PERTOLONGAN yang dijanjikan Allah tetap berlaku kerana Allah berkuasa menukar gantikan sesuatu keadaan sebagaimana kuasa-Nya memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti); dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat. (al-Haj: 61)
HURAIAN
Sebagai hamba Allah, manusia bersifat lemah dan saling memerlukan antara satu sama lain.
Kerana sifat itu jugalah, mereka sering dianiaya dan hak mereka dicabuli. Telah menjadi lumrah kehidupan juga siapa yang kuat dan berkuasa akan disanjung dan dihormati. Sementara mereka yang lemah pula akan ditindas dan dizalimi.
Oleh yang demikian mereka hendaklah bersabar di atas dugaan yang menimpa mereka dengan mengharapkan pertolongan Allah SWT. Berdoa dan bertawakal kepada Allah sepenuh hati kerana Allah berkuasa atas segalanya sebagaimana berkuasanya Allah menguasai peraturan alam buana ini.
Diciptakan-Nya malam dan siang silih berganti. Begitu juga pertukaran musim-musim sama ada musim panas, sejuk, luruh dan sebagainya. Kekuasaan-Nya sungguh mengagumkan dengan tidak pernah mungkir atau terlewat. Janji Allah itu pasti berlaku.
Mereka yang beramal soleh dan menuruti suruhan-Nya akan mendapat balasan syurga. Sebaliknya mereka yang ingkar dengan melanggar perintah-Nya akan dimasukkan ke neraka.
KESIMPULAN
Kita hendaklah sentiasa mengharapkan pertolongan dan keredaan dari Allah SWT, bukan memohon pertolongan dari kuasa-kuasa lain kerana dibimbangi akan menjadikan kita tergolong ke dalam golongan orang-orang yang mensyirikkan Allah.
Sesungguhnya Allah itu amat berkuasa terhadap sesuatu dan akan menolong hamba-hamba-Nya yang mengharapkan pertolongan daripada-Nya. Oleh itu, sentiasalah kita berdoa dan bertawakal kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment