|
|
Hakikatnya, satu perhubungan yang berkekalan dibina atas dasar kepercayaan. Ia menjadi asas dalam perhubungan kerana mampu mencipta satu persekitaran yang selamat untuk meniupkan api kemesraan. Untuk memastikan perhubungan itu berjaya, anda perlu menaruh kepercayaan pada si dia termasuk berkongsi kisah silam, masa kini dan kehidupan akan datang bersamanya.
Namun, kepercayaan tidak akan datang dalam sekelip mata. Ia memerlukan masa yang panjang dan usaha daripada diri sendiri. Perlu juga diingat, kepercayaan mudah tergugat atau berkecai dan ia sebenarnya sukar untuk dipulihkan. Tetapi, jika seseorang itu sanggup berusaha untuk membina kepercayaan, mereka akan memperoleh ganjaran tidak terhingga iaitu satu perhubungan yang memang diidamkan.
Tonjolkan diri anda yang sebenar
Melalui kepercayaan, anda tidak kisah untuk mendedahkan siapa diri anda yang sebenar. Mungkin, kali pertama bertemu banyak cara telah digunakan untuk memikat hati si dia. Namun, kemesraan hanya akan timbul apabila kedua-dua individu yang sedang memadu kasih itu benar-benar mengenali diri masing-masing.
Pasangan perlu mengenali diri anda yang sebenar - bagaimana keadaan jika anda keletihan, marah, kecewa ataupun gembira. Si dia perlu mencintai atau menyayangi diri anda seadanya, bukan mengharapkan anda menjadi individu seperti yang dia ingini. Keadaan itu akan menyebabkan perhubungan tidak akan kekal lama.
Seseorang itu sebenarnya akan rasa lebih tenang jika mendapat tahu bahawa dia dicintai kerana dirinya, bukan disebabkan perkara atau terpaksa berpura-pura menjadi orang lain. Perasaan itu juga akan membuatkan anda menjadi individu yang lebih jujur tanpa timbul rasa takut pada penolakan. Bukankah ia sesuatu yang menyeronokkan.
Berkomunikasi secara jujur
Kepercayaan membuka pintu pada satu komunikasi yang jujur. Sukar untuk anda berkomunikasi secara jujur sekiranya selalu mempunyai anggapan lain terhadap apa yang bakal anda lakukan. Contohnya, apabila ingin melakukan sesuatu, mula memikirkan bagaimana reaksi si dia dan ia juga akan memaksa anda menyusun semula pandangan anda yang sebenar untuk memenuhi agenda si dia.
Komunikasi memerlukan penumpuan. Dr. Geri Forsberg dalam artikelnya, `Kenapa Diri Sukar Berkomunikasi’ telah menggariskan lima panduan untuk membantu seseorang itu berkomunikasi secara efektif.
Tanya soalan. Jangan beranggapan anda memahami apa yang si dia maksudkan. Apabila seseorang itu bertanya beberapa soalan, ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk anda benar-benar memahami apa yang dimaksudkan oleh si dia.
Dengar. Untuk menjadi individu yang boleh berkomunikasi dengan baik, anda juga perlu mempunyai keinginan untuk menjadi pendengar agar diri memahami pandangan pasangannya.
Memerhati dan sanggup mengesahkan maklumat yang diperolehi. Biarkan umum mengetahui apa yang anda fikirkan dengan cara berkongsi maklumat tersebut. Malah, langkah mendedahkan informasi mengenai diri sendiri sebenarnya dapat membantu orang lain memahami diri anda sebagaimana anda memahami mereka.
Ingat, kasih sayang akan menutup banyak keburukan. Jika motif anda adalah untuk memahami orang lain dan menerima seseorang itu kerana diri mereka, maka ia akan membuatkan komunikasi menjadi lebih mudah. Tetapi, jika anda ingin seboleh-bolehnya menyakinkan mereka bahawa cara anda paling tepat, ia sebenarnya bukanlah satu komunikasi. Malah, ia juga bukannya cinta.
Bergaduh secara adil. Sebaik anda berjaya berkomunikasi, langkah seterusnya binalah kepercayaan pada pasangan anda. Sebabnya, ia dapat membantu untuk mewujudkan satu pergaduhan yang adil seandainya berlakunya perselisihan pendapat. Andai perlu sedar bahawa bergaduh tidak dapat dielakkan andai diri ingin hidup bersama orang lain. Cuma, adakah pergaduhan itu akan memisahkan diri anda dengannya atau ia mampu menyelesaikan konflik yang timbul dan membuatkan anda bertambah rapat? Semuanya bergantung sama ada anda bergaduh secara adil atau tidak.
Apa itu pergaduhan yang adil? Kebanyakan pakar bersetuju bahawa pergaduhan yang adil apabila berlakunya perkara-perkara seperti :
Topik pergaduhan tidak berubah
Sekarang bukan masanya untuk menyenaraikan perkara-perkara buruk yang pernah dilakukan si dia. Berbincanglah hanya tentang isu yang sedang digaduhkan. Elakkan daripada menghina atau menjerit-jerit.
Ingat! Asas pergaduhan adalah untuk mencari penyelesaian bukannya menghancurkan hati pasangan anda atau mendesaknya mengalah.
Jika anda tidak menghormati si dia atau dirinya terasa diserang, mereka akhirnya akan berhenti terus daripada mendengar apa yang anda katakan.
Elakkan juga membuat tanggapan rambang dan jangan berganjak daripada fakta. Kenyataan ‘anda selalu’ atau ‘anda tidak pernah’ tidak akan menggambarkan sesuatu yang realiti sebaliknya hanya meletakkan pasangan anda dalam kedudukan bersalah. Kekal pada apa yang berlaku dan luahkan bagaimana perasaan anda.
Membina Kepercayaan
Kepercayaan bukan berlaku secara semulajadi antara dua insan, walaupun mereka mencintai antara satu sama lain. Ia memerlukan usaha. Jika anda pernah dikecewakan pada masa lalu, mungkin agak sukar untuk membina rasa percaya dalam diri.
Membina kepercayaan juga memerlukan masa. Tunjukkan pada pasangan bahawa anda adalah seorang yang boleh dipercayai dan anda juga mempercayai dirinya. Jika pasangan mempunyai masalah untuk mempercayai seseorang, cubalah mencari jalan untuk mencipta satu persekitaran yang dapat membantu membina kepercayaan. Dengar apa yang diperkatakan. Hormati diri dan pandangannya. Terimalah si dia seadanya.
Dedahkan sejarah kehidupan anda
Tunjukkan pada si dia bahawa anda mempercayainya dan akan membantunya untuk melakukan perkara yang sama.
Jangan bersikap terlalu terburu-buru
Jika anda cintakan seseorang dan inginkan yang terbaik, tiada salahnya menunggu. Jika bercinta dengan seorang yang anda rasa tidak boleh dipercayai, jangan buat tidak peduli mengenainya. Sebabnya, sekiranya anda menghadapi kesukaran mempercayai seseorang, cuba dahulu dapatkan bantuan kaunselor sebelum mengambil tindakan lari daripada satu perhubungan yang mungkin adalah yang terbaik buat anda.
Masa silam sememangnya memberi kesan kepada keupayaan diri untuk mempercayai seseorang. Bagaimanapun, jika itu bukan masalahnya cuma kata hati bersungguh-sungguh memberitahu agar anda berhati-hati dengan lelaki tersebut, maka jadikan ia sebagai satu amaran. Perhatikan dengan teliti siapakah sebenarnya individu itu. Bagaimana dia melayani orang lain dan diri anda. Mungkin juga, kata hati anda telah memberikan satu maklumat yang berguna.
No comments:
Post a Comment