“Wahai Abdul Kadir, aku adalah Tuhanmu. Engkau sudah mencapai darjat kekasihku. Mulai hari ini, aku halalkan bagimu apa yang aku haramkan atas hamba-hambaku.”
Mendengar seruan itu, tahulah Syeikh Abdul Kadir yang ia adalah suara syaitan cuba memperdayakannya. “Celakalah kau syaitan! Sesungguhnya Tuhanku tidak akan menghalalkan apa yang sudah diharamkan-Nya.”
Syaitan tidak berputus asa, lalu ia berkata lagi: “Sudah ramai wali Allah yang berjaya aku sesatkan dengan helahku, tetapi engkau sudah selamat dari tipuanku kerana ilmumu tinggi.”
Balas Syeikh Abdul Kadir: “Celakalah engkau, bukan ilmuku yang menyelamatkan aku dari sebarang tipu dayamu, tetapi rahmat Allah jualah yang dapat menyelamatkan aku.”
Demikianlah secebis kisah orang berilmu, tidak sedikitpun terpedaya dengan umpanan syaitan. Berbeza dengan orang jahil yang mudah tewas dengan pujuk rayu makhluk terkutuk itu.
Wujud perbezaan ketara di antara orang berilmu dan jahil. Orang berilmu lebih mulia peribadi dan kedudukannya, bahkan dalam ibadat tinggi kualitinya, manakala kehidupannya pula lebih berhati-berhati, tetapi tidak pada orang jahil.
Ini sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah, ayat 9 surah az-Zumar, antara lain bermaksud: “Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?
Setiap orang memiliki potensi untuk meraih ilmu dan mengembangkannya dengan izin Allah. Oleh itu, kita diperintahkan untuk menempuh jalan melalui pelbagai cara untuk memperolehnya khususnya dengan membaca.
Membaca juga perintah pertama yang disampaikan malaikat Jibril kepada Rasulullah.
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah. Tuhanmu adalah Maha Mulia, yang mengajarkan manusia menulis dengan pena. Mengajarkan manusia apa saja yang tidak diketahui.” (al-Alaq: 1-5)
Menurut Dr Gamal Zakaria dalam bukunya berjudul Jalan Menuju Kedamaian, membaca adalah perintah yang paling penting dan paling bermakna ditujukan kepada seluruh umat manusia.
“Kenapa perintah pertama mesti membaca? Betapa pentingnya membaca, Allah s.w.t menurunkan perintah terbabit pada wahyu pertama dengan mengulangi kalimah iqra’ sebanyak dua kali,” katanya.
Beliau berkata, pada ayat terbabit, Allah s.w.t menjanjikan kepada sesiapa yang membaca kerana Allah akan dikurniakan kepadanya anugerah ilmu, pemahaman dan wawasan baru, walaupun objeknya sama.
“Janji Allah dapat dibuktikan dengan sangat jelas dan pasti, ketika kita membaca ayat al-Quran.
“Semakin banyak dan berulang kali kita membacanya, akan muncul penafsiran baru, pengembangan pendapat terdahulu dan keajaiban walaupun membaca ayat yang sama.
“Begitu juga halnya ketika ahli pengkaji membaca alam jagat raya melalui fenomena dan kejadiannya, akan lahirlah penemuan dan teori baru,” katanya.
Kita mendapati orang yang berilmu tabiatnya suka membaca.
Membaca membekalkan ilmu dan keperluan utama untuk membangunkan sebuah peradaban dan bangsa yang maju.
Dr Gamal berkata, semakin mantap dan bermutu bacaan sesuatu bangsa, semakin tinggi peradabannya.
“Hal ini dibuktikan oleh bangsa yang maju dan memiliki peradaban yang tinggi. Mereka adalah bangsa yang rajin membaca buku berkualiti dan menjadikan budaya membaca sebahagian daripada keperluan hidup mereka.
“Bertitik tolak daripada budaya membaca ini lahir karya agung dalam berbagai-bagai bidang.
“Namun ironinya, masyarakat kita pada hari ini adalah masyarakat yang malas membaca termasuk warga kampus.
“Pensyarah dan mahasiswa jarang mengunjungi perpustakaan sehingga masih banyak buku yang belum terjamah.
“Masyarakat kita gemar membaca bahan yang bercorak hiburan, sukan dan hobi berbanding buku ilmiah,” katanya.
Bahkan tidak mustahil juga dengan tabiat malas membaca, menyebabkan semakin ramai orang yang jahil lagi bodoh, sehingga orang ini mengambil tempat dalam masyarakat dan negara, mengakibatkan semuanya punah.
Maksud sabda Nabi s.a.w berikut wajar direnungi: “Allah tidak menarik kembali pengetahuan dengan jalan mencabutnya dari hati manusia, tetapi dengan jalan mematikan orang yang berilmu. Apabila orang berpengetahuan sudah punah, masyarakat mengangkat orang bodoh menjadi pemimpin dan tempat bertanya. Orang ini akan berfatwa tanpa ilmu, mereka itu sesat dan menyesatkan.”
No comments:
Post a Comment