MENGAPA tiba-tiba si dia berubah tingkah? Jika dulu seorang yang ceria kini langkah dan tindakannya semakin dingin, beku bahkan membosankan. |
Sedang pantai lagikan berubah, inikan pula hati pasangan yang pernah berkongsi segenap rasa dengan anda. Di hati mula terfikir apakah si dia sudah ada yang lain? Sedang dulu berjanji sehidup semati kini bicaranya jauh berbeza. Apakah dia sudah memasang yang lain?
Lebih ketara lagi, ada yang dulunya pendiam dan tidak begitu ramah kini segala tingkahnya habis berubah. Mesra, terlalu memanjai anda tanpa diduga memberi hadiah yang berharga juga membuat anda mengumpul rasa curiga.
Pertanyaan demi pertanyaan mula menghantui fikiran sehingga anda menyangka dia mula curang. Tiada orang yang sanggup mengaku dia bermain kayu tiga atau menduakan pasangan. Tidak kira bagi pasangan suami isteri mahupun yang sedang bercinta. Perkara ini sebenarnya boleh diketahui tanpa perlu menunggu si dia mengaku jika anda seorang yang prihatin.
Hanya dengan membaca sikap dan tingkah lakunya saja anda sepatutnya boleh mengagak si dia sedang menduakan anda. Di bawah adalah beberapa tanda yang boleh anda perhatikan dan mungkin terdapat pada pasangan. Ingat, walaupun tidur sebantal tetapi mimpi yang datang berbeza:
* Tiba-tiba jadi terlalu sibuk
Alasan yang paling klasik dan paling basi tetapi masih sering diutarakan. Tidak jelas apa yang membuatkan pasangan anda sibuk tetapi dia selalu mengelak untuk diajak bertemu. Kalau anda minta untuk ikut sekali dalam aktivitinya dia menuduh anda tidak percayakan dirinya.
Apabila anda memprotes pasangan yang dia jarang meluangkan masa dengan anda, dia akan marah anda kembali dan mungkin menjadi sangat defensif. Jika si dia sudah menunjukkan tanda ini jangan terus menyerang dan mendakwanya melulu bahawa dia menduakan anda. Sebaliknya jangan ambil peduli dengan kegiatannya. Sambil itu, cuba selidik apa kegiatannya selama ini. Jika sudah mempunyai bukti konkrit, dia pasti tidak dapat mengelak. Dia akan berasa bersalah dan ketika itu anda buatlah keputusan terbaik untuk diri sendiri.
* Berubah menjadi terlalu setia dan romantik
Siapa yang tidak gembira kalau diajak makan malam setiap hari di restoran mahal, diberi pujian melambung-lambung dan kata-kata yang romantik? Tapi awas jangan terpedaya dengan perubahan sikap sebegini. Mungkin apa yang dilakukan adalah untuk mengaburi mata anda.
Dia mengetahui apa yang anda mahu. Dia jua tahu apa yang membuatkan hati kita senang dan memanfaatkan semua untuk kepentingan diri sendiri. Selalunya kalau ditanya apa yang membuatkan dirinya begitu berubah, tiada alasan yang jelas dan tidak memberi jawapan yang cukup menyenangkan hati anda. Untuk mendapat kepastian daripadanya, sekali- sekala tolak ajakan dan pemberiannya. Jika dia marah, berikan alasan yang logik dan biarkan dia kebingungan. Sementara itu cari maklumat mengenai kegiatannya di belakang kita.
* Kerap ke luar daerah
Kalau sebelum ini dia jarang ke luar kawasan, kini dia sering pulang lewat. Bahkan pada hari tertentu menyatakan dia akan ke luar daerah justeru tugas menuntutnya ke sana. Selidik dengan syarikat atau pejabatnya kalau-kalau anda diperalatkan dengan pendustaannya.
Menggunakan orang tertentu untuk menjejaki jalannya itu mungkin menjadi cara terbaik buat anda menjerat si dia yang mula merangka strategi tertentu. Sikap sabar, bijak dan bertindak secara profesional akan memberi keuntungan kepada anda. Memang ia menyakitkan tetapi ubat kesabaran memberi kesan yang amat mustajab!
* Terlalu banyak berahsia
Waktu sedang bersama anda, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dengan segera dia menjauhkan diri daripada anda dan bercakap seperti berbisik. Apabila ditanya dengan siapa dia bercakap, jawapannya tidak jelas. Kalau anda meminta mahu memeriksa telefonnya, dia marah dan menuduh tidak mempercayainya.
Anda tidak perlu terus menuduhnya yang bukan-bukan. Lebih baik bersikap sewajarnya. Jika anda memperlihatkan kemarahan, pasangan anda pasti ada cara lain untuk menutupi rahsianya. Cubalah anda bersikap tidak ambil tahu sikapnya tapi dalam diam-diam korek rahsianya.
Manfaatkan perasaannya ketika dia berasakan sudah dapat membodohkan diri anda. Percaya saja dengan kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat pasti akan jatuh juga. Biar masa saja yang menentukannya. Kalau anda sabar, rahsia pasti akan terbongkar juga.
* Berubah penampilan dan pendapat
Jatuh cinta boleh menyebabkan kita boleh melakukan apa saja dan kadang-kadang terhadap perkara yang tidak masuk akal. Jatuh cinta juga boleh menyebabkan tingkah laku berubah termasuk penampilan, gaya hidup dan pendapat. Mungkin dia jatuh cinta pada anak orang kaya, jadi penampilan dia agak jauh berubah supaya lebih serasi.
Atau dengan orang yang lebih muda, pemakaiannya agak keremajaan.
Hati-hati kalau pasangan berubah begitu drastik, apalagi kalau dia tidak ada alasan yang kuat untuk berubah. Biarkan dia buat begitu semahunya dan tunggu hingga berapa lama dia boleh bertahan. Kalau perubahan itu memang bukan dalam dirinya, dia tidak perlu lama untuk berubah kembali menjadi dirinya yang dulu.
No comments:
Post a Comment