Topic

Addin (264) agenda kristian (3) Agong (1) Akhirat (2) Akidah (5) Al-Quran (23) Al-Quran Digital Readpen (3) Amanah (8) Anak yatim (2) april fool (1) Aurat (1) Bajet (1) Bajet 2014 (1) Berita (67) Bonus (1) Cerpen (2) Cinta (25) Coklatminda (1) Derma (6) derma palestine (1) Doa (8) Doa Akhir tahun (1) Doa awal tahun (1) Ebook jana RM (13) Elaun (1) Famili (49) free (2) free cash (1) free cek (1) Gaji (11) Gaji Agong (1) gaji baru DG41 (8) gaji baru guru (6) Gaji baru guru 2013 (1) Gaji MP (1) Gaji PM (1) Gaji Sultan (1) Gambar menarik (191) games (1) Gula Stevia (1) Gula stevia air zam-zam (1) guru (2) guru berkesan (1) guru oh guru (1) Hadith (26) Halal (14) Halloween (1) hari guru (1) Hari ibu (1) Hijrah (11) Hudud (2) Hukum (10) ilmu (6) Imam Mahdi (1) internet (1) IRM (1) Islam (1) isreal (1) Isu (302) Jaga aurat (1) Jenaka (65) Jom belajar (35) Jom melabur (10) Kesihatan (147) Kiamat (2) komputer (3) Kristianisasi (1) Make money (55) MAS (1) MAS MH17 (1) MAS MH370 (1) Meaning of life (1) MH17 (1) MH370 (1) My Qalam (3) online survey (1) pa (1) palestine (1) Pasport Khulafak (2) PasportRasul (3) percuma (4) perlindungan takaful (5) Pilihanraya (2) Plan Medical card (1) Plan Ummah (1) PM (2) Politik (4) promosi (1) PRU 12 (1) PruBSN (5) Rasul (2) Rasulullah saw (3) Renungan (153) Rezeki (14) RM percuma (2) rumah rasul (1) Saham akhirat (1) sajak guru (1) sajak guru oh guru (1) SAVE PALASTINE (5) Sedekah (2) Seminar buat RM (2) Sesat (1) siapalah kita (1) sifir gaji SPBA (7) Sifir gaji SPBA terkini (6) sifir gaji SSM (3) SPBA (6) SPBA 2012 (3) spba batal (3) SSM 2012 (2) SSM baru (2) Stevia (1) Sultan (1) sunnah (3) survey (1) survey online (2) Syiah (1) Taat ibu bapa (1) takaful (5) takwim (2) takwim 2014 (1) telur tiruan (1) umat (1) Ustaz Haslin (2) valentine (2) web hosting (4) zionis (1)

Total Pageviews

Apr 27, 2009

Implan gigi

SATU nikmat hidup hilang apabila kita tidak boleh atau susah hendak makan. Puncanya kecil saja, iaitu ketiadaan gigi.

Tanpa gigi, tidak mungkin kita dapat menikmati keenakan makanan kegemaran kerana nikmat satu-satu makanan itu biasanya dirasai ketika ia dikunyah.

Antara cara yang biasa dilakukan untuk mengatasi perkara ini ialah memakai gigi palsu. Bagaimanapun, ia masih ada kekurangan kerana kira-kira 50 peratus pengguna gigi palsu mengalami masalah seperti masalah gigi tertanggal, tidak selesa atau sakit ketika dipakai akibat saiz gigi dan gusi yang tidak sepadan atau sukar mengunyah makanan.

Kehilangan gigi menyebabkan ramai terpaksa mengehadkan pilihan makanan. Makanan yang keras dan rangup seperti buah-buahan mungkin sukar sedikit untuk dimakan. Malah, tidak kurang juga yang terpaksa memotong makanan menjadi kecil supaya ia lebih mudah dikunyah.

Apabila membincangkan soal tiada gigi, terus terlintas dalam fikiran perkara ini lazimnya berlaku pada orang tua. Memang benar, tetapi ia juga berlaku pada golongan di bawah umur 45 tahun.

Masalah ketiadaan gigi juga banyak berlaku di negara maju seperti Amerika Syarikat dan dianggarkan lebih 20 juta penduduknya memakai gigi palsu.

Satu pertiga penduduk Amerika berumur 65 tahun kehilangan lebih separuh gigi asal dan satu pertiga di kalangan 70 tahun ke atas tiada gigi langsung.

Di Malaysia, masalah ketiadaan gigi berlaku pada umur lebih muda — tiga peratus orang dewasa berumur 35 hingga 44 tahun tidak mempunyai gigi dan angka ini meningkat kepada 40 peratus (65 hingga 74 tahun) dan mencecah 70 peratus bagi warga emas melebihi 75 tahun.

Di negara kita, lebih 70 peratus kes kehilangan gigi disebabkan trauma atau kemalangan. Di kalangan individu tiada gigi pula, hanya 52 peratus memakai gigi palsu walaupun tahu ketiadaan gigi boleh menjejaskan penampilan mereka.

Menurut Perunding Pembedahan Pergigian dan Maksilofasial Oral, Pusat Perubatan Sunway, Dr Michael Ong, selain gigi palsu, ada kaedah lain yang boleh membantu seseorang untuk makan dengan lebih baik iaitu melalui kaedah implan gigi.

Implan gigi pada asalnya direka untuk membantu orang tua yang kehilangan gigi akibat proses penuaan atau mereka yang tiada gigi langsung.

Bagaimanapun, kini rawatan implan gigi diberi kepada semua peringkat umur yang kehilangan gigi atas pelbagai sebab, seperti terbabit dalam kemalangan atau penyakit gusi. Namun, ia jarang dilakukan ke atas kanak-kanak kerana tulang rahang mereka belum matang sepenuhnya.

Apa itu implan gigi? Ia berbentuk seperti skru, dihasilkan daripada logam titanium (bahan sama untuk rawatan tulang patah) yang ditanam pada tulang rahang di tempat asal gigi yang tanggal. Ia bertindak sebagai akar bagi gigi palsu. Kaedah ini boleh digunakan untuk menggantikan satu atau beberapa batang gigi.

Ada juga implan berbentuk bilah; juga ditanam ke dalam tulang rahang. Bagaimanapun, kini lebih 90 peratus implan yang ada di pasaran di seluruh dunia berbentuk seperti skru.

Implan gigi bukan sekadar membolehkan seseorang makan dengan lebih baik, tetapi ia juga bertujuan:

  • Menggantikan satu atau lebih gigi yang hilang tanpa menjejaskan gigi bersebelahan

  • Memberi sokongan kepada barisan gigi palsu, menjadikan ia lebih kukuh dan selesa

  • Tidak perlu lagi menggunakan gigi palsu boleh tanggal (sekali gus menyelesaikan masalah berkaitan gigi palsu boleh tanggal)

  • Membantu mengekalkan bentuk muka kerana kehilangan gigi lama kelamaan menyebabkan rahang mengecut dan membuatkan bahagian bawah muka kelihatan turut mengecil

  • Membolehkan seseorang bercakap dengan selesa

  • Membantu mengembalikan keyakinan kerana ramai berasa rendah diri dan malu untuk membuka mulut apabila kehilangan gigi, terutama gigi kacip (bahagian depan). Ia juga penting untuk memperlihatkan imej menarik dan meyakinkan, khususnya bagi individu yang mencari kerja

    Implan gigi boleh diumpamakan sebagai gigi kekal kerana ia ditanam pada tulang rahang. Apabila gigi tertanggal, tulang rahang mengecut secara perlahan-lahan dan ia mempengaruhi tisu lembut pada gusi.

    Ini sebabnya individu yang memakai gigi palsu mengalami masalah padanan, ketidakselesaan, kerap tertanggal dan sukar mengunyah selepas tempoh tertentu.

    Siapa yang boleh menjalani rawatan implan gigi? Dr Ong berkata, ia boleh dilakukan pada sesiapa saja, termasuk warga emas dan pesakit kencing manis, dengan syarat penyakit mereka dalam keadaan terkawal.

    Bagaimanapun, pesakit kencing manis lebih cenderung untuk mengalami jangkitan pada bahagian implan.

    “Untuk perokok, beberapa peraturan perlu dipatuhi sebelum dan selepas menjalani rawatan implan. Mereka perlu berhenti merokok sekurang-kurangnya seminggu sebelum prosedur dan lapan minggu selepas implan ditanam. Ia bertujuan memberi masa untuk rahang kembali ke saiz asal kerana mengubah saiz rahang.

    “Biasanya implan ‘ditutup’ dengan korona untuk membentuk gigi palsu. Walaupun secara teorinya ia boleh kekal sepanjang hayat, gigi palsu ini perlu dijaga seperti gigi asal supaya tahan lama,” katanya pada forum kesihatan anjuran Pusat Perubatan Sunway.

    Bagaimana dan bila implan gigi dilakukan?

    Rawatan implan membabitkan dua fasa iaitu penanaman implan ke dalam tulang rahang dan diikuti pembentukan korona sebagai gigi.

    Dua fasa ini boleh dilakukan pada masa sama atau berasingan. Pesakit juga boleh menangguhkan untuk proses pembentukan korona mengikut kesediaannya.

    Sebelum implan ditanam, pesakit diberi bius setempat dan tidak berasa sakit sepanjang prosedur dijalankan. Apabila kesan ubat bius hilang (selepas tiga atau empat jam), pesakit mungkin berasa tidak selesa sedikit. Darjah ketidakselesaan ini bagaimanapun berbeza antara individu mengikut daya ketahanan masing-masing.

    Kadangkala doktor perlu melakukan ‘graf tulang’ iaitu proses membentuk tulang bagi memastikan implan boleh ditanam dengan baik. Untuk proses ini, doktor memerlukan tulang lain untuk merangsang pembentukan tulang baru.

    Ia boleh diambil daripada tulang di dalam mulut atau dari pinggul pesakit. Usah risau jika anda berhajat menjalani rawatan implan gigi kerana bukan semua kes memerlukan proses ini.

    Bila mahu menjalani rawatan ini, terpulang kepada setiap individu. Dr Ong berkata, ia boleh dilakukan secepat mungkin, iaitu sebaik gigi tertanggal atau ditangguhkan sehingga tulang rahang pada bahagian gigi yang hilang kelihatan tertonjol sedikit dan nampak lebih jelas.

    Adakah peluang kejayaan menanam implan tinggi?

    Menurut Dr Ong, rawatan implan gigi mempunyai peratus kejayaan yang tinggi. Kebanyakan kes yang gagal disebabkan masalah kesihatan pesakit seperti menghidap kencing manis kerana mereka lebih cenderung mengalami jangkitan.

    Kadangkala jangkitan berlaku dua atau tiga tahun selepas rawatan. Jika berlaku jangkitan, implan berkenaan perlu dikeluarkan kerana ia boleh menyebabkan kebas dan pesakit tidak boleh makan.

    Selepas implan dikeluarkan, doktor melakukan graf tulang supaya tulang pada bahagian berkenaan menjadi kuat semula dan mempercepatkan penyembuhan. Selepas tulang sembuh, baru implan dimasukkan semula.

    “Kejayaan implan pada rahang bawah adalah lebih tinggi (95 peratus) berbanding rahang atas (80 peratus). Implan gigi perlu dilakukan dengan teliti iaitu dua milimeter jaraknya dari saraf.

    “Jika saraf tercedera, bibir menjadi kebas dan menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit selepas prosedur selesai,” katanya.

    Siapa yang boleh menjalankan rawatan implan gigi?

    Rawatan implan gigi boleh dilakukan oleh pakar bedah maksilofasial oral, pakar pergigian atau doktor gigi yang ada pentauliahan Kongres Implan Antarabangsa (ICOI), Amerika Syarikat.

    Selain menimbangkan pemilihan pakar, antara perkara yang perlu diberi pertimbangan ialah kos rawatan. Kos keseluruhan rawatan berbeza antara pusat rawatan dan jenis implan yang diguna. Sehingga kini ada lebih 30 jenis implan di pasaran dengan harga yang jauh berbeza.

    Secara purata, rawatan implan gigi menelan belanja antara RM2,000 hingga RM10,000 tertakluk kepada jenama dan jenis implan serta bayaran hospital.

    “Oleh kerana kos rawatan implan tinggi, kita perlu menjaga gigi dengan baik dengan memberus dan flos setiap kali selepas makan. Amalan ini boleh memanjangkan hayat gigi.

    Bagi yang sudah menjalani rawatan ini, mereka juga perlu menjaga gigi baru seperti gigi asal dan dapatkan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun.

    “Berdasarkan maklum balas diterima, kebanyakan pesakit berpuas hati dengan implan gigi kerana mereka bukan saja boleh makan semua makanan kegemaran, malah berasa lebih yakin untuk berdepan orang lain,” katanya.
  • 2 comments:

    1. saya ada budget utk implan rm6.5k..dimana boleh saya dapatkan rawatan tersebut..FYI gigi depan(atas) 5 batang takde(accident)..kalau nak buat bridge brapakah harganya?tak brape clear la pasal bridge..TQ

      ReplyDelete