Dalam al-Quran ada menyatakan sifat ini. Allah berfirman, maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya..." (an-Nisa': 58)
Nabi s.a.w sering mengingatkan umatnya mengenai keutamaan sifat ini melalui hadis diriwayatkan Imam Ahmad, al-Bazzar dan Tabrani, maksudnya: "Tiada iman bagi orang yang tiada amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak (dipercayai) janjinya."
Amanah ialah setiap yang wajib dipelihara dan wajib ditunaikan kepada ahlinya yang berhak. Pengertian ini tidak terbatas terhadap sesuatu bidang saja, bahkan merangkumi semua hubungan.
Mematuhi iman dan menghayatinya dengan segala yang diperlukan supaya semakin subur dan tetap subur adalah amanah.
Begitu juga ikhlas dalam segala bentuk ibadat kerana Allah adalah amanah, melakukan ihsan kepada orang adalah amanah dan memberikan hak kepada mereka yang berhak adalah amanah.
Dalam keluarga, ibu atau bapa perlu menunaikan amanah dengan sebaik mungkin manakala dalam pentadbiran sesebuah organisasi, ketua mesti menyempurnakan amanah.
Skop pemerintahan sesebuah negara lebih-lebih lagi perlu kepada pemeliharaan sifat amanah. Bagi memastikan amanah itu terpelihara, penyerahan mandat perlulah kepada yang amanah, mempunyai kekuatan, yang ahli dan ikhlas.
Jika diutamakan orang yang sebaliknya manakala yang sebenarnya berhak dikemudiankan, menurut sesetengah ulama itu suatu petanda untuk diperangi Allah.
Daripada Yazid bin Sufyan, katanya: "Saidina Abu Bakar r.a berkata padaku ketika aku diutuskan menjadi penyusun pemerintah di Syam (Syria): Wahai Yazid! Engkau ada hubungan kekeluargaan yang mungkin akan terpengaruh dengan pemerintahan. Itulah yang aku bimbangkan mengenai dirimu selepas Rasulullah s.a.w bersabda; sesiapa yang dilantik untuk menjalankan suatu urusan umat Islam, lalu ia melantik seseorang kerana pilih kasih maka laknat Allah ke atasnya. Tidak diterima amalan fardu dan sunatnya sehingga dimasukkan ke neraka." (Riwayat al-Hakim)
Harta dan kekayaan negara adalah amanah yang diamanahkan di tangan pemerintah. Menjadi kewajipan ke atasnya meletakkan harta itu pada tempatnya, membelanjakannya pada jalan yang memberikan manfaat kepada rakyat dalam perkara yang memberikan kemakmuran dan kesejahteraan.
Seperti dikatakan, pengertian amanah cukup luas. Menyimpan rahsia juga termasuk dalam daerah amanah, misalnya rahsia untuk memelihara hak sahabat.
Jika perkara ini dianggap tidak penting, lalu membuka rahsia orang lain yang boleh memberikan mudarat kepadanya, sudah tentu perbuatan itu sangat tercela dan haram.
Ulama menegaskan, amanah menuntut kita merahsiakan sesuatu sekalipun terpaksa berbohong kerana berkata benar itu bukannya wajib secara mutlak pada setiap keadaan dan tempat.
Rasulullah bersabda: "Semua majlis itu adalah amanah melainkan tiga majlis saja; majlis kerana merancang pembunuhan yang ditegah, majlis seks yang dilarang dan majlis yang merancang untuk mengambil harta tanpa hak."
Antara rahsia yang paling utama dan sangat perlu dirahsiakan ialah hubungan antara suami isteri. Islam meminta umatnya menyembunyikan segala rahsia suami isteri dan jangan sampai ia diketahui orang luar.
Sabda Nabi s.a.w bermaksud: "Sejahat-jahat manusia di sisi Allah dari segi kedudukannya pada hari kiamat ialah orang yang melakukan hubungan suami isteri kemudian menyebarkan rahsia isteri atau suaminya."
Amanah juga ada dalam tutur bicara. Contohnya ketika memberikan nasihat kepada seseorang, perlulah dengan ikhlas menyatakan sesuatu yang baik dan memberikan manfaat kepada pihak terbabit.
Jika seseorang itu memberikan nasihat yang buruk, memperkatakan sesuatu yang tidak wajar dan boleh merugikan pihak terbabit, sudah tentu berlaku khianat dalam nasihat terbabit.
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Tanda orang munafik ialah tiga manakala bercakap dusta, manakala berjanji mungkir dan apabila diamanahkan khianat." (Riwayat al-Bukhari)
Jelas, amanah merangkumi banyak aspek kehidupan, bermula pada sudut keperibadian diri sendiri hingga urusan yang membabitkan kepemimpinan dan kenegaraan. Oleh itu, sudah tentu ia suatu sifat yang cukup berat untuk diamalkan.
Daripada Saidina Ali r.a katanya yang bermaksud: "Kami duduk bersama Rasulullah s.a.w lalu muncul seorang dari keluarga al-Aliyah dan bertanya kepada Rasulullah:
Wahai Rasulullah...beritahulah padaku, apakah suatu yang paling berat dalam agama dan apakah yang paling ringan?
Lalu jawab Rasulullah s.a.w: "Yang paling ringan dan mudah ialah mengucapkan dua kalimah syahadah dan yang paling berat wahai saudari al-Aliyah ialah amanah. Sesungguhnya tidak ada agama bagi orang yang tiada amanah, tiada solat baginya dan tiada zakat." (Riwayat al-Bazzar)
No comments:
Post a Comment