|
|
SETIAP ibu bapa pasti mahukan bayi mereka yang baru lahir sihat dan sempurna tanpa ada sebarang kecacatan mahupun kekurangan.
Namun, tidak semua apa yang kita ingin menjadi kenyataan apatah lagi apabila melihat bayi mereka dilahirkan dengan kecacatan seperti rekah bibir atau sumbing.
Pada ketika itu pastinya perasaan terkejut, sedih, bersalah, emosi tertekan dan resah mula menyelubungi diri. Kegembiraan apabila rakan taulan dan saudara mara yang datang melawat bayi bertukar menjadi igauan ngeri.
Si ibu atau bapa mula memikirkan apa kesalahan yang telah mereka lakukan dan mula mengaitkan dengan mitos dan sebagainya. Jangan biarkan diri berasa tertekan, sebaliknya cuba menerima perkara secara positif.
Untuk pengetahuan, di Malaysia, seorang daripada 700 bayi yang dilahirkan mengalami masalah sumbing. Sumbing boleh terjadi kepada mana-mana bayi tanpa mengenal bangsa, agama atau taraf sosioekonomi seseorang.
Setiausaha Persatuan Bibir dan Lelangit (Clapam), Zuraini Ghazali, berkata, saat kelahiran anak adalah satu kegembiraan yang amat dinanti-nantikan oleh mereka yang bergelar ibu bapa, tetapi sebaliknya ia akan menjadi satu kejutan jika anak yang dilahirkan mengalami masalah sumbing.
"Walaupun ibu bapa tersebut telah mendapat pelbagai informasi dan pendedahan tentang sumbing, namun perasaan sedih dan kecewa sememang tidak sukar dibendung," katanya ketika ditemui di pejabat Clapam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sebenarnya menurut beliau, dengan teknologi imbasan 3D dan 4D, membantu ibu bapa bersedia dengan sebarang kecacatan yang mungkin dialami bayi sejak dalam kandungan lagi.
Jika ini berlaku, ibu bapa tersebut akan diberi pendedahan sepenuhnya tentang kecacatan sumbing.
Mereka turut akan diberi kaunseling bagi memastikan emosi mereka stabil saat menerima kelahiran bayi tersebut kelak.
Sumbing atau rekah merujuk kepada lubang atau rekahan di bibir atau lelangit.
"Ketika pembentukan janin, bahagian muka terjadi di tempat yang berlainan kemudian bercantum, apabila sesetengah bahagian muka ini gagal bercantum maka rekah akan terbentuk. Rekahan bibir atau lelangit boleh terjadi sendiri atau kedua-duanya sekali," jelas Zuraini.
Jelasnya, sumbing bibir mungkin cuma rekahan yang kecil di bibir atau rekahan sepenuhnya di satu atau dua bahagian. Atau boleh jadi ia merekah ke dalam rahang dan hidung.
"Sumbing bibir unilateral terjadi di sebelah sahaja sementara sumbing bibir bilateral terjadi di dua bahagian.
"Manakala sumbing lelangit pula terjadi apabila bahagian lelangit tidak bercantum dan terdapat rekahan. Ini mungkin terjadi di bahagian lelangit lembut. Sumbing bibir dan lelangit pula terjadi apabila rekahan berada di bahagian bibir dan lelangit," tambahnya.
Zuraini berkata, genetik dan faktor persekitaran juga memainkan peranan penting dalam kejadian sumbing.
Di antaranya penyebabnya, mungkin jenis ubat yang diambil ketika hamil, jangkitan kuman contohnya Rubella, pengambilan alkohol, rokok, kecelaruan kromosom dan lain-lain lagi.
"Jangan disalahkan suami yang pergi memancing atau memotong ayam dan sebagainya. Tidak ada bukti saintifik untuk menyokong kenyataan tersebut. Justeru jangan salahkan diri. Anak adalah pemberian Tuhan, maka jagalah anak tersebut dengan penuh kasih sayang dan sokongan," ujarnya.
Zuraini berkata, perasaan takut dan bersalah bercampur baur dalam diri ibu bapa sehingga mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan atau bagaimana untuk menjaga anak itu.
"Pertama sekali ibu bapa perlu tahu bahawa sumbing tidaklah membahayakan nyawa dan boleh dirawat dengan jayanya.
"Memang masalah utama bagi bayi sumbing ialah penyusuan. Proses penyusuan akan mengambil masa yang panjang dan perlu dilakukan dengan teliti dan sabar.
"Terdapat botol susu khas untuk bayi yang sumbing, penyusuan bersudu juga digalakkan terutama sebelum dan selepas pembedahan membaiki klef. Kumpul maklumat lanjut tentang penyusuan menerusi persatuan yang sedia membantu pada bila-bila masa," jelasnya.
Bagi ibu bapa yang mempunyai bayi sumbing, pembedahan boleh dilakukan sebaiknya apabila mereka mencecah tiga bulan. Namun ada juga keadaan di mana ia dilakukan segera bergantung kepada tahap kecacatan sumbing tersebut.
Zuraini menambah, kos pembedahan untuk kecacatan sumbing di hospital kerajaan bermula daripada RM500 bergantung kepada tahap kecacatan.
"Kanak-kanak itu perlu diberikan rawatan menyeluruh dan rawatan pertama yang diperlukan adalah membaiki bibir iaitu ketika mereka berusia satu hingga tiga bulan, membaiki lelangit (sembilan hingga 12 bulan), latihan pendengaran (satu hingga dua tahun) dan latihan percakapan (tiga hingga empat tahun).
"Rawatan lain adalah pergigian (lapan hingga 10 tahun), pencantuman tulang Alveolar (ABG) pada usia sembilan hingga 12 tahun, pergigian susulan (13 hingga 17 tahun) dan pembedahan rahang bawah jika diperlukan pada usia lebih 18 tahun," katanya
Penjagaan ortodontik
"Apabila pembedahan telah dilakukan, ibu bapa perlu memastikan kebersihan gigi dan mulut anak sepenuhnya. Ini akan memudahkan pakar pergigian mengekalkan gigi untuk rawatan ortodontik.
"Apabila rekahan terjadi di bahagian gusi, pasti ada gigi yang tidak timbul di bahagian tersebut, dengan penjagaan gigi dan rawatan ortodontik, gigi anak akan boleh kelihatan sempurna seperti orang lain," jelasnya.
Masalah suara sengau di kalangan individu sumbing terjadi apabila rekah berlaku di bahagian lelangit dan udara memasuki ruang tersebut sehingga ke rongga hidung ketika suara dikeluarkan.
Zuraini berkata, masalah sengau tersebut boleh diatasi.
"Selepas pembedahan menutup saluran lelangit tersebut, individu perlu membiasakan diri dengan latihan untuk bersuara dengan betul. Khidmat bantuan daripada pakar pertuturan boleh membantu golongan yang menghadapi suara sengau ini untuk tampil lebih berkeyakinan," katanya yang turut memberikan kaunseling di hospital kerajaan dan swasta.
Yang paling penting bagi keluarga yang mempunyai anak yang mengalami kecacatan sumbing ialah memberi sepenuhnya kasih sayang. Sokongan moral dan perhatian penuh dapat memberi kekuatan dalaman kepada anak tersebut dalam menghadapi dugaan hidup yang mendatang.
"Sokongan psikologi juga perlu untuk kedua ibu bapa dan anak bagi mengurangkan beban emosi yang mereka hadapi. Apabila anak ini memasuki alam persekolahan, mereka akan berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti ejekan, panggilan nama dan sebagainya.
"Sebagai ibu bapa, kita perlu mendidik mereka agar kuat semangat dan yakin akan diri mereka sendiri. Selain itu, guru-guru dan masyarakat perlu bersikap prihatin dan mempunyai nilai untuk menghormati sesama insan," tambahnya.
Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia
Jika anak anda mengalami bibir atau lelangit rekah (cleft palate), jangan rasa tersisih kerana Clapam sedia memberi bantuan.
Sehingga kini persatuan ini telah mempunyai 1,400 orang ahli yang terdiri daripada golongan profesional, ibu bapa dan individu yang pernah mengalami kecacatan sumbing.
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami masalah sumbing boleh mendapatkan khidmat Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (Clapam) yang ditubuhkan bagi memberi sokongan secara sukarela.
Selain forum dan seminar, Clapam menyediakan khidmat nasihat dan kaunseling untuk ibu bapa atau keluarga individu sumbing, nasihat penyusuan yang sesuai untuk bayi sumbing, botol dan puting khas serta ceramah yang dikendalikan profesional perubatan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian Clapam 03-21621445 atau emel di clapam@streamyx.com
No comments:
Post a Comment