EKZEMA merupakan salah satu bentuk keradangan kulit yang lazim dialami oleh golongan kanak-kanak mahu pun orang dewasa. Begitupun, peratusan risiko kanak-kanak menghidapi penyakit itu berbeza-beza mengikut genetik.
Pakar kanak-kanak dari Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Syed Nazir Ms Kadir berkata, risiko bayi atau kanak-kanak menghidap penyakit tersebut lebih tinggi sekiranya kedua-dua ibu bapanya juga menghidap ekzema.
Di Malaysia, bilangan pesakit ekzema di kalangan bayi semakin meningkat dari tahun ke tahun dan pakar mendapati bahawa sebahagian daripada puncanya adalah pengaruh keadaan sekeliling dan alahan terhadap pemakanan.
"Banyak juga kes di mana bayi di negara ini mengalami alahan kepada susu lembu. Bayi-bayi ini biasanya akan menunjukkan tanda-tanda seperti ruam setiap kali diberi susu formula berasaskan susu lembu atau ibu yang menyusukan badan minum bahan daripada susu lembu.
"Sebab itu sekiranya ibu bapa mengesyaki kelainan pada kulit bayi, mereka digalakkan untuk berjumpa dengan doktor seberapa segera sebelum ia lebih memudaratkan bayi," jelasnya.
Dr. Syed berkata, doktor akan memastikan ruam yang timbul pada kulit bayi itu ruam biasa atau ekzema, ini kerana rawatan yang digunakan untuk kedua masalah kulit ini adalah berbeza.
Salah satu cara untuk melihat anak yang mengalami ekzema ialah apabila mudah berpeluh dan berasa gatal terutama ketika cuaca panas.
Sensitif
"Bayi ekzema akan sensitif kepada cuaca panas, mereka akan berpeluh terutama di bahagian pelipat seperti di leher, belakang lutut, telinga dan siku.
"Selain itu, bayi ekzema juga akan menunjukkan simptom alahan pada bulu atau habuk yang akan menyumbang kepada masalah lain seperti lelah dan hidung berair. Kaitan antara ekzema dan lelah atau asma adalah tinggi," jelas beliau lagi.
Perlu juga diingatkan kepada ibu bapa bahawa penggunaan bahan kimia dalam sabun bayi boleh membawa kepada timbulnya penyakit tersebut.
Sabun biasa yang mengandungi bahan kimia tinggi akan mengeringkan kulit bayi dan seterusnya menyebabkan ekzema mereka semakin teruk.
"Adalah disarankan kepada ibu bapa yang bayinya menghidap ekzema untuk menggunakan sabun khas sewaktu memandikan bayi mereka. Sabun ini boleh dibeli di klinik atau farmasi atas nasihat doktor.
"Selepas mandi, bayi yang mengalami ekzema perlu disapu pelembap pada seluruh badan dan pastikan mereka memakai pakaian daripada fabrik kapas yang bersih dan tidak panas," katanya.
Selain itu, kata Dr. Syed Nazir, adalah penting untuk diberitahu kepada semua ibu bapa bahawa penyakit ekzema bukanlah penyakit yang boleh merebak.
"Akan tetapi apabila bayi atau kanak-kanak menggaru bahagian tersebut dengan kuku, jangkitan akan berlaku dan menjadikan kawasan ekzema tersebut semakin melarat.
"Sebagai ibu bapa, selain mandian dan pakaian yang bersih, pastikan kuku anak sentiasa pendek untuk mengelakkan jangkitan kuman," jelas beliau.
Rawatan asas
Mengenai rawatan sesuai untuk bayi yang menghidap ekzema, beliau berkata, rawatan asas ialah dengan memberi kelembapan pada kulit seperti menyapu pelembap.
Manakala, rawatan menggunakan ubat-ubatan kimia pula bergantung kepada fasa penyakit tersebut.
"Sekiranya agak serius, krim sapu yang mengandungi steroid boleh digunakan. Apabila krim ini disapu pada kulit ia boleh memberi kelegaan kepada kerengsaan akibat ekzema tersebut.
"Bagaimanapun pengambilan ubat tersebut tidak harus melebihi daripada lima hari kerana akan mendatangkan kesan sampingan yang lain pula.
"Ibu bapa perlu prihatin dan mematuhi arahan pemakaian ubat yang telah diberikan oleh doktor," jelas Dr. Syed lagi.
Ketika ditanya adakah penyakit ekzema ini boleh sembuh sepenuhnya apabila bayi membesar, Dr. Syed berkata, ia bergantung kepada individu.
"Ada ekzema yang hilang ketika kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun, ada juga yang hilang ketika usia mencecah 12 tahun dan bagi kes yang lebih teruk, ia berlanjutan hingga ke tua," katanya.
Apa pun, berikut beberapa langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah ekzema:
l Bawa anak berjumpa doktor
l Pastikan makanan yang menjadi alahan kepada mereka seperti susu lembu, telur, kekacang dan sebagainya. Elakkan makanan tersebut.
l Pastikan mereka mandi dengan sabun khas yang berkelembapan tinggi tanpa bahan kimia yang mengeringkan kulit.
l Sapu pelembap di seluruh badan selepas mandi.
l Pakai pakaian yang nipis dan diperbuat daripada fabrik kapas.
l Pastikan persekitaran rumah bersih dan bebas dari habuk dan kotoran.
l Jika anak berpeluh ambil kain basah dan lap di tempat yang berpeluh.
l Pastikan kuku anak sentiasa pendek agar dia tidak boleh menggaru dan seterusnya memudaratkan lagi ekzemanya.
Sementara itu, seorang ibu yang bayinya mengalami ekzema, Syarifah Zainon Syed Ahmad Malik, berkata, walaupun ekzema pada bayinya, Rayhan Al Imran tidak begitu teruk tetapi bayi tersebut kerap tidak berasa selesa dengan keadaan tersebut.
Justeru beliau mengikut segala arahan yang diberikan oleh doktor dan kini ekzema pada Rayhan terkawal dan tidak seteruk sewaktu dia baru dilahirkan.
Menurut Syarifah Zainon, bayinya mudah berasa tidak selesa apabila cuaca panas di mana ruam akan timbul di merata tubuh hingga ke bahagian pipi.
"Dengan mengikut nasihat doktor dan menjaga persekitaran rumah agar tidak berhabuk dan suhu tidak panas, sedikit sebanyak membantu anak saya menghadapi penyakit tersebut dengan lebih baik," katanya.
Salam. Suggest try natural healing - guna Tropika Baby Skin Care Set. Based on minyak kelapa dara, chemical free, steroid free, parabens free. Keluaran bumiputera muslim. Dh byk feedbcak from ibu2 anak ekzema. Bole visit www.tropikababies.blogspot.com atau FB - Tropika VCO & Medela Swing Maxi for more info.
ReplyDeleteHarap membantu.