SEBAGAI wanita, perlu diketahui lelaki bukanlah satu kejadian yang dapat memahami diri anda dengan mudah. Jika anda tidak memberitahu dan tunjukkan padanya apabila dia melakukan sesuatu yang melukakan hati anda, kebarangkalian dia terus melakukan perkara serupa itu tinggi kerana dia tidak tahu dan tidak sedar yang dia sudah melukakan hati anda.
Ini pasti akan menambahkan lagi luka di hati kerana dia seperti hanya ‘buat bodoh’, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Mereka yang berpasangan ingin mempunyai fasa yang sentiasa ceria, kukuh, mantap, penuh dengan cinta dan romantik. Jika boleh, tiada konflik antara mereka.
Namun, ‘tradisi’ dalam perhubungan itu sendiri tidak memungkinkan ia bebas daripada berlaku perselisihan faham, bermasam muka, terasa hati dan perkara yang sewaktu dengannya. Berikut sedikit petua yang mungkin dapat dijadikan pengajaran:
Pasangan yang cemerlang bertengkar dengan sebab. Mereka tidak bergaduh besar dan tidak terlalu mengikut emosi apabila keadaan menjadi tegang.
Pasangan yang tidak berfungsi dengan sempurna juga bertengkar atau mungkin tidak. Tetapi apa yang pasti ada pada pasangan seperti ini ialah mereka menyimpan perasaan tidak puas hati dan selalunya membenarkan perasaan itu merusuh dalam diri. Masalah utama kepada setiap pasangan ialah perasaan tidak puas hati dan geram yang tidak mampu dilepaskan.
Apabila perasaan tidak puas hati semakin bertambah dan berkembang, ia mula memberi kesan ke atas persepsi terhadap pasangan. Trauma zaman kanak-kanak atau perhubungan lalu sering menghasilkan perasaan geram atau tidak puas hati yang ditujukan dalam sesuatu perhubungan baru.
Perasaan tidak puas hati adalah perasaan marah atau geram yang terkumpul atau bertambah secara perlahan-lahan dalam diri seseorang akibat melakukan atau memberi sesuatu dengan berlebihan berbanding apa yang diperoleh.
Memberi dengan berlebihan daripada apa yang anda dapat semula adalah baik sekiranya ia berpada-pada. Namun, tiba satu masa, ia membuatkan seseorang itu rasa ditipu atau dipermainkan.
Konflik sentiasa dihadapi dalam sesuatu perhubungan intim dan istimewa. Kalau anda ingin berada dalam sesuatu perhubungan dan pada masa sama, tidak mahu mengambil risiko, lupakan saja impian untuk berpasangan, apatah lagi berkahwin.
Terbabit dalam hubungan sebagai seorang yang matang dan dewasa bermakna anda mesti berhadapan serta mengambil risiko. Ada masanya anda perlu berkata sesuatu, menunjukkan dan menegaskan sesuatu perkara serta bertanya soalan yang kelihatan seolah-olah memalukan atau melukakan pasangan anda.
Sekiranya anda tidak mampu atau tidak boleh mengambil risiko dalam perhubungan bersama pasangan, suatu yang pasti, anda tidak mungkin jadi semakin intim dengannya.
Menekan atau memendam perasaan marah memberi kesan ke atas bahagian yang paling penting dalam diri setiap wanita iaitu hatinya.
Ini adalah separuh daripada psikologi yang dipanggil bahagian yang mempunyai tindakan luar sedar, tugas utamanya adalah untuk melindungi dan membolehkan kita terus hidup.
Dalam usaha untuk membuatkan diri rasa tenang, hati akan berkata, “Anda tidak perlu rasa disayangi. Percayalah, anda tidak akan terasa ‘tempang’ tanpanya.”
Hati anda perlu ‘menipu’ dan meyakinkan bahawa apa juga kehilangan yang anda rasakan tidak penting dan anda tidak perlu rasa kecewa. Ini membolehkan anda membesar dan pada masa sama, tidak sedar betapa sebenarnya anda sangat memerlukan kasih sayang dan belaian.
Hanya untuk memberi peringatan kepada diri, keadaan ini akan meletakkan seolah-olah satu pagar kawat yang berduri di sekeliling hati anda supaya apabila ada saja harapan yang anda rasa atau letakkan ke atas seseorang, hati yang dipagari itu akan mengingatkan menaruh harapan hanya akan meluka dan mengecewakan. Apabila dikatakan pagar kawat yang berduri, ia merujuk kepada perasaan yang kuat seperti ketakutan, keraguan, kekecewaan atau kelukaan.
Sesuatu dalam diri anda mula berkata, “Tidak, sebenarnya aku inginkan satu perhubungan di mana aku disayangi, dibelai dan dimanja”. Jadi anda mula membenarkan orang lain mendekati diri anda dengan bertemu janji, berkenalan, bercinta, berpasangan ataupun berkahwin, pada peringkat awal hampir segalanya sangat indah.
Namun perasaan yang indah ini mula membawa kembali kenangan dilukai dan kekecewaan yang sudah anda lalui iaitu kenangan ketika kecil dulu apabila anda mula menaruh harapan hanya untuk dilukai kemudiannya. Jadi pagar kawat yang berduri ini mula menjelma dan menaikkan dirinya di sekeliling hati anda dan tanpa sebab jelas, anda mula mensabotaj perhubungan anda sendiri. Pada masa sama, pasangan anda terpinga-pinga dan tertanya-tanya, apa salah dirinya?
Hati akan merasakan yang anda berkemungkinan akan terluka sekali lagi. Walaupun anda bukan lagi kanak-kanak, perhubungan membuatkan anda ‘terdedah’ seperti kita semua masih pada zaman kanak-kanak. Sebab itu, apabila terluka atau terasa hati, kita selalu bertindak primitif dan segalanya dirasakan bersifat peribadi. Ini sebabnya kebanyakan lelaki dilihat sukar untuk memberi komitmen dan kebanyakan wanita sukar untuk membenarkan seseorang mendekatinya atau mempunyai sebuah perhubungan yang berkekalan. |
No comments:
Post a Comment