Ibu penulis sering mengatakan ‘ya’ dan memberitahu dia sering mendoakan perkara baik untuk anaknya.
Kesanggupan ibu bangun malam untuk melakukan solat hajat mendoakan kejayaan untuk anaknya membuatkan hati penulis tersentuh.
Apabila dewasa dan berjauhan daripada keluarga kerana bekerja, penulis masih berterusan memintanya mendoakan penulis kerana yakin doa ibu mustajab.
Menurut panduan mendidik anak cemerlang, antara kesilapan mendidik anak ialah kurang berdoa ketika membesarkan anak. Doa adalah senjata bagi mukmin dan doa ibu bapa untuk anaknya sangat makbul.
Ibu digalakkan berdoa ketika anak masih di dalam kandungan, memohon rahmat daripada Allah SWT kerana kehidupan anak bermula sejak alam rahim lagi.
Selain itu, doakan supaya anak patuh kepada perintah Allah, dikurniakan zuriat yang baik dan menyejukkan hati serta mengharapkan nama yang diberi kepada anak membawa kebaikan kepadanya.
Memohon pertolongan Allah dalam mendidik anak adalah penting dan ini diperkuatkan dengan sabda Rasulullah SAW: “Doa itu senjata bagi orang beriman, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.”
Kata-kata yang keluar daripada mulut ibu atau bapa, keyakinan, doa, harapan dan impian mereka sebenarnya adalah doa yang terkesan dalam jiwa anak.
Apabila berdoa, ia mesti disusuli dengan tindakan sewajarnya dalam usaha kita membentuk keperibadian anak. Sematkan dalam hati, yakin anak kita bagus dan cemerlang.
Beri kata semangat untuk anak dan beritahu anak mengenai apa yang kita doakan untuk mereka. Cara itu secara tidak langsung dapat membantu mengajar anak rajin berdoa. Mereka juga akan menyedari ibu bapa menaruh harapan baik terhadap mereka.
Apabila marahkan anak, jaga tutur kata anda. Elak mengeluarkan kata kesat walaupun itu bukan niat anda terhadap anak, misalnya: “Apa nak jadi kau ni? Dahlah otak lembab, malas pulak tu. Kalau macam ni, esok dah besar merempatlah jawabnya.”
Kata-kata ibu adalah doa. Oleh itu, doakan kebaikan untuk anak dan hindari mendoakan sesuatu yang buruk untuk mereka.
Andai anak anda berakhlak baik dan soleh, doakan dia tetap dalam kebaikan. Jika anak tidak soleh, mohon anak mendapat hidayah. Anak yang soleh pula akan mendoakan ibu bapanya.
No comments:
Post a Comment