Bagaimanakah seorang lelaki mewarisi defek warna daripada ibu mereka yang dikategori sebagai pembawa?
|
|
|
|
RABUN warna sebenarnya bukanlah istilah tepat bagi pesakit yang memiliki persepsi berbeza terhadap warna. Berbanding mereka yang berpenglihatan normal, dunia 'penderita' ini tidaklah berwarna hitam putih seakan siaran televisyen lama seperti tanggapan kebanyakan orang.
Sebaliknya, Ketua Jabatan Optometri, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib berkata, jenis dan tahap keseriusan defek warna adalah berbeza daripada seorang individu kepada individu yang lain.
Malah, tiada pengecaman saturasi (tone) warna yang sama antara dua orang penderita defek warna.
Oleh kerana defek warna lazimnya berpunca daripada faktor genetik, risiko lelaki mendapat masalah ini adalah lebih tinggi. Khasnya defek warna jenis merah-hijau. Gen penyebab defek merah-hijau ini diwarisi oleh kromosom X.
Disebabkan lelaki hanya mempunyai satu kromosom X, maka gen ini bersifat dominan apabila bertemu dengan kromosom lain (Y). Lelaki biasanya mewarisi 'kekurangan' ini daripada ibunya yang merupakan pembawa.
Meskipun defek warna pada amnya bukanlah satu isu besar, Haliza bagaimanapun menekankan pentingnya kanak-kanak prasekolah menjalani saringan mata atau ujian penglihatan warna awal.
Antara jenis ujian penglihatan warna yang biasa digunakan oleh pakar mata ialah kepingan warna Ishihara, D-15, FM 100 Hue dan Anamaloskop.
Ujian FM 100 Hue misalnya, mampu mengesan keseriusan defek warna seseorang. Pengesanan awal boleh mencegah mereka yang mengalami defek warna daripada membesar dengan kekeliruan warna.
"Jika ibu bapa tahu anak ada defek ini, jadi sejak awal lagi bolehlah latih mereka mengingati dan tidak keliru dengan warna.
"Lagipun, masa di tadika pun mereka sudah didedahkan dengan alat-alat pembelajaran yang berwarna-warni. Misalnya pensel warna," katanya dalam satu pertemuan bersama Kosmo! baru-baru ini.
Tanpa menjalani ujian penglihatan warna dan kepekaan ibu bapa, adalah sukar untuk masalah defek warna ini dikesan. Jelas Haliza lagi, defek warna juga tidak semestinya kongenital. Ia boleh berpunca hasil kesan daripada sesetengah jenis penyakit yang dihidapi oleh pesakit dewasa.
Tidak seharusnya melabelkan defek warna sebagai satu kecacatan, beliau berkata, kelemahan ini sebenarnya boleh diperbetulkan dengan sejenis kanta sentuh tinta khas. Namun, kanta khas ini hanya akan disyorkan kepada pesakit dewasa berdasarkan kes-kes tertentu.
"Hanya selepas menjalani ujian penglihatan warna, barulah kita tahu siapa yang sesuai untuk kanta itu. Itu pun bukan semua kes (pesakit) yang layak akan disarankan memakai kanta sentuh khas tersebut.
"Sebabnya mudah. Melainkan tujuan pesakit itu adalah untuk menikmati peluang melihat pelbagai jenis warna, misalnya dalam kerjaya seorang pelukis atau jurufoto, itu boleh. Tetapi, kalau untuk pemandu bas ataupun permintaan ibu bapa agar anaknya boleh jadi jurutera, itu memang tidak disyorkan," terangnya lanjut.
Kategori kumpulan kerjaya yang layak tetapi tidak disyorkan kanta sentuh khas itu adalah kerana risiko keselamatan diri dan orang lain yang harus diutamakan.
Tambah Haliza, satu saringan yang dilakukan ke atas 4,000 pemandu berlesen baru di Malaysia pada tahun 2006 mendapati 2.2 peratus daripadanya memiliki defek warna.
"Bayangkan, 2.2 peratus pesakit defek warna ini masih berada di jalan raya. Ada pemandu defek warna yang bijak menghafal kedudukan warna lampu isyarat.
"Tetapi, bagaimana pula dengan mereka yang serius defek warnanya? Mereka ini tidak sama sekali boleh membezakan warna lampu isyarat," ujarnya.
Sementara itu, Perunding Optalmologi Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Dr. Zainal Mohamad juga memberitahu, pakar perubatan tidak boleh mempertaruhkan walau satu peratus pun risiko kepada kategori pesakit defek warna yang menceburi bidang melibatkan penglihatan normal.
"Di hospital ini misalnya, kami selalu dapat pesakit yang datang dengan pelbagai sebab berbeza. Sebilangan besarnya ingin dapat pengesahan doktor untuk menduduki ujian memandu. Ada pula yang ingin meneruskan niat belajar dalam bidang kegemaran. Contohnya, kejuruteraan kimia, tentera ataupun juruterbang.
"Dalam kes seperti ini, kami hanya boleh menasihati agar mereka memilih haluan kerjaya lain jika sudah disahkan rabun warna," jelasnya ketika ditemui Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.
Biarpun pernah beberapa kali diminta untuk 'meluluskan' pesakit rabun warna demi membolehkan mereka menceburi bidang kegemaran, Zainal bagaimanapun gagal memenuhi permintaan tersebut.
Turut menekankan defek warna bukan satu masalah serius, yang penting, pesakit memerlukan sokongan dan pemahaman dari ahli keluarganya.
"Sebenarnya pesakit defek warna ini berada dalam dunia mereka sendiri. Ada ketikanya mereka mungkin rasa terpencil. Kita tidak mahu ada pesakit ini menganggap diri cacat kerana mereka juga boleh berjaya seperti orang lain.
"Jadi, kalau dari awal lagi sudah tahu anda defek warna, maka, elakkan memilih jurusan yang salah apabila memasuki universiti atau kerjaya yang memerlukan penglihatan normal. Misalnya, bidang geosains, ketenteraan atau pemandu pengangkutan awam," jelasnya lagi. - YEO LI SHIAN
No comments:
Post a Comment