih 285 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes. Sebanyak 344 juta lagi tergolong dalam kategori mereka yang berisiko tinggi menghidapnya.
Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 25 peratus rakyatnya akan menghidap diabetes menjelang tahun 2020.
Apakah kita masih tidak mengambil peduli untuk mengubah anggaran tersebut, atau sekurang-kurangnya berubah demi kebaikan diri sendiri?
Hilang pendengaran kerana bakteria
Pusat jagaan harian kanak-kanak menjadi faktor utama kepada jangkitan dalam telinga (OME).

DEMAM yang tidak berpenghujung, kerap menangis dan tidak dapat tidur menjadikan ibu bapa Aqil gelisah.
Bukan itu sahaja, tahap kesihatan anak mereka yang berusia dua tahun itu semakin merudum sejak dihantar ke pusat jagaan harian kanak-kanak berhampiran pangsapuri mereka.
Setelah berlarutan selama hampir dua minggu dan keadaan tidak bertambah baik, Aqil dibawa berjumpa dengan pakar dan diagnosis dengan segera.
Hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu mengalami jangkitan dalam telinga yang disebabkan oleh bakteria.
Jelas Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Aminuddin Saim, gejala jangkitan ini dikenali sebagai Otitis Media atau jangkitan dalam telinga (OME).
“Bukan perkara luar biasa apabila seorang kanak-kanak berusia di antara dua hingga enam tahun mendapat penyakit ini. Namun, yang membimbangkan ialah ramai ibu bapa yang tidak sedar anak mereka menghidap penyakit ini,” katanya serius.
Bukan sekadar itu, pilihan yang terhad sehingga memaksa kebanyakan ibu bapa menghantar anak mereka seawal usia beberapa bulan selepas kelahiran ke pusat jagaan kanak-kanak menyebabkan penyakit ini semakin berleluasa.
Tegas Aminuddin lagi, kepadatan bayi dan kanak-kanak serta tahap kebersihan yang tidak dapat dipastikan di pusat jagaan itu menjadi faktor utama dalam penyebaran penyakit ini di kalangan kanak-kanak.
Menjelaskan lebih lanjut, Aminuddin berkata, OME merupakan jangkitan di dalam telinga terutama di kawasan selepas gegendang telinga.
Malah OME langsung tiada kaitan dengan telinga luar, tahi telinga atau aktiviti berenang.

Sambungnya lagi, kanak-kanak mudah mendapat OME selepas demam selesema. Seringkali ia terjadi seminggu selepas demam tersebut.
Paling utama, penyakit ini berlaku secara berulang-ulang. Lebih banyak kanak-kanak terdedah kepada persekitaran yang tidak bersih, lebih kerap jangkitan ini berulang.
Dalam kes jangkitan yang lebih kronik, jangkitan tersebut boleh menyebabkan gegendang telinga berlubang dan nanah yang berterusan.
“Lebih parah, cecair dalam telinga ini yang dibiarkan akan menanah dan akhirnya mampu merosakkan gegendang telinga,” kata Aminuddin.
![]() |
| |
Hilang pendengaran
Menyentuh mengenai kesan penyakit ini, sebanyak 10 hingga 20 peratus kanak-kanak yang tidak dirawat dengan segera bakal mengalami masalah pendengaran.
Bukan itu sahaja, kehidupan sosial kanak-kanak OME juga akan terjejas termasuk tahap pembelajaran mereka.
“Kanak-kanak OME cenderung untuk menjadi lebih agresif. Pertuturan mereka juga terjejas dan tahap kesihatan yang sering saja terganggu,” ujar Aminuddin yang membuat kajian penyakit ini beberapa tahun lalu melibatkan seramai 1,097 kanak-kanak prasekolah.
Malahan kanak-kanak OME cenderung mendapat radang otak, jangkitan pada tulang telinga serta mengakibatkan pekak berkekalan.
Bagi merawat OME, lazimnya pemberian antibiotik menjadi pilihan pakar kecuali jangkitan tersebut mencapai tahap kronik.
“Jika keadaan telinga menjadi kronik, pakar akan melakukan pembedahan kecil bagi memasukkan sejenis tiub bagi mengeluarkan cecair yang tersumbat di kawasan dalam telinga tersebut,” ujar Aminuddin.
Tambahnya, tiub tersebut bersifat sementara dan bertujuan menstabilkan tekanan dalam telinga. Selepas tiga hingga empat bulan, tiub itu akan terkeluar dengan sendirinya.
Dalam pada itu, lebih mengejutkan apabila laporan tersebut yang disiarkan dalam jurnal Otorhinolaryngol Pediatric mendedahkan sebanyak 13.8 peratus kanak-kanak menghidap penyakit ini.

Justeru, Aminuddin menggesa ibu bapa agar lebih prihatin dalam penjagaan anak-anak mereka terutama yang berumur enam tahun ke bawah.
“Paling utama, pilih pusat jagaan kanak-kanak yang mengutamakan kebersihan, tidak terlalu ramai serta peka terhadap perubahan kesihatan anak.
“Ini penting kerana OME menyerang secara senyap. Tiada simptom khusus kecuali anak mula meragam dan demam berterusan,” kata Aminuddin.
Oct 29, 2009
Faedah lelap seketika kepada pekerja
![]() |
| banyak organisasi di Barat yang menggalakkan para pekerja untuk mengamalkan tidur sebentar di waktu siang. - Gambar hiasan |
Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa tidur sebentar pada waktu siang merupakan suatu amalan harian yang telah dipraktikkan oleh masyarakat di negara-negara Barat mahupun umat Islam sejak dahulu.
Ia dianggap sebagai praktis berkesan untuk menyegarkan semula badan dan minda yang juga dipanggil sebagai power nap.
Menyedari pentingnya isu itu telah menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat beberapa tahun lalu membangunkankan National Sleep Disorder Association sebagai agensi khas untuk mengkaji dan mempromosikan akan kesan positif tidur di waktu siang kepada semua pihak terutama para pekerja.
Sebagai golongan pekerja dalam pelbagai sektor, perkara ini perlu diambil perhatian walaupun budaya tidur sekejap di waktu siang ini belum begitu popular di negara kita.
Bayangkan daripada pagi hinggalah ke petang kita terlalu terfokus kepada tugasan dan kerja sehingga kita lupa untuk memberikan tubuh badan dan minda waktu rehat yang optimum dengan kaedah yang tepat.
Banyak kajian yang telah dilaksanakan oleh para sarjana dalam mengkaji akan kesan tidur sebentar di waktu siang. Mereka juga menghasilkan bahan-bahan ilmiah yang memberikan fakta tentang kebaikan tidur di waktu siang ini.
Contoh buku popular yang boleh diperoleh di pasaran adalah seperti The Art of Napping at Work karya Anthony dan Anthony, Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping oleh Dinges dan Broughton dan sebagainya.
Para sarjana ini cuba menghimpunkan bukti-bukti secara saintifik tentang kebaikan tidur sebentar di waktu siang terutamanya bagi para pekerja dalam mengekalkan produktiviti kerja seharian yang mantap.
Telah dibuktikan secara saintifik bahawa waktu tengah hari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika.
Sistem pekerjaan yang kebiasaannya memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengah hari perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak selain daripada makan tengah hari, berbual-bual kosong dengan rakan-rakan, melayari Internet dan sebagainya.
Pada masa inilah sistem badan manusia bersedia untuk memanfaatkan fasa berehat setelah berjam-jam keletihan akibat dipengaruhi oleh faktor suhu persekitaran serta pendedahan dan penggunaan tenaga fizikal dan mental ketika bekerja.
Keletihan bekerja memuncak pada waktu tengah hari yang mana ia boleh mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah.
Fasa tengah hari ini dipanggil oleh para sarjana sebagai fasa kelesuan pada pertengahan hari. Tempoh untuk tidur pula dikatakan mencukupi dalam lingkungan 30 hingga 40 minit.
Ini adalah kerana waktu tidur yang berlebihan pula akan menyebabkan gangguan kepada tubuh badan yang akan menjadi lesu dan malas untuk bekerja semula.
Daripada segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala membantu dalam menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah dalam pengaliran darah dan oksigen, memperbaiki sel-sel badan dan mengendurkan otot-otot yang digunakan secara aktif semasa bekerja sejak pagi.
Daripada aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda dan perasaan akan menjadi lebih tenang daripada stres sebaik bangun daripada tidur dan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif, berkesan dan efisien menganjur ke petang hari.
Daripada perspektif Islam, tidur di waktu siang turut diiktiraf sebagai salah satu amalan yang baik.
Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa 'hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadah pada malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari'.
Tidur sekejap di waktu siang bertujuan untuk menyegarkan semula bukan sahaja jasmani, malah rohani seseorang untuk beramal ibadah dan melaksanakan rutin hariannya.
Atas kesedaran tentang implikasi positif daripada tidur sekejap di waktu siang ini, banyak organisasi di Barat yang menggalakkan para pekerja untuk mengamalkannya.
Sehingga ke satu tahap, dikatakan terdapat majikan yang menyediakan ruang yang khas untuk tidur sementara (yang lengkap dengan kerusi malas, kusyen, tuala muka dan haruman) bagi para pekerjanya selain daripada pantri atau kantin untuk makan.
Majikan atau pengurusan organisasi diharapkan faham akan keperluan rehat para pekerja. Cuba elakkan untuk mengadakan mesyuarat atau memberi sebarang tugas kepada pekerja sehingga mengganggu waktu rehat tengah hari mereka.
Begitu juga dalam kalangan pekerja yang perlu mengikis pandangan serong apabila terjumpa rakan-rakan yang tidur di pejabat dan tidak memberikan banyak masa untuk makan atau bersosial pada waktu rehat.
Begitu juga dengan para pelanggan di kaunter-kaunter perkhidmatan yang perlu faham dan tidak bersungut apabila sesetengah kaunter ditutup untuk memberi ruang rehat seadilnya kepada semua pekerja.
Mungkin amalan tidur sekejap sebegini belum kelihatan praktikal dan janggal dalam kalangan warga pekerja di negara kita. Pun begitu, pokok pangkalnya sebagai orang yang bekerja kita boleh cuba untuk mengadaptasi amalan tidur sekejap ini yang telah terbukti keberkesanannya dalam mengekalkan kecergasan dan kecerdasan diri.
Sebagai pekerja, jika fizikal, mental dan emosi kita dapat direhatkan sebentar pasti kita dapat mengekalkan prestasi kerja yang baik sehingga ke minit terakhir kita bekerja sehari-harian.
Awas puting bayi!

ADAKAH anak anda menggunakan puting bayi? Jika ya, anda mungkin perlu menghadapi kenyataan yang pahit hasil penemuan terkini bidang perubatan.
Kanak-kanak yang menggunakan puting bayi sebenarnya berisiko tiga kali ganda menghadapi kesukaran bercakap ketika usia mereka menjelang dewasa kelak.
Kajian saintis mendapati kanak-kanak prasekolah yang menggunakan puting bayi sekurang-kurangnya selama tiga tahun lebih cenderung mempunyai kesukaran membuat ucapan berbanding kanak-kanak yang langsung tidak menggunakan alat tersebut.
Penyelidikan tersebut turut membuktikan kanak-kanak yang menghisap jari juga menghadapi risiko lambat bercakap.
Kajian yang dijalankan sebelum ini oleh The American and Chilean adalah bagi mengetahui hubung kait antara tabiat suka menghisap ibu jari, penyusuan ibu dan penggunaan puting bayi bagi menenangkan bayi terhadap 128 orang kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun.
Mereka juga menggunakan ujian linguistik bagi mengenal pasti tahap normal perkembangan kebolehan bertutur dalam kalangan kanak-kanak tersebut terutama yang melibatkan sebutan dan bunyi huruf.
Menurut ketua penyelidik dari Universiti Washington, Dr. Clarita Barbosa, kanak-kanak yang menghisap jari, ibu jari atau puting bayi untuk tempoh sekurang-kurangnya selama tiga tahun akan mengalami gangguan dari segi perkembangan bahasa dan pertuturan sehingga tiga kali ganda.
![]() |
| BOTOL susu juga berupaya mengganggu perkembangan kanak-kanak. |
Berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu sehingga mencecah usia sembilan bulan dan langsung tidak menggunakan botol susu, risiko terhadap mereka amat rendah.
"Hasil ujian ini menjelaskan bahawa lebih lama penggunaan puting bayi, kesukaran untuk bertutur akan semakin meningkat," jelas Barbosa.
Tambahnya, walaupun keputusan ini memerlukan bukti yang lebih mendalam terutama melibatkan jangka masa penyusuan ibu, orang ramai harus melihatnya sebagai langkah berjaga-jaga.
Perdebatan mengenai penggunaan puting bayi tersebut telah lama merunsingkan ibu bapa kerana sesetengah kanak-kanak amat selesa menggunakan puting tersebut bagi menenangkannya.
Doktor gigi bagaimanapun berkata, penggunaan puting bayi pada keadaan tertentu berupaya mengubah pembentukan gigi apabila digunakan terlalu lama.
Kajian itu dilakukan oleh sebuah pasukan dari de Rehabilitacion Club De Leones Cruz del Sur dan Universiti Washington. Ia diterbitkan dalam jurnal BMC Paediatrics.

Penggunaan secara berlebihan
Penggunaan puting bayi secara berlebihan, secara salah atau terlalu lama sehingga melangkaui zaman persekolahan boleh membawa kepada masalah mulut dan gigi.
Gejala-gejalanya ialah:
* Gigi beralih posisi - Gigi tertolak ke depan menyebabkan gigi bawah dan atas bahagian depan tidak bertemu dengan baik.
* Kerosakan gigi (bahagian depan) - Berlaku jika puting bayi dicelup ke dalam bahan manis sebelum dihisap.
* Bernafas melalui mulut - Anak anda mungkin akan lebih cenderung untuk bernafas melalui mulut berbanding hidung. Keadaan ini boleh menyebabkan anak mengalami masalah air liur meleleh berpanjangan.
* Masalah pertuturan dan bahasa - Anak anda mungkin tidak dapat menggunakan sepenuhnya pergerakan lidah yang diperlukan untuk menghasilkan semua sebutan dan peluang mereka mungkin lebih tipis untuk menggunakan bunyi bagi tujuan berkomunikasi.
* Menggalakkan anak berhenti menggunakannya - Kebanyakan kanak-kanak berhenti menghisap puting bayi, jari atau ibu jari pada umur antara dua dan empat tahun. Bagaimanapun, menghisapnya terlalu lama melebihi enam atau tujuh tahun (ketika gigi kekal sedang tumbuh) boleh mengakibatkan masalah gigi dan mulut.
Oct 26, 2009
Katarak kerana proses penuaan
Oleh Profesor Dr. Muhaya Mohamad
Pakar Perunding Mata, Kuala Lumpur.
![]() |
| KESAN katarak jelas kelihatan pada kanta mata yang legap dan menghalang cahaya masuk ke dalam mata. |
Katarak ialah keadaan di mana kanta mata yang semula jadi adalah jernih semakin hilang kejernihannya sehingga menghalang cahaya masuk ke dalam mata. Lazimnya masalah ini berlaku disebabkan proses penuaan tetapi terdapat juga golongan muda yang mengalaminya.
Punca
Pesakit kebiasaannya akan mula mengalami kekaburan penglihatan dan silau apabila melihat ke arah cahaya yang terang. Kekaburan penglihatan ini berlaku secara perlahan-lahan dan pesakit berasa seolah-olah ada asap atau kabus di depan mata mereka. Lama kelamaan, penglihatan mereka menjadi semakin kabur, dan jika tidak dirawat mereka boleh menjadi buta.
Pembentukan katarak berkait rapat dengan proses penuaan, namun ada juga bayi yang baru lahir mengalami masalah ini. Ia dikenali sebagai katarak kongenital. Selain itu, katarak juga boleh berlaku akibat trauma ke atas mata, terutamanya apabila mata seseorang itu menerima hentakan atau tumbukan yang kuat.
Rawatan
Katarak boleh dirawat. Rawatannya mudah kerana pada peringkat awal, cermin mata boleh membantu mengembalikan penglihatan.
Namun, apabila katarak mula mengganggu penglihatan, pembedahan perlu dilakukan. Kanta yang hilang kejernihan itu perlu dikeluarkan dan diganti dengan kanta tiruan yang dibuat daripada plastik.
Pembedahan bagi merawat katarak dibuat dengan melakukan bius setempat sahaja dengan secara ubat titis sahaja. Pesakit akan kekal sedar ketika pembedahan dilakukan. Bagaimanapun, kaedah ini biasanya dilakukan pada pesakit tua sahaja.
Bagi pesakit kanak-kanak dan muda, bius am (bius penuh) akan diberikan dan pesakit tidak akan sedar sepanjang pembedahan dijalankan. Pesakit yang dibedah tidak akan berasa apa-apa dan biasanya pembedahan hanya mengambil masa antara 20 hingga 40 minit.
Masa sesuai untuk melakukan pembedahan katarak bergantung kepada keadaan pesakit. Bukan semua katarak, terutamanya pada peringkat awal, perlu dibedah. Pembedahan hanya perlu dilakukan jika katarak mengganggu penglihatan dan menjejaskan aktiviti harian seseorang.
Kita juga tidak perlu menunggu katarak menjadi 'matang' sebelum dibedah. Fahaman ini adalah konsep rawatan yang diamalkan 50 tahun dahulu ketika teknik pembedahan dilakukan tanpa bantuan mikroskop dan mesin canggih.
Kini, kanta yang tiada masalah katarak juga boleh dibedah untuk merawat masalah mata lain seperti rabun jauh yang teruk. Jadi, pembedahan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa yang difikirkan perlu.
Pemulihan
Pesakit kebiasaannya boleh mula bekerja selepas sebulan pembedahan, terutama bagi pembedahan yang memerlukan jahitan.
Ini adalah kaedah untuk katarak yang 'matang'. Namun, kini terdapat kaedah rawatan yang tidak memerlukan jahitan dipanggil fako-emulsifikasi.
Melalui kaedah ini, katarak dihancurkan dan 'disedut' keluar menggunakan alat khas yang halus.
Oleh itu, luka pada mata adalah jauh lebih kecil tanpa jahitan dan lebih cepat sembuh. Pesakit biasanya boleh mula bekerja selepas dua minggu menjalani pembedahan. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa kadang kala masalah katarak masih boleh berulang.
Bagi sesetengah pesakit, lapisan kulit katarak akan menebal dan menyebabkan kekaburan hanya dapat dirawat menggunakan rawatan laser YAG.
Rawatan laser yang sedia ada kini sungguh mudah, selamat, cepat dan tidak memerlukan pembedahan.
MSM untuk osteoartritis
![]() |
| ARTRITIS banyak dikaitkan dengan peningkatan usia tetapi sebenarnya boleh berlaku akibat faktor dan sebab berbeza. |
Perkataan artritis bermakna 'radang sendi' - maksudnya sendi yang kesakitan, berasa panas apabila disentuh, mungkin kemerahan warnanya, bengkak-bengkak, dan juga dikaitkan dengan kehilangan fungsinya. Osteo ialah perkataan Yunani yang bermakna 'tulang'.
Artritis bukan satu jenis penyakit sahaja dan mewakili bermacam jenis masalah sendi. Sebenarnya, lebih 100 keadaan yang berlainan boleh menjejaskan sendi dan tulang yang berhampiran, serta otot-otot dan tisu-tisu.
Jenis artritis yang paling biasa ditemui ialah osteoartritis (OA), yang berlaku apabila rawan yang menampan hujung tulang keras, lama kelamaan semakin merosot akibat proses kehausan dan kelusuhan mengikut peningkatan usia atau atas sebab-sebab tertentu. Kesannya adalah amat ketara.
Ini boleh terjadi akibat:
l Kehausan dan kelusuhan apabila kita semakin tua
l Kecederaan atau kemusnahan terhadap sendi yang berlaku sebelumnya akibat trauma (kecederaan) atau jangkitan.
l Rawan yang telah berubah sifat disebabkan oleh penyakit lain atau sememang pada asalnya adalah lemah dari segi genetik.
Rawan yang sihat adalah amat kuat serta anjal dan membolehkan sendi bergerak dengan licin tanpa sebarang rasa sakit. Tetapi, apabila ia diserang oleh penyakit seperti osteoartritis, rawan itu menjadi rosak dan kemudiannya beransur lusuh dan haus.
Proses penghausan ini berlaku secara berterusan sepanjang masa sehingga sedikit sahaja atau langsung tiada lagi rawan yang tinggal pada sendi yang terlibat, dengan itu menyebabkan tulang bergesel sesama tulang.
Dalam keadaan ini sendi anda mungkin mengeluarkan bunyi berkeriut. Kesakitan dan kekakuan yang dirasai merupakan perkara biasa dalam penyakit osteoartritis yang teruk.
Nutrien untuk sendi
i) Methilsulfonilmethana (MSM)
MSM ialah nama ringkas bagi sejenis suplemen diet yang dikenali sebagai Methilsulfonilmethana. MSM ialah bentuk organik bagi sulfur, iaitu nutrien yang ketiga paling penting dalam badan kita. Malah, sulfur adalah amat penting untuk kehidupan, oleh itu ia dijumpai di mana-mana sahaja, baik dalam setiap sel mahupun dalam setiap tumbuhan dan juga binatang.
Walaupun ia boleh didapati dalam makanan kita - seperti daging, ayam dan itik, ikan, telur, produk tenusu - kebanyakan khasiatnya hilang begitu sahaja semasa pemprosesan. Oleh itu mengambil suplemen daripada sumber MSM yang baik, berpotensi untuk memberikan manfaat yang besar.
Dengan gabungan keupayaan glukosamin dan kondroitin untuk membina semula rawan, MSM terbukti menjadi satu ramuan penting untuk rawatan artritis dan lain-lain penyakit sendi degeneratif. Gabungan 3-dalam-1 yang bersinergi ini telah pun diiktiraf sebagai suatu perkara asas bagi sebarang regimen rawatan anti-artritis.
Menyokong sendi dan tisu sambungan yang sihat; contohnya, tendon, rawan, urat rawan, otot.
l Mengukuhkan tisu sambungan yang membentuk sendi
l Mengurangkan kekakuan dan kebengkakan
l Memperbaiki keanjalan sendi
l Mengurangkan kesakitan yang dikaitkan dengan artritis.
Manfaat-manfaat MSM yang lain ialah:
l Mempertingkatkan kelembutan kulit
l Memberi kilauan pada rambut dan kuku, dan tidak mudah retak atau pecah.
ii) Glukosamin
Merupakan sejenis sebatian semula jadi yang dijumpai dalam rawan yang sihat. Glukosamin adalah unsur biasa bagi glikosaminoglikans dalam matrik rawan dan cecair sinovial. Molekul ini digunakan dalam pembentukan dan membaiki rawan.
iii) Kondroitin
Merupakan jenis glikosaminoglikans yang paling banyak dijumpai dalam rawan dan ia bertanggungjawab terhadap ketahanan dan kebingkasan rawan. Ia bertindak sebagai 'magnet air.' Keupayaan kondroitin untuk membendung kehilangan air memberi ketegasan kepada rawan dan juga bertindak sebagai 'penyerap hentakan.'
Mengambil suplemen glukosamin dan kondroitin membantu:
l Melegakan sakit sendi
l Membina semula rawan
l Mempertingkatkan keanjalan
l Melincirkan sendi
l Memupuk tisu sambungan yang sihat
l Mengurangkan kekakuan.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kajian menunjukkan suplemen glukosamin dan kondroitin 2-dalam-1 adalah jauh lebih berkesan untuk merawat osteoartritis sederhana sehingga kepada yang tenat berbanding ubat anti radang yang berkuasa (celecoxib), walaupun glukosamin atau kondroitin itu diambil secara bersendirian sekalipun.
Yayasan Artritis Amerika juga mengesyorkan agar memulakan MSM dengan dos yang lebih kecil dahulu (bersama glukosamin dan kondroitin), iaitu sebanyak 500 miligram (mg) dua kali sehari dan menambahkannya beransur-ansur kepada 1,000 mg dua kali sehari. Setelah mula mengambil MSM, berikan masa yang berpatutan untuk melihat sebarang manfaat.
Kesimpulannya, untuk mendapat manfaat kesihatan sendi yang bersinergi, glukosamin sulfat dan kondroitin seharusnya diambil bersama MSM kerana glukosamin sulfat dan kondroitin membekalkan rawan nutrien yang menjadi blok pembina, manakala MSM pula membekalkan sulfur yang diperlukan untuk mewujudkan keutuhan tisu sambungan.
Sila rujuk kepada ahli farmasi anda hari ini juga tentang formula 2-dalam-1 Glukosamin dan Kondroitin bersama MSM yang amat dipercayai dan supaya anda dapat mengucapkan selamat tinggal kepada penyakit osteoarthritis dan sakit sendi.
Petua kesihatan untuk penghidap osteoartritis:
l Senaman yang kerap mengekalkan keanjalan sendi dan membantu meningkatkan kekuatan otot.
l Kurangkan berat badan bagi mereka yang gemuk atau mempunyai berat badan yang berlebihan - kerana mengawal berat badan adalah penting untuk mencegah serta memperlahankan kemaraan osteoartritis yang melibatkan sendi yang menanggung beban berat badan (lutut dan pinggang) dan juga bahagian bawah belakang.
l Mengambil suplemen seperti glukosamin dan kondroitin telah terbukti dalam beberapa kajian sebagai dapat melegakan sakit dan memperbaiki fungsi sendi dalam osteoartritis yang sederhana hingga kepada yang tenat.
l Untuk mendapatkan manfaat yang lebih baik dalam melegakan sakit sendi, ambillah glukosamin dan kondroitin bersama MSM.
* Artikel ini disumbangkan oleh Pahang Pharmacy Sdn. Bhd. Untuk maklumat lanjut mengenai MSM, Glukosamin dan Kondroitin sila e-mel ke livewell2u@pahangpharmacy.com.my atau hubungi Stay-well to Live-well INFOline 03-61407605, Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.
Oct 21, 2009
Kelam-kabut sindrom penyakit
SEIMBAS pandang, pelajar lelaki berusia 10 tahun yang dikenali dengan nama ringkasnya, Alim langsung tidak berbeza dengan rakan-rakan sebayanya yang lain sehinggalah guru sekolahnya kerap menegur tingkah lakunya yang suka melanggar meja dan kerusi secara sembrono.
Suatu hari, gurunya melihat koordinasi pergerakan Alim agak berbeza berbanding rakan-rakannya termasuk lambat dalam menyalin sesuatu yang ditulis di papan tulis, lalu akhirnya dia menyarankan agar Alim dibawa berjumpa pakar perubatan.
Diagnosis dan ujian yang dijalankan mendapati, tingkah laku kelam-kabut Alim itu sebenarnya berpunca daripada abnormaliti pada sistem motor dan saraf dalam tubuhnya.
Dikenali sebagai Dysprexia, penyakit ini umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.
Pakar Runding Psikitri Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh menjelaskan, dysprexia yang banyak dihadapi kanak-kanak lelaki sebenarnya mampu dikesan dari awal lagi.
Gagal ikat tali kasut
“Dysprexia atau istilah mudahnya sindrom kanak-kanak kelam-kabut, merupakan satu keadaan yang tidak ubah seperti autisme, dylexia, dan kanak-kanak hiper aktif (ADHD).”
“Namun yang membezakannya ialah dysprexia melibatkan ketidakjajaran pergerakan motor anggota badan dan otak,” jelasnya.
Tambah Nor Hamidah, simptom awal dysprexia boleh dikesan pada setiap peringkat perkembangan motor bayi iaitu daripada merangkak dan berjalan.
![]() |
| INDIVIDU yang cantik dan seksi tidak terkecuali daripada mengalami dysprexia. - Gambar hiasan |
Daripada perkembangan ini, pakar akan melihat sebarang abnormaliti yang wujud terutamanya dari aspek mengimbangkan diri, sensitiviti terhadap sentuhan dan pergerakan fizikal yang berterusan.
“Paling mudah untuk mengesannya ialah kanak-kanak tersebut sukar mengimbangi diri ketika berbasikal, mengikat tali kasut serta sering melanggar objek sewaktu berjalan,” ujarnya.
Pelakon remaja yang terkenal menerusi siri filem Harry Potter, Daniel Radcliffe sebagai contoh, merupakan salah seorang pengidap dysprexia. Meskipun, tidak mempunyai masalah untuk menghafal skrip filem-filem lakonannya, Radcliffe akan menghadapi masalah apabila mahu mengikat tali kasutnya.
“Disebabkan gagal melakukan perkara semudah mengikat tali kasut, saya melalui fasa kehidupan yang sukar ketika zaman persekolahan dulu,” ujarnya kepada akhbar Britain, Daily Mail.
![]() |
| NOR HAMIDAH MOHD. SALLEH |
Kesukaran kawal pernafasan
Dalam pada itu, selain melibatkan pergerakan, Dysprexia Oral pula merupakan gangguan melibatkan ketidakjajaran perkembangan linguastik atau fonologi ketika bercakap.
“Masalah ini akan menyebabkan pesakit sukar mengawal organ pertuturan, membuat bunyi-bunyian, serta menyatakan perkataan secara berturut-turut termasuk membina ayat daripada perkataan,” jelas Nor Hamidah.
![]() |
| |
Bukan itu sahaja, mereka juga mengalami kesukaran mengawal pernafasan dan lambat dari segi perkembangan bahasa.
Bagi pengawalan koordinasi motor halus, ia mengakibatkan pesakit termasuk individu pada peringkat dewasa mengalami masalah untuk menulis dengan tangan.
Lebih malang, ketidakseimbangan koordinasi ini turut membuatkan pesakit sukar menjalani rutin harian seperti membutangkan baju, menggunakan sudu dan garpu serta membuka penutup botol.
“Koordinasi yang tidak simbang melibatkan saraf motor ini akan berterusan dan menyebabkan pesakit sering terlanggar objek, tidak kira kecil atau besar,” ujarnya.
Tambah beliau, kes terjatuh tanpa sebab, tidak dapat mengagak kedudukan objek serta gagal melakukan dua tugasan serentak juga merupakan sebahagian daripada masalah dysprexia.
“Ada kes yang lebih teruk, mereka sukar mengesan arah kanan atau kiri apabila mata ditutup serta terlupa pada pergerakan seterusnya ketika melakukan sesuatu seperti ketika sedang berjalan,” kata Nor Hamidah.
Tiada rawatan khusus
Menyentuh mengenai rawatan, Nor Hamidah menjelaskan bahawa tiada rawatan khusus bagi penyakit namun rawatan terapi dapat memperbaiki koordinasi pergerakan pesakit ini.
Nor Hamidah memberitahu, sekiranya dibiarkan begitu sahaja, kanak-kanak tersebut akan membesar dengan keadaan kurang keyakinan diri, pemalu, kurang matang dan sensitif.
“Disebabkan itu, kanak-kanak yang mengalami masalah tersebut perlu dibiarkan bermain dengan pasir, tanah liat termasuk memanjat serta berlari di taman permainan bagi melatih koordinasi dan sensitiviti pergerakan motor tubuh,” jelasnya.
Oct 17, 2009
Merawat luka tak nampak
SELEPAS berlakunya bencana, bantuan dana atau fizikal sahaja tidak mencukupi. Rawatan kaunselor juga diperlukan untuk merawat luka yang tidak nampak di samping memulihkan semangat mereka yang hilang.
KEHILANGAN insan tersayang, tiada makanan, hilang tempat tinggal pasti meninggal luka di hati. Sedih dan kecewa kerana segala yang berlaku dihadapi tanpa persedian. Bagaimana hendak meneruskan kehidupan? Semuanya tidak berguna lagi, emosi menjadi tidak stabil. Akhirnya, diri hidup tanpa hala tuju dan kemurungan. Lebih baik diri berputus asa dan hanya bergantung pada nasib.
Ketika ini mungkin anda bersimpati dengan nasib mangsa gempa bumi di yang melanda di Padang, Sumatera Barat, Indonesia. Ribuan mereka yang meninggal dunia dan hilang meninggalkan trauma kepada mereka yang hidup. Yang masih ada di muka bumi ini pula berfikir bagaimana ingin hidup dalam kekurangan.
Sebagai negara jiran, adakah kita turut mengalami perasaan yang sama? Agak sukar bukan seandainya, suatu hari nanti kita menerima dugaan yang sama. Namun, di sebalik bencana yang melanda ini, terdapat segelintir pelajar Malaysia yang belajar di Universti Andalas, Padang trauma dengan kejadian ini. Dek takut stres yang mungkin dialami sekiranya berhadapan bencana yang sama, ada yang enggan sambung pengajian semula di sana.
Umum mengetahui stres yang melampau boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan emosi, malah jika ia berlarutan, mereka yang mengalaminya berdepan masalah tidak mampu berfikir dengan baik sekali gus gagal mengecapi nikmat kehidupan seharian.
Bagaimanapun, kebanyakan pakar berpendapat, stres yang sedikit perlu sebagai motivasi diri untuk lebih maju dan berjaya di samping menuntut kita untuk sentiasa berada dalam keadaan peka dan bersedia.
Sama ada sedar atau tidak, stres dalam jangka panjang menjurus kepada risiko pelbagai masalah kesihatan mental seperti kegelisahan, kemurungan, pemakanan tidak teratur dan penyalahgunaan dadah.
Malah, stres juga dikaitkan beberapa penyakit berbahaya seperti migrain, ulser, pedih ulu hati, tekanan darah tinggi, PMS, ketidaksuburan, obesiti, sindrom pencernaan yang terganggu serta pelbagai masalah kulit.
Walaupun sukar mengelakkan punca stres secara menyeluruh, kita mampu berusaha untuk menangani tanda awalnya dengan menjana sikap positif melalui minda dan emosi.
Amerika Syarikat misalnya, mewujudkan Klinik Stres Tentera untuk tenteranya yang berkhidmat di Iraq.
Kebanyakan mereka stres akibat pertempuran atau kekecewaan disebabkan perceraian kerana
terlalu lama meninggalkan rumah.
Hasilnya, selama beberapa jam atau mungkin beberapa hari, askar yang berdepan dengan masalah boleh berbincang mengenai masalah mereka, menerima rawatan atau semata-mata tinggal di klinik untuk seketika bagi berehat.
Kajian tentera atau badan bebas menunjukkan ramai veteran perang Iraq atau Afghanistan memperlihatkan mereka berdepan masalah psikologi apabila pulang kelak.
Lebih memeritkan ada antara mereka yang membunuh diri. Ibu pejabat tentera Amerika di Washington mengakui lebih cepat masalah stres ditangani di medan tempur, kejayaan merawat mereka akan lebih berkesan.
Ini antara segelintir contoh yang boleh diambil iktibar. Justeru itu, mereka yang berdepan dengan bencana seperti gempa bumi juga perlu dibantu agar mereka dapat menangani stres.
Sokongan sosial
Menurut Pegawai Pendidikan Kesihatan, Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan, Kuala Lumpur, Khairulnissa Abdul Kadir, apabila bencana atau musibah berlaku, bantuan kaunseling perlu diberi kepada mangsa.
Ia penting untuk memberi sokongan sosial kepada mangsa.
Stres merupakan tindak balas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap tuntutan.
"Stres tidak semestinya mendatangkan kesan negatif. Tapi jika berlebihan, berterusan untuk jangka masa yang panjang, kerap berlaku dan tidak dapat ditangani dengan berkesan boleh memudaratkan," jelasnya.
Tambahnya, terdapat tiga kategori punca stres iaitu individu, rumah dan tempat kerja.
Pertama, ia melibatkan personaliti, cita-cita dan harapan kendiri, harga diri, rasa selamat, keyakinan, maruah dan ketidaksabaran.
Selain itu, stres juga berpunca daripada perasaan takut gagal, perubahan dalam status kesihatan. Bahkan, perbandingan dengan orang lain seperti rakan sekerja, jiran dan ahli keluarga boleh menimbulkan stres. Hal yang sama berlaku sekiranya pelabelan (diberi gelaran) oleh orang lain seperti pemalas, bodoh dan kedekut.
Contohnya, bencana gempa bumi yang berlaku baru-baru ini menimbulkan perasaan trauma di kalangan pelajar Universiti Andalas sehingga menimbulkan kebimbangan. Ada antara mereka takut hal yang sama berlaku.
Sekiranya hal ini tidak dibendung kemungkinan menyebabkan gangguan psikologi seperti stres.
"Rumah juga boleh menyebabkan stres seperti konflik antara tuntutan kerja dan kehidupan keluarga. Selain itu, kombinasi faktor-faktor seperti kedua-dua ibu bapa bekerja, ibu bapa tunggal, kerja syif dan waktu bekerja yang tidak teratur boleh meningkatkan stres," katanya.
Berdasarkan faktor ini, kita boleh berkongsi kemungkinan mangsa bencana yang kehilangan ahli keluarga juga stres. Kehilangan ibu bapa dan rumah yang musnah mengundang emosi yang tidak stabil.
Ada di kalangan mangsa trauma dan tertekan melihat keadaan rumah pusaka sehingga menyebabkan pengsan.
Simptom-simptom
Bagi masyarakat yang bekerja, stres juga boleh wujud di tempat kerja.
Ini berpunca daripada komunikasi yang tidak berkesan, kepimpinan yang lemah, objektif dan struktur organisasi yang kurang jelas.
Menurut Khairulnissa, simptom-simptom stres melibatkan fizikal dan psikologi.
" Mereka yang stres pasti mengalami gangguan fizikal seperti kenaikan kadar denyutan jantung, tekanan darah, sakit kepala, sakit perut, cirit-birit, sakit belakang, sakit leher dan sakit-sakit badan. Golongan ini juga mengalami gangguan psikologi seperti perasaan terganggu dan cepat naik marah. Mereka juga tidak dapat menumpukan perhatian atau rileks," ujarnya.
Selain itu, stres mengakibatkan kurang penumpuan, daya ingatan, tidak dapat berfikir secara logik dan membuat keputusan. Secara tidak langsung, ia menyebabkan kelesuan, gelisah, risau, masalah tidur, selera bertukar, berfikiran negatif, berasa diri tidak berharga, tidak ada harapan lagi serta cenderung untuk mencederakan diri sendiri.
"Sekiranya masalah ini berterusan, ia memberi kesan gejala tingkah laku. Misalnya, merokok keterlaluan, penyalahgunaan dadah dan alkohol, masalah tabiat makan, mengabaikan penjagaan diri dan tingkah laku yang agresif atau yang tidak menghiraukan akibat," jelasnya.
Khairulnissa berkata, kesan sosial stres turut wujud iaitu masalah perhubungan dengan orang lain, curiga, cepat marah, mudah tersinggung, mengasingkan dan memencilkan diri.
Justeru itu, mereka yang berhadapan dengan stres tidak kira dalam apa jua situasi termasuk bencana perlu menangani stres secara berkesan.
Tambah Khairulnissa, golongan ini perlu mendapatkan sokongan sosial yang boleh didapati daripada ibu, bapa, adik-beradik dan rakan kerja.
Bagaimana dengan mereka yang kehilangan insan tersayang semasa bencana? Dalam konteks ini, sokongan sosial daripada organisasi atau badan bukan kerajaan amat penting.
Misalnya, Persatuan pekerja, wanita, ibu tunggal serta kaunselor sukarela.
"Ada banyak sebab bagi stres, namun yang penting adalah cara menanganinya. Orang terdekat adalah individu bertanggungjawab untuk mengenalpasti faktor itu.
"Satu caranya ialah melapangkan masa untuk menjadi pendengar yang baik. Individu yang pernah cuba membunuh diri biasanya memendam rasa. Besar kemungkinan dia akan kembali mencuba. Walaupun dirawat, mereka masih lagi
memerlukan perhatian. Mungkin hal sama boleh berlaku kepada mereka yang trauma akibat bencana atau peristiwa sedih," katanya.
Kaunselor
Selain itu, sekiranya mereka memiliki sistem sokongan yang kuat, terutamanya daripada ahli keluarga yang prihatin, masalah ini boleh diatasi. Mungkin ada yang malu mengakui mereka perlu mendapatkan rawatan kaunselor kerana bimbang dikategorikan sebagai pesakit mental,
dipinggirkan keluarga dan masyarakat.
Justeru, tahap stres akan meningkat dan daripada masalah kemurungan kecil ia bertambah besar hingga mereka mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.
Selepas berlakunya bencana, bantuan dana atau fizikal sahaja tidak mencukupi. Rawatan kaunselor juga diperlukan untuk merawat luka yang tidak nampak di samping memulihkan semangat mereka yang hilang.
Bagi mereka yang ingin menangani stres secara positif, Khairulnissa mencadangkan agar makan secara sihat, bersenam selalu, tidak merokok, tidur dan rehat yang mencukupi serta belajar untuk rileks.
Kenali jenis hernia pada si kecil
![]() |
| UMBILICAL Hernia yang muncul di kawasan pusat harus dirawati segera. |
Salah satu jenis penyakit yang kerap dialami oleh kebanyakan bayi ialah hernia.
Pakar Bedah Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Nanda Kumar Rajendram berkata, hernia ialah satu benjolan tidak normal bagi organ dalam melalui pembukaan normal atau tidak normal.
Jelasnya, faktor-faktor yang menyebabkan hernia ialah kelemahan pada dinding di dalam perut seperti yang berlaku pada pesakit obes .
Tambahnya, terdapat pelbagai jenis hernia yang perlu diketahui oleh ibu bapa supaya mereka boleh mengenalpasti rawatan yang bersesuaian untuk anak mereka.
"Secara umum terdapat dua jenis hernia iaitu dalaman (internal) dan luaran (external). Internal bermaksud hernia yang berada di dalam tubuh dan tidak boleh dilihat secara mata kasar.
Contoh bagi hernia jenis ini ialah diafragmatic hernia yang terjadi apabila terdapatnya celah di diafragmatik (otot pemisah antara bahagian perut dengan dada). Ini berlaku kerana pembentukan diafragma yang tidak sempurna.
"Apabila hernia ini terjadi kepada bayi, doktor boleh mengesannya apabila melihat kesan yang amat ketara pada pernafasan selepas lahir," jelasnya ketika ditemui di kliniknya di Kelana Jaya, Selangor.
Sementara, external lebih mudah dikesan kerana dapat dilihat dari luar. Jenis yang sering ditemui ialah hernia inquinal yang muncul di lipatan paha dan umbilical hernia yang muncul di kawasan pusat. Bayi umumnya mengalami external hernia yang boleh dilihat dengan mata kasar.
Hernia umbilical berlaku apabila kandungan isi usus membentuk satu bonjolan di kawasan pusat di mana ada kelemahan sokongan di dinding perut.
Biasanya penyakit ini menyerang bayi baru lahir. Ia disebabkan oleh salur darah Umbilical yang membekal makanan untuk fetus membesar di dalam rahim tertutup dan tidak sempurna.
"Kadar Hernia Umbilical pada bayi baru lahir adalah sebanyak 20 peratus dan pada kebiasaannya tidak terbabit dengan penyakit lain. Jika bayi pra-matang, risikonya lebih tinggi. Hernia jenis ini biasanya kelihatan seperti bonjolan kecil pada bawah kulit pusat yang tertonjol keluar apabila perut bayi ditekan atau ketika bayi menangis. Ia bergantung pada saiz, ada sekecil 1 cm dan ada yang melebihi 5 cm.
"Jika bayi terlalu kecil, kita tunggu sehingga umurnya mencecah tiga hingga empat tahun untuk buat pembedahan. Dalam pada itu, ibu bapa perlu memberi perhatian yang lebih lagi kepada bayi mereka supaya bayi tidak selalu menangis atau sukar membuang air besar kerana kedua aktiviti seperti menangis dan meneran hanya akan memberi lebih tekanan kepada hernia tersebut," jelasnya.
Menurut Dr. Nanda, hernia bersaiz kecil berukuran lebih kurang 1 sentimeter (cm) pada bayi biasanya akan tertutup sendiri tanpa perlu rawatan pada usia tidak lebih empat tahun.
Hernia jenis Umbilical, menurut Dr. Nanda, kebiasaannya tidak mendatangkan masalah atau kesakitan tetapi kadangkala ia boleh menyebabkan kesakitan, terutama jika saiznya besar.
Risiko hernia dan rawatannya
Menurut Dr. Nanda, ada kalanya usus yang tersumbat di dalam rongga boleh mengalami kereputan apabila bekalan darah berkurangan dan tiada bekalan oksigen. Apabila ia terjadi, ia boleh membahayakan pesakit.
"Terdapat dua kaedah pembedahan untuk merawat hernia. Untuk bersaiz kecil di bawah 5 cm, torehan kecil dibuat di bawah pusat manakala kawasan hernia dibuang dan ditutup dengan beberapa jahitan benang yang tidak reput.
"Bagi hernia bersaiz besar, jaringan diperlukan dan ia akan diletak di bawah kawasan lubang hernia sebelum ditutup dengan jahitan. Pesakit dibius keseluruhan dan proses pemulihan berlaku dengan cepat, membolehkan melakukan aktiviti normal selepas dua minggu.
"Selain pembedahan konvensional, kini terdapat terapi yang tidak invasif tanpa memerlukan torehan yang besar iaitu menggunakan teknik laparoskopik. Sebanyak tiga torehan kecil sepanjang antara 5 hingga 10 mm dilakukan.
"Rawatan ini memerlukan kepakaran yang amat tinggi bagi memungkinkan penyembuhan yang lebih cepat. Paling penting, risiko hernia berulang adalah amat rendah menggunakan pembedahan laparoskopik berbanding pembedahan konvensional.
Kelebihan pembedahan laparoskopik ialah pesakit mengalami kesakitan yang amat kurang dan risiko jangkitan kuman juga rendah,'' katanya dengan teliti.
Beliau turut menasihatkan supaya tidak mengurut hernia kerana ia sangat berbahaya. Tekanan ke atas hernia boleh menyebabkan organ-organ berkenaan pecah dan berlaku jangkitan kuman dan membawa maut," ujarnya.
Oct 13, 2009
Ambil Berat Risiko Osteoporosis
Risiko tinggi
Pada hakikatnya, mereka yang sudah berusia berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk terjatuh disebabkan daya penglihatan yang kabur atau masalah imbangan dan pergerakan.
Sekiranya berlaku insiden terjatuh, ia boleh menyebabkan keretakan, terutamanya pergelangan tangan, spina atau tulang belakang dan pinggul. Wanita yang menopaus atau putus haid juga berhadapan dengan risiko tinggi untuk mengalami keretakan.
Keadaan ini biasanya dikaitkan dengan osteoporosis, sejenis penyakit tulang. Osteoporosis ini ada kalanya juga digelar sebagai 'penyakit senyap'.
Bagi mereka yang mempunyai osteoporosis, tulang-tulang mereka lemah dan mudah patah. Ini menjadikan tugas mudah seperti berjalan pun begitu menyakitkan.
Menurut Wikipedia, tidak ada petanda tertentu untuk osteoporosis tetapi ia boleh meningkatkan risiko keretakan tulang.
Keretakan berlaku dalam keadaan di mana orang yang sihat tidak akan mengalami patah tulang dan keadaan ini disifatkan sebagai keretakan akibat kerapuhan.
Ensaiklopedia percuma itu menyatakan keretakan akibat kerapuhan lazim berlaku di bahagian kolum vertebra, tulang rusuk, pinggul dan pergelangan tangan.
Ia menyebut di Amerika Syarikat, sebanyak 250,000 kes keretakan pergelangan tangan dilaporkan berpunca daripada osteoporosis dan keretakan pergelangan tangan ialah keretakan osteopotorik ketiga yang paling kerap berlaku.
Masalah kesihatan
Sementara itu, berdasarkan laporan International Osteoporosis Foundation (IOF), kepercayaan bahawa osteoporosis hanya berlaku di Barat dan jarang terjadi di Timur kini boleh dianggap sebagai hanya satu metos.
Menurut laporan itu, memandangkan jumlah penduduk warga emas yang besar di Asia, osteoporosis akan menjadi masalah kesihatan yang utama pada tahun-tahun akan datang.
Laporan itu turut menyebut peningkatan dua hingga tiga kali ganda kes keretakan pinggul di kebanyakan negara Asia dalam tempoh 30 tahun lalu.
Laporan Audit Asia IOF itu dihasilkan melalui bantuan kewangan dari Fonterra, pengeksport produk tenusu terbesar dunia dengan jenama utama termasuk Anlene, rangkaian produk tenusu yang dirumus khas untuk orang dewasa bagi mengoptimumkan kesihatan tulang.
Menurut laporan itu lagi, di Hong Kong, kejadian keretakan pinggul meningkat 300 peratus dari 1960-an hingga 1990-an, sementara di Singapura, insiden keretakan pinggul pada 1998 ialah lima kali ganda lebih banyak daripada jumlah kes pada 1960-an.
Di Jepun, di mana kes keretakan pinggul dipercayai antara yang paling rendah di dunia, insiden keretakan pinggul dari 1986 hingga 1998, meningkat 1.6 kali ganda untuk lelaki dan 1.5 kali ganda untuk wanita.
Tanah Besar China juga menunjukkan kenaikan yang besar dalam insiden kes keretakan pinggul, iaitu 34 peratus untuk wanita dan 33 peratus untuk lelaki bagi tempoh 1988 hingga 1992.
Laporan itu juga menyatakan kos osteoporosis adalah tinggi dan keretakan pinggul ialah punca utama warga emas dimasukkan ke hospital.
Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, kos secara langsung keretakan pinggul dianggarkan RM48.3 bilion pada 1995 sementara di United Kingdom, kos secara langsung akibat keretakan pinggul pada 1998 ialah RM5. 5 bilion.
"Memandangkan osteoporosis dan keretakan pinggul membabitkan kos rawatan yang amat besar, langkah kritikal yang perlu dilakukan ialah mengesan dan merawat lebih awal pesakit yang berisiko tinggi," kata laporan itu.
Senario Malaysia
Laporan IOF yang turut menggariskan hasil kajian yang dibuat di Malaysia, menyebut insiden keretakan pinggul osteoporotik ialah tertinggi dalam kalangan kaum Cina (63 peratus), diikuti Melayu (20 peratus) dan India (13 peratus).
Ia juga menunjukkan kes-kes keretakan pinggul berlaku dua kali ganda lebih banyak di kalangan wanita berbanding lelaki.
Berdasarkan kaum serta data tertentu jantina, insiden keretakan pinggul adalah tinggi di kalangan wanita Cina (220 orang bagi setiap 100,000 orang) dan diikuti wanita India.
Dari segi kos, kos penghospitalan secara langsung untuk rawatan keretakan pinggul pada 1997 dianggarkan sebanyak RM21 juta.
Kajian itu, yang juga meliputi status vitamin D di kalangan wanita yang putus haid menunjukkan 71 peratus wanita Melayu yang putus haid tidak mendapat keperluan harian vitamin D mereka.
Pada hakikatnya, kajian itu menunjukkan ketakcukupan vitamin D serta pengambilan kalsium yang rendah berlaku di semua 14 buah negara yang diaudit.
Dasar kesihatan
Pengurus Besar Fonterra Malaysia, John McKay berkata, meskipun Malaysia memberi banyak fokus kepada osteoporosis berbanding banyak negara lain di Asia, masih terdapat keperluan untuk memberi keutamaan kepada penyakit itu di peringkat dasar kesihatan kebangsaan.
Baru-baru ini beliau melancarkan kempen 'Dengarlah Tulang Anda' dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kempen itu bertujuan mendidik rakyat Malaysia mengenai kepentingan kesihatan tulang dengan menawarkan khidmat pengimbasan tulang secara percuma di seluruh negara. - BERNAMA
Aktif seks punca kanser
HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.
KANSER serviks atau kanser pangkal rahim terjadi pada saluran reproduksi wanita dan menjadi penyebab utama kematian akibat kanser di seluruh dunia.
Biarpun mudah dikesan melalui saringan awal, namun masih ramai yang tidak berusaha mencegahnya.
“Mereka hanya bertemu doktor apabila keadaan sudah kritikal.
“Kajian juga mendapati kanser serviks masih dipandang ringan oleh sesetengah wanita, bahkan tidak ramai yang melakukan ujian pap smear yang dapat mengesan kanser berkenaan pada peringkat awal.
“Kebanyakan wanita bekerja mengatakan mereka terlalu sibuk selain malu untuk menjalani pemeriksaan itu,” ujar Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Selangor Medical Center, Dr. B.K. Tan.
![]() |
| 'JALANI ujian pap smear.' - B.K. TAN |
Jelasnya, kanser serviks berpunca daripada beberapa faktor termasuk hubungan seks.
“Salah satu faktornya ialah kehadiran antibodi kepada Virus Papilloma Manusia (HPV) iaitu virus yang sama menyebabkan ketuat alat kelamin.
“Virus yang berjangkit melalui hubungan seks ini dipercayai boleh menyebabkan perubahan pada sel pangkal rahim seterusnya membawa kepada perkembangan sel kanser.
“Bagi wanita yang dijangkiti virus ini, mereka terdedah kepada risiko kanser serviks manakala bagi lelaki, mereka terdedah kepada kanser dubur.
“Wanita yang mempunyai ramai pasangan seks atau terbabit dengan pasangan yang juga ramai pasangan seks lebih mudah mendapat jangkitan HPV. Keadaan lebih buruk apabila wanita itu merokok manakala tubuhnya kurang daya tahan,” katanya.
![]() |
| |
Tambah Tan, kanser serviks hanya boleh terjadi kepada wanita yang pernah mengadakan hubungan seks. HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa di antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.
“Kanser ini boleh dikenal pasti berdasarkan beberapa gejala seperti rasa sakit atau pendarahan ketika melakukan hubungan seks.
“Selain itu, jika berlaku pendarahan dalam faraj antara haid, lelehan berdarah di faraj yang berbau dan pendarahan pada wanita menopaus, juga mungkin tanda kehadiran kanser ini,” katanya.
Menurut satu kajian, kanser serviks menjadi punca kematian kira-kira 270,000 wanita setiap tahun dengan seorang wanita meninggal dunia setiap dua minit di seluruh dunia.
Memetik laporan Daftar Kanser Kebangsaan pada tahun 2003, anggaran kejadian kanser serviks di Malaysia ialah 16.5 wanita dalam setiap 100,000 penduduk. Penyakit ini mencakupi 12.9 peratus kanser yang dihidapi wanita.
Bagaimanapun, menurut Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di kalangan 100 wanita di negara ini pada tahun 2003 mendapati 23 peratus daripada responden menyatakan mereka tidak perlu melakukan ujian pap smear kerana menganggap mereka tidak mungkin menghidap kanser itu.
Antara lain, faktor kesibukan menjadi penghalang dengan 18 peratus, diikuti malu (9.6 peratus) dan tidak pernah mendengar langsung mengenainya (20 peratus).
“Pelbagai kempen telah dilakukan dan sepatutnya kesedaran untuk melakukan ujian saringan ini menjadi tanggungjawab setiap wanita yang pernah melakukan hubungan kelamin sekurang-kurangnya setahun sekali bagi menentukan tahap kesihatan rahim mereka.
Jika tidak, mereka mungkin akan tersenarai dalam 3,000 hingga 4,000 kes baru yang dilaporkan setiap tahun di negara ini,” kata Tan.

Vaksin
Sebagai usaha untuk mengurangkan risiko kematian disebabkan kanser serviks, kaum wanita di Malaysia kini boleh mendapatkan vaksin HPV Kuadrivalen.
Vaksin yang dihasilkan khusus untuk mencegah kanser serviks, prakanser faraj dan prakanser vulva yang disebabkan oleh HPV jenis 16 dan 18 itu semakin kerap diperkatakan.
Malah Kementerian Kesihatan juga mengambil langkah untuk memberi suntikan pelalian itu kepada 300,000 pelajar perempuan bagi mencegah penularan kanser serviks
“Suntikan HPV adalah cara paling baik untuk menentang penyakit ini,” kata Tan.
Vaksin ini telah diluluskan dan sudah lebih 30 juta wanita di seluruh dunia mengambilnya.
Ia berfungsi sebagai pencegah ketuat alat kelamin dan lesi (zona tisu rosak) serviks gred rendah yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16 dan 18.
“HPV jenis 16 dan 18 merupakan punca bagi hampir 70 peratus kes kanser serviks, kanser vulva dan kanser faraj serta punca bagi 50 peratus lesi.
“Sementara itu, HPV 6 dan 11 menyebabkan kira-kira 90 peratus ketuat alat kelamin. Empat jenis HPV ini menyebabkan kira-kira 35 hingga 50 peratus lesi gred rendah serviks, faraj dan vulva,” jelas Tan.
Bagaimanapun, pemvaksinan tidak akan melindungi pesakit daripada jenis HPV dan ia boleh menghalang virus daripada jenis HPV 16 dab 18 sahaja.
“Pemvaksinan bertujuan mengurangkan risiko daripada dijangkiti HPV 16 dan 18 yang menjadi punca kanser serviks. Ia tidak boleh menghalang sepenuhnya penerima suntikan pelali itu daripada mendapat kanser ini.
“Oleh itu, pemeriksaan rahim secara berkala amat digalakkan bagi mengelakkan pengesanan kanser pada peringkat akhir yang boleh mengancam nyawa,” kata Tan.
Oct 4, 2009
Berhati2 semasa makan......
Sotong pembunuh manusia
Pencemaran laut punca sotong kering dan ikan bilis mengandungi toksik.

![]() |
| |
MAKANAN laut sememangnya digemari ramai. Sama ada kering mahupun basah, ia pasti menjanjikan sajian yang melambai selera.
Sotong dan udang kering, begitu juga ikan bilis merupakan hidangan atau bahan masakan popular bagi hampir semua etnik di Malaysia.
Bagaimanapun, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) minggu lepas mendakwa, sotong kering yang dijual di pasaran dicemari kandungan kadmium yang tinggi hingga boleh menyebabkan kanser payu dara dan prostat.
Kadmium adalah metallohormone beracun yang bertindak sebagai estrogen serta androgen yang mampu menyebabkan kanser payu dara dan prostat.
Penemuan terbaru itu berdasarkan kajian ke atas enam sampel sotong kering yang dijual di pasaran di Pulau Pinang sejak sebulan lalu.
Paling mengejutkan, satu sampel mempunyai paras kadmium 4.33 ppm (bahagian persejuta), iaitu empat kali ganda daripada kadar yang dibenarkan Peraturan Makanan 1985.
Selain sotong kering, tiram, ikan bilis dan udang juga mengandungi kadmium namun jumlahnya lebih rendah.
Tahukah anda bahawa semua ini disebabkan pencemaran laut yang turut memberi kesan buruk secara global?
Sebenarnya, masih ramai yang tidak tahu bahawa makanan yang menjadi kegemaran mereka selama ini dapat mengancam nyawa.
Namun jangan salah faham kerana kehadiran kadmium dalam sotong kering bukan disebabkan kaedah pengawetan.
Kadmium
Puncanya akibat kenaifan manusia sendiri yang memandang enteng aspek penjagaan ekosistem marin.
Tanpa disedari, hakikatnya kita telah menghadam banyak sisa toksik dan racun di dalam badan apabila menjamah pelbagai jenis hidupan laut yang tercemar.
Pembuang sampah sarap, sisa industri dan minyak dikenal pasti sebagai angkara utama manusia yang mengganggu dan seterusnya membunuh habitat serta hidupan marin.

Menurut pegawai penyelidik CAP, Hatijah Hashim, perbuatan manusia mencemarkan laut hanya akan mengundang kemudaratan kepada kehidupan manusia sendiri.
“Hidupan laut yang tercemar sememangnya mengandungi kadmium, tidak terkecuali sotong,” ujarnya.
Ini bermakna kandungan kadmium sudah wujud dalam sotong basah ketika ia hidup lagi di habitatnya lagi.
“Kadmium dalam sotong kering itu bukan hadir disebabkan kaedah pengawetan, sebaliknya ia sudah wujud ketika kewujudannya sebagai sotong basah lagi,” ujarnya.
Tambahnya: “Makanan yang mengandungi kadmium ibarat tiada khasiatnya langsung.
“Puncanya ialah sikap manusia yang enggan menjaga kebersihan laut. Akibatnya, badan kita akan menerima makanan yang tidak bersih sekali gus mengganggu sistem hormon di dalam badan.”
Walau bagaimanapun hujahnya, kesan yang diperoleh bergantung kepada tahap imunisasi tubuh individu.
Bagi mengelakkan kesan berpanjangan, pengguna dinasihatkan supaya mengambil bahan makanan tersebut dalam kuantiti yang kecil atau lebih baik mengelak daripada memakannya.
Kadmium merupakan sejenis logam berat yang berbahaya kerana elemen ini berisiko tinggi terhadap pembuluh darah.
Ia memberi kesan terhadap kesihatan manusia untuk jangka masa panjang khususnya hati dan ginjal.
Kesan pengambilan logam toksik yang berlebihan ini boleh mendedahkan seseorang kepada kanser payu dara, kanser prostat serta penyakit buah pinggang.
Kesan jangka pendek pula boleh dilihat melalui tanda-tanda seperti demam, sakit kepala, berpeluh berlebihan, otot menggigil dan keresahan.
Kadmium juga terhasil daripada pembakaran bahan buangan dari rumah atau industri, pembakaran arang batu dan minyak.
Asap kenderaan, penghasilan bateri dan cat, industri pemprosesan logam, pengangkutan dan pembuangan sampah turut menjadi punca material beracun itu.
Bahan makanan kering yang diimport dari negara-negara luar khususnya, tidak banyak dipantau atau diuji terlebih dahulu sebelum dipasarkan.
Kajian rambang perlu dilakukan bagi mengesahkan kuantiti kandungan kadmium di dalam makanan yang telah diawet kerana dikhuatiri melebihi had yang dibenarkan.
Oct 2, 2009
Kena Ambil Tahu!!!
Jangan gugurkan anak!
| WANITA yang pernah menggugurkan janin berisiko melahirkan bayi pramatang pada kelahiran seterusnya. |
Kajian pakar perubatan dari Kanada mendapati wanita yang menjalani proses pengguguran berisiko sebanyak 72 peratus mendapat bayi kurang berat badan dan 93 peratus bayi pramatang.
Pakar Jabatan Pediatrik di Hospital Mount Sinai, Toronto Dr. Prakesh Shah mendedahkan, antara punca utama keadaan itu adalah kerosakan fizikal pada bahagian serviks yang terjadi ketika pengguguran secara konvensional dilakukan.
Klorin kolam renang
SAINTIS memberi amaran tentang peningkatan risiko asma kepada kanak-kanak yang kerap menggunakan kolam renang tertutup.
Menurut profesor toksikologi dari Universiti Catholic, Louvain, Perancis, Alfred Bernard, klorin yang terdapat di dalam kolam renang tersebut mampu mengganggu laluan udara dan paru-paru serta meningkatkan risiko alahan.
Kajian tersebut juga mendedahkan klorin yang digunakan meningkatkan kesan terhadap sistem pernafasan kanak-kanak sehingga lima kali ganda, lebih serius daripada kesan asap rokok pasif.
Periksa kesakitan dalaman
KESAKITAN fizikal sering kita rasai jika berlaku impak yang datangnya dari luar tubuh seperti terjatuh, dipukul, berlanggar atau ditimpa sesuatu objek berat dan keras.
Namun, ada juga orang yang merasakan sakit secara tiba-tiba seperti tikaman pisau dan datangnya dari dalam tubuh mereka sendiri.
Memandangkan kawasan antara rusuk dan punggung banyak dipenuhi organ dalaman, simptom kesakitan itu boleh menjadi petanda komplikasi akibat saluran darah tersumbat. Keadaan itu seterusnya menyebabkan gangguan fungsi organ dan jangkitan berbahaya.
Jika kesakitan itu dirasakan di bahagian abdomen bawah sebelah kanan dan kiraan sel darah putih meningkat, bermakna seseorang menderita appendisitis. Sekiranya rasa sakit itu di bahagian abdomen atas serta kiraan sel darah putih yang tinggi, berkemungkinan ia disebabkan masalah keradangan pundi kencing.
Jika kesakitan itu berlaku di bahagian bawah tulang dada hingga enzim tertentu dalam darah meningkat, ia barangkali berpunca daripada pankreatitis. Dalam keadaan ini, pankreas mahu berfungsi seperti biasa, tetapi pembentukan batu karang menyumbat saluran.

























