Topic

ACV (1) Addin (265) agenda kristian (3) Agong (1) Akhirat (2) Akidah (5) Al-Quran (23) Al-Quran Digital Readpen (3) Amanah (8) Anak yatim (2) apple cider (1) april fool (1) Aurat (1) Bajet (1) Bajet 2014 (1) Berita (67) Bonus (1) Cerpen (2) Cinta (25) Coklatminda (1) cuka epal (1) Derma (6) derma palestine (1) Doa (8) Doa Akhir tahun (1) Doa awal tahun (1) Ebook jana RM (13) Elaun (1) Famili (49) free (4) free cash (2) free cek (1) Gaji (12) Gaji Agong (1) gaji baru DG41 (8) gaji baru guru (6) Gaji baru guru 2013 (1) gaji kakitangan awam 2015 gaji 2015 (1) Gaji MP (1) Gaji PM (1) Gaji Sultan (1) Gambar menarik (191) games (1) Gula Stevia (2) Gula stevia air zam-zam (2) guru (2) guru berkesan (1) guru oh guru (1) Hadith (27) Halal (14) Halloween (1) hari guru (1) Hari ibu (1) Hijrah (11) Hudud (2) Hukum (10) ilmu (6) Imam Mahdi (1) internet (1) IRM (1) Islam (1) isreal (1) Isu (302) jadual gaji 2015 (1) Jaga aurat (1) jam azan (1) Jenaka (65) Jom belajar (35) Jom melabur (10) Kesihatan (147) Kiamat (2) komputer (3) Kristianisasi (1) laksa sarawak (1) laksa sarawak hj Manan (1) Make money (55) MAS (1) MAS MH17 (1) MAS MH370 (1) Meaning of life (1) MH17 (1) MH370 (1) My Qalam (4) myqalam 4 kids (1) onexox (1) online survey (1) pa (1) palestine (1) Pasport Khulafak (3) PasportRasul (4) paste laksa (1) paste laksa sarawak (1) percuma (5) perlindungan takaful (6) Pilihanraya (2) Plan Medical card (1) Plan Ummah (1) PM (2) Politik (4) promosi (1) PRU 12 (1) PruBSN (6) prubsn takaful (1) Rasul (2) Rasulullah saw (3) Renungan (153) Rezeki (14) RM percuma (2) rumah rasul (1) Saham akhirat (1) sajak guru (1) sajak guru oh guru (1) SAVE PALASTINE (5) Sedekah (2) Seminar buat RM (2) Sesat (1) siapalah kita (1) sifir gaji SPBA (7) Sifir gaji SPBA terkini (6) sifir gaji SSM (3) simkad (1) simkad onexox (1) simkad RM10 (1) simkad termurah (1) SPBA (6) SPBA 2012 (3) spba batal (3) SSM 2012 (2) SSM baru (2) Stevia (1) Sultan (1) sunnah (3) survey (1) survey online (2) Syiah (1) Taat ibu bapa (1) takaful (6) takwim (3) takwim 2014 (1) takwim 2015 (1) takwim 2016 (1) Takwim persekolahan 2015 (1) takwim persekolahan 2016 (1) telur tiruan (1) umat (1) Ustaz Haslin (2) valentine (2) web hosting (4) xox (1) zionis (1)

Total Pageviews

Mar 11, 2009

Apa itu Glaukoma ??

PENGLIHATAN dan kesihatan mata! Bagi kebanyakan daripada kita, kesihatan mata sering kali diambil remeh sedangkan menjadi buta diperakui ramai sesuatu yang lebih menggerunkan daripada mati muda.

Sempena Hari Glaukoma Sedunia pada 12 Mac ini, maklumat penyakit mata ini akan cuba diketengahkan untuk meningkatkan pemahaman tentang risiko dan juga pencegahannya.

Mungkin ramai yang tidak tahu apa itu glaukoma, tetapi secara ringkasnya ia boleh menyebabkan seseorang menjadi buta tanpa sebarang tanda awal.

Ini bermakna mereka yang menghidap glaukoma boleh menjadi buta tanpa disedari, dan mungkin hilang segala keupayaan melihat wajah-wajah orang tersayang.

Mengenali glaukoma

Semua penyakit sistemik akan memberi kesan kepada mata, termasuklah kanser yang mudah merebak ke mata memandangkan kelajuan aliran darah yang tinggi di dalam mata.

Glaukoma melibatkan sekumpulan penyakit atau masalah mata yang menyebabkan kerosakan khusus kepada saraf optik dan seterusnya menjejaskan penglihatan.

Saraf optik umpama jambatan yang menyampaikan maklumat dari mata ke otak untuk diproses sebagai imej penglihatan.

Pengerusi Persatuan Oftalmologi, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Profesor Dr. Muhaya Mohamad menegaskan, oleh kerana saraf tidak dapat tumbuh kembali, sebarang kerosakan saraf optik juga kekal dan tidak dapat dipulihkan.

"Hampir tiada langsung simptom awal untuk glaukoma yang menyebabkan kerosakan kekal kepada saraf optik.

"Penglihatan yang terjejas tidak dapat dipulihkan lagi tetapi kemerosotan penglihatan dapat diperlahankan jika dikesan awal," jelasnya.

Menurut beliau, glaukoma mungkin melibatkan masalah peningkatan tekanan dalam mata, seperti mana kesan tekanan darah tinggi kepada salur darah, jantung dan buah pinggang.

Tambahnya, glaukoma berlaku secara senyap, perlahan dan berperingkat sedangkan kesannya adalah kekal dan tidak boleh dipulihkan kembali.

Walaupun kurang berkaitan dengan pemakanan, penyakit ini tetap berkait rapat dengan faktor persekitaran seperti kesan kepada radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan sel.

Walaupun belum dibuktikan sepenuhnya kaitan radikal bebas terhadap badan, sebarang bentuk tekanan tambahan kepada badan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang kronik.

Glaukoma akan mula menjejaskan penglihatan periferal (sisi) pesakit, menyebabkan hanya sudut pandangan terowong (hadapan) sahaja yang jelas.

Faktor risiko yang dikaitkan dengan penyakit ini termasuk peningkatan usia, tekanan tinggi dalam mata (IOP), sejarah keluarga dengan glaukoma, berketurunan Afrika atau Cina, dan miopia (rabun jauh).

Kesedaran umum dan pencegahan melalui pengesanan awal amat penting memandangkan glaukoma hanya boleh dikesan melalui pemeriksaan rapi mata.

Jika dikesan awal, tambahan kerosakan saraf optik dapat dicegah atau dilengahkan, mengekalkan tahap penglihatan yang tinggal dan seterusnya mengelakkan daripada menjadi menjadi buta.

Dr. Muhaya menyatakan, dari pengalaman beliau, lebih banyak pesakit Cina dan Melayu yang dirawat untuk masalah glaukoma di negara ini.

"Mata yang kecil meningkatkan risiko glaukoma. Glaukoma dan retinopati diabetik pula merupakan dua punca kebutaan utama yang boleh dicegah.

"Retinopati diabetik boleh dirawat tetapi tahap penglihatan asal tidak dapat dipulihkan. Glaukoma bagaimanapun tidak dapat dipulihkan lagi jika pesakit sudah buta," tegasnya.

Beliau menjelaskan, seperti penyakit kronik lain, mereka yang dikesan menghidap glaukoma juga perlu menjalani rawatan seumur hidup.

Mengesan dan mencegah

Dr. Muhaya menegaskan mungkin terdapat ramai individu yang tidak menyedari mereka menghidap glaukoma kerana penyakit ini hampir tiada simptom awal yang jelas.

"Kerosakan saraf optik akan berterusan, sehingga menjadi buta jika glaukoma tidak dikesan dan dirawat segera.

"Oleh itu, adalah amat penting untuk orang ramai memahami faktor risiko penyakit ini supaya ia dapat dikesan pada peringkat awal," katanya.

Beliau menekankan pengesanan dan rawatan awal juga dapat meningkatkan kebarangkalian mengekalkan deria penglihatan sehingga penghujung hayat, sekurang-kurang supaya sempat melihat anak dan cucu.

Dari segi rawatan, glaukoma kini dirawat menggunakan titisan mata ataupun pembedahan jika titisan mata gagal mengurangkan tekanan dalam mata.

Bagaimanapun, sasaran rawatan glaukoma adalah mengurang atau melengahkan kerosakan saraf optik, mengekalkan medan penglihatan pesakit dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Tinjauan serantau

Tinjauan All Eyes On Glaucoma Pfizer dijalankan baru-baru ini untuk individu melebihi umur 40 tahun di Malaysia, China, Taiwan, Hong Kong, India, Filipina, Korea, Singapura dan Thailand. Tinjauan serupa juga pernah dijalankan di Amerika Syarikat dan Eropah sebelum ini.

Selain untuk memahami tahap kesedaran, pemahaman dan pandangan mengenai kesihatan mata di kalangan penduduk Asia berumur 40 hingga 70 tahun, tinjauan ini juga diadakan bagi meningkatkan kesedaran tentang glaukoma dan keperluan golongan terbabit mengambil langkah pencegahan untuk menjaga kesihatan mata.

Secara puratanya, tidak sampai separuh penduduk rantau ini yang tahu mengenai glaukoma dengan purata 57 peratus tidak mengetahui apa itu glaukoma atau salah faham ianya sesuatu yang tidak melibatkan mata.

Penasihat Perubatan Kanan Pfizer Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr. Vicknesh Wellupillai yang membentangkan hasil tinjauan tersebut memaklumkan bahawa catatan menunjukkan tahap kesedaran glaukoma di Malaysia adalah yang paling rendah.

"Hanya 21 peratus rakyat negara ini mengetahui apa itu glaukoma, berbanding 66 peratus di Korea (tertinggi di Asia).

"Sembilan peratus lagi warga Malaysia salah faham glaukoma melibatkan masalah pendengaran, tekanan darah tinggi atau pendarahan dalaman, sementara 70 peratus langsung tidak tahu mengenai penyakit tersebut," katanya.

Ini menunjukkan hanya seorang dari setiap lima rakyat Malaysia pernah dengar dan betul-betul tahu bahawa glaukoma boleh menyebabkan kebutaan.

Bagaimanapun, peratusan serantau menunjukkan masih banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk di rantau Asia, terutamanya di Taiwan, Singapura, India dan Malaysia yang mencatatkan tahap kesedaran glaukoma paling rendah.

Dr. Vicknesh menjelaskan tinjauan itu turut menunjukkan 45 peratus responden dari Malaysia mempunyai risiko lebih tinggi menghidap glaukoma (rabun jauh, kecederaan atau masalah mata, tekanan darah tinggi) sedangkan 68 peratus daripada jumlah tersebut tidak mengetahui apa-apa mengenai glaukoma.

"Dua pertiga (67 peratus) rakyat Malaysia juga didapati lebih takut menjadi buta daripada mati muda.

"Ini dikaitkan mereka dengan kesukaran bekerja (68 peratus), memandu (48 peratus) atau keluar dari rumah (44 peratus) jika menjadi buta," jelasnya.

Doktor mata

Selain tahap kesedaran glaukoma yang rendah di rantau ini, tinjauan berkenaan turut menunjukkan rakyat Malaysia dan Singapura merupakan yang paling sukar bertemu doktor mata.

Dr. Vicknesh mendedahkan 87 peratus rakyat Malaysia tidak bertemu doktor mata sejak setahun lalu dan hanya 26 peratus yang pernah menjalani pemeriksaan tahap tekanan dalam mata (IOP).

"Tahap kesedaran glaukoma jelas rendah dengan hanya 39 peratus rakyat negara ini menjalani pemeriksaan mata yang kerap sementara sebahagian besar memikirkan ia bukan sesuatu yang perlu.

"Sebahagian besar golongan berumur lebih 40 tahun ini juga sedar tentang kepentingan memeriksa tekanan darah tetapi tidak untuk IOP," ujarnya.

Di samping itu, hanya 42 peratus daripada golongan yang berisiko menghidap glaukoma telah menjalani pemeriksaan IOP berbanding 85 peratus telah menjalani pemeriksaan tekanan darah.

Dr. Vicknesh menambah, tahap kesedaran di kalangan doktor keluarga juga perlu ditingkatkan kerana mereka didapati kurang merujuk kes pesakit kepada doktor mata. Cuma 33 peratus responden Malaysia pernah dirujuk doktor keluarga kepada doktor mata.

Lebih banyak pendedahan dan pendidikan tentang glaukoma, terutamanya di kalangan melebihi umur 40 tahun, perlu dijalankan supaya tahap kesihatan mata dan deria penglihatan penduduk Malaysia dan rantau Asia tidak terjejas.

Kerjasama semua pihak berwajib, berkelayakan dan berkemampuan amat perlu dalam menggalakkan pencegahan glaukoma melalui pemeriksaan rapi dan IOP mata, termasuklah di kalangan doktor keluarga bagi memastikan rujukan pesakit kepada pakar bersesuaian.

Namun, penekanan kepada kesedaran glaukoma turut mementingkan kesihatan umum mata dan deria penglihatan.

Orang ramai perlu mementingkan kesihatan mata setaraf dengan masalah kesihatan lain seperti diabetes, masalah kardiovaskular, sendi, sistem peranakan mahupun sistem penghadaman.

Penglihatan sebagai satu daripada lima deria utama memberi kesan besar kepada kehidupan harian.

Fikirkan sendiri sejauh mana anda dapat menyesuaikan diri menjalani kehidupan tanpa salah satu deria utama ini.

Janganlah disia-siakan anugerah penglihatan yang tidak dinikmati sesetengah warga Malaysia lain, sedangkan penyakit seperti glaukoma dapat dibendung dan dikawal jika dikesan dari peringkat awal.

Bersama kita memastikan glaukoma dan mana-mana penyakit mata tidak lagi meragut penglihatan warga Malaysia, sebelum tiba hujung hayatnya.

No comments:

Post a Comment