NAFSU adalah musuh manusia. Ia menjadi laluan syaitan untuk melalaikan dan menyesatkan manusia. Sebab nafsu, manusia boleh menjadi tamak haloba, hilang sifat kemanusiaannya hingga sanggup menipu, menyakiti dan mencederakan orang.
Apabila nafsu menguasai diri, ibarat akal yang sudah di bawah pengaruh ganja, hilang belas kasihan apabila sudah gian hingga sanggup berbuat apa saja, hatta membunuh orang lain.
Sejak kecil lagi anak dibekalkan dengan nafsu, ada yang positif dan ada yang negatif. Nafsu perlu dididik sejak kecil dan ibu bapalah yang patut memainkan peranan itu, menyesuaikan dengan kebaikan.
Imam Al-Ghazali pernah menyarankan, agar anak tidak dimuakan (dimanjakan) dengan kesenangan yang akan menggemukkan hawa nafsu.
Sesekali, biarlah anak berasa sedikit kesukaran dalam kehidupannya. Jangan pula berkata: “Biarlah, itukan budak-budak, nanti besar dididiklah.”
Ini sebenarnya pendapat yang salah kerana hakikatnya jika kecil payah dididik, apabila remaja atau dewasa lagilah sukar. Ini kerana nafsu tua mengikut tuannya, lebih meningkat umur, lebih payah dibentuk dan dididik.
Fahamkan kepada anak sejak dari kecil mengenai nafsu jahat dan baik. Biasakan anak dengan tuntutan syariat seperti solat, puasa dan bab aurat, supaya ia menjadi suatu kebiasaan dan tabiat.
Bantulah anak menahan nafsu yang negatif kerana kegagalan mendidik nafsu anak sejak dari awal, lahirlah manusia dewasa yang berbangga dengan maksiat dan kemungkaran dilakukannya tanpa secebis rasa kekesalan terhadap apa dilakukannya.
Zaman remaja adalah waktu di mana cabaran hawa nafsunya amat besar, lebih-lebih lagi dugaan dan godaan sekeliling amat hebat, dengan gadis yang menawan, pusat hiburan di sana-sini, pengedar dadah bertebaran mencari mangsa, kekayaan dan kemewahan dengan cara salah, kecanggihan Internet yang tidak bertapis dan macam-macam lagi.
Remaja yang tidak ada ‘back up’ (pelindung) iman dalam dirinya akan mudah tewas dan hanyut dengan gelombang nafsunya. Tetapi, remaja berjiwa Islam akan membezakan perkara yang makruf (baik) dan yang mungkar (jahat).
Abdullah bin Mas’ud, seorang sahabat Nabi s.a.w berkata: “Binasalah orang yang tidak membezakan yang makruf dengan yang mungkar.”
Jangan nanti pula semuanya disapu, yang baik dilakukan tetapi yang mungkar tidak ditinggalkan. Jika begitu akan berlaku kecelaruan dalam hidup.
Senjata menghadapi nafsu adalah Islam, iman, akal dan ilmu. Sebagaimana kata-kata seorang cendekiawan Islam: “Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin serta nafsu sebagai tawanan dan rugilah orang yang menjadikan nafsunya sebagai pemimpin serta akalnya sebagai tawanan.”
Justeru, tepuk dada tanya iman. Apakah iman kita mampu mengekang nafsu atau kita hanya mengikut kata nafsu?
No comments:
Post a Comment