|
|
Syahadah itu pula adalah perakuan mengesakan Allah sebagai yang layak disembah sekali gus menolak illah atau tuhan-tuhan yang lain. Demikian juga perakuan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah.
Sebagai umat Islam, kita wajib mempertahankan agama daripada terjebak dalam sebarang bentuk kesesatan atau perbuatan yang membawa kepada syirik.
Sebabnya, syirik adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Ini dijelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang menyekutukannya dengan sesuatu (apa pun), dan akan mengampunkan dosa selain daripada syirik itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (mengikut peraturan hukum-hukum-Nya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa juga maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya. (an-Nisaa': 116)
Persoalannya, ajaran-ajaran sesat ini adakalanya sukar dikesan dengan mata kasar. Biasanya, pada awal gerakannya ia berselindung di sebalik nama menuntut ilmu agama.
Ini menyebabkan, pengaruhnya bukan sahaja di kalangan mereka yang cetek ilmu tetapi juga di kalangan profesional waima yang berpengetahuan agama sekali pun.
Ajaran sesat adalah amalan atau ajaran yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa ia adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan pada hakikatnya ajaran atau amalan yang dibawa itu bertentangan dengan ajaran Islam sebenar yang berdasarkan al-Quran dan sunnah serta bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
Di Malaysia, berbagai-bagai ajaran sesat telah muncul dan menular dalam masyarakat. Gejala ini boleh memesongkan akidah mereka yang terpengaruh hasil gerakan yang mencari peluang menghancurkan Islam.
"Gerakan ini ada yang dijalankan secara terang-terangan dan ada juga yang bergerak secara halus dan tersembunyi tanpa disedari," kata Pegawai Hal Ehwal Islam (Penasihatan Akidah) Jabatan Mufti Negeri Selangor, M. Daruddin Taib @ Hassan.
Menurut beliau, kebanyakan ajaran sesat ini muncul berpunca daripada pengaruh kebudayaan, adat, mencari kemasyhuran, kekayaan, bermotif seks serta kepercayaan lama yang mengandungi unsur animisme dan dinamisme.
Katanya, ajaran sesat di Malaysia muncul pada abad ke-19 di Kampung Seronok, Pulau Pinang. Ia dikenali sebagai ajaran Taslim yang diasaskan oleh Mohammad Shafie atau lebih dikenali sebagai Ahmad Matahari.
Di Selangor, ajaran sesat yang mula bertapak adalah ajaran Ahmadiah/Qadiani di Jeram, Kuala Selangor pada tahun 1930-an.
"Ajaran ini telah difatwakan oleh para ulama seluruh dunia sebagai terkeluar daripada ajaran Islam," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Ancaman Ajaran Sesat serta Gerakan Misionari terhadap Keharmonian dan Kesejahteraan Masyarakat pada Seminar Bulan Kerohanian Syaaban 1430H di Sungai Terap, Tanjung Karang, minggu lalu.
Seminar anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu turut disertai oleh kira-kira 100 peserta terdiri daripada para Nazir, pegawai masjid dan guru-guru agama.
Hadir sama ialah Timbalan Mufti Negeri Selangor, Datuk Abdul Majid Omar dan Pegawai Agama Daerah Kuala Selangor, Zainal Abidin Sulaiman.
Pegawai Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Selangor, Abd. Latip Ibrahim pula membentangkan kertas kerja bertajuk Penentuan Arah Kiblat dan Hari Raya.
Daruddin berkata, ajaran sesat disebarkan melalui tiga cara iaitu pengajaran, melalui kumpulan tarekat dan melalui kepercayaan, amalan tradisi dan pemujaan.
Misionari Kristian
Kata beliau, penyelewengan kumpulan ini dalam aspek akidah adalah seperti mengaku diri sebagai rasul, Nabi Isa dan Imam Mahdi serta menafikan adanya qada dan qadar Allah.
"Penyelewengan dari sudut syariah pula dengan mendakwa solat hanya cukup dengan niat, zakat hanya memadai dengan membayarnya kepada ketua atau guru mereka sahaja dan tidak perlu menunaikan haji," jelasnya.
Setakat ini di Selangor, sebanyak 25 ajaran telah difatwa dan diwartakan sesat manakala 23 lagi sedang dalam penyelidikan.
Daruddin memberitahu, gerakan misionari Kristian juga sedang berusaha menyebarkan segala fahaman, pendidikan Eropah dan kemajuan Barat ke negara umat Islam.
Perbincangan pertama mereka diadakan di Kaherah pada 4 April 1906 yang diketuai oleh Paderi Zoemer.
Fokus utama mereka adalah mengubah sistem masyarakat umat Islam dengan perhatian utama memerangi Islam melalui pendidikan, politik, sistem kemasyarakatan dan hubungan kekeluargaan yang longgar.
"Para musuh Islam berpendapat cara paling mudah dan paling baik menghancurkan Islam adalah dengan menghancurkan sistem kekeluargaan Islam.
"Ia dengan menjadikan kaum wanitanya menuntut hak-hak yang bertentangan dengan ajaran Islam sehingga berjaya menjadikan kaum wanita ini di dalam keluarganya sendiri sebagai musuh paling besar bagi Islam," jelas beliau.
Ideologi Barat
Sekarang, kata Daruddin, dapat dilihat betapa ramai umat Islam membuka pintu-pintu rumah bagi membenarkan ideologi Barat masuk ke dalam institusi keluarga.
Menurut beliau, sikap seperti ini hanya akan membiarkan kebudayaan Barat merosakkan ciri-ciri asal kekeluargaan, menghilangkan kehormatan, kemuliaan, akidah dan masa depan institusi keluarga.
"Tanpa disedari mereka sebenarnya telah mengorbankan kemuliaan, kehormatan dan akhlak mulia semata-mata inginkan kemajuan," tambahnya.
Sementara itu, Abd. Latip berkata, ulama sependapat menghadap ke arah kiblat sebagai syarat sah solat.
Katanya, bagi mazhab Syafie ada tiga kaedah berhubung syarat sah menghadap kiblat iaitu kiblat yakin, kiblat zonni dan ijtihad.
Kiblat yakin adalah bagi mereka yang berada di dalam Masjidil Haram, wajib menghadapnya dengan yakin.
Kiblat zonni adalah bagi mereka yang jauh dari Masjidil Haram hendaklah menghadap ke arah masjid secara zonni melalui pertanyaan kepada mereka yang berpengetahuan seperti penduduk Mekah.
"Ijtihad pula adalah bagi seseorang yang berada di luar tanah suci Mekah. Hendaklah mereka menghadap ke arah tanah suci dengan tujuan menghadap kaabah. Ini bergantung kepada ijtihadnya untuk melaksanakan tuntutan syarak," katanya.
Abd. Latip menjelaskan, terdapat lima kaedah dalam menentukan arah kiblat.
Kaedah itu termasuk berpandukan buruj orion, bintang qutbi/kutub, matahari terbenam, matahari istiwa' di atas kaabah, tongkat istiwa', penggunaan rubu' mujayyab dan penggunaan kompas.
"Dewasa ini terdapat pelbagai kaedah dalam menentukan arah kiblat. Oleh itu, tidak sah solat seseorang jika dia solat tanpa menghadap kiblat dengan alasan tidak tahu," jelasnya.
Mengenai perbezaan tarikh hari raya antara Arab Saudi dan Malaysia, Abd. Latip berkata, ini kerana kedudukan negara yang jauh berbanding Arab Saudi.
"Kita berbeza lima jam (lewat lima jam) dari Arab Saudi sebab itu mereka sambut hari raya lebih awal daripada kita.
"Dari segi kiraan arah kiblat, beza satu darjah jaraknya adalah 126 kilometer (km) manakala beza satu minit jaraknya adalah 2 km," jelasnya.
No comments:
Post a Comment