AL-QURAN sepatutnya mendapat layanan istimewa daripada penganutnya. Layanan itu bukan hanya cara mengambil, meletak dan membacanya saja, malah lebih utama isi serta penghayatan suruhan dan menjauhi larangannya.
Menurut Ibnu Qayyim, suasana inilah yang melonjakkan umat dulu ke paras tertinggi indeks kecemerlangan.
Walaupun mereka tiada bersama kita lagi, tapi sejarah mereka tetap utuh tersimpan masih segar kalau mahu ditelaah dan dipelajari.
Mereka membaca al-Quran bukan hanya untuk panduan hukum agama sahaja, malah menjadikannya sebagai buku panduan 'the way of life' bukan hanya untuk kesempurnaan fardu ain, tapi juga fardu kifayah.
Cuba lihat apabila mereka membaca ayat al-Quran mengenai aurat, mereka bukan berlumba-lumba membeli kain di pasar untuk menutup aurat tapi mereka berfikir lebih jauh daripada itu. Mereka berfikir bagaimana hendak mencipta pakaian, bagaimana nak buat kilang pakaian, malah merancang untuk menguasai pasaran pakaian dan fesyen.
Begitu juga apabila mereka membaca ayat mengenai kebersihan, mereka bukan sahaja nak bersihkan najis, tapi juga mencari idea bagaimana nak cipta teknologi alat kebersihan, kilang, malah import-eksport barangan terbabit.
Di sebalik kepintaran itu, mereka adalah generasi punya akhlak yang tinggi.
Begitulah al-Quran memberi inspirasi berfikir dan berzikir. Sayugia remaja wajar mendekati al-Quran untuk mempertajamkan minda dan memperkuatkan peribadi. Caranya:
Masalah remaja bermula apabila kita memulaukan al-Quran, tidak membacanya. Kalau dulu, waktu Maghrib kedengaran suara insan membaca al-Quran sayup-sayup dari rumah ke rumah, tapi kini yang kedengaran hanya suara daripada televisyen dan radio. Kalau baca pun banyak salah, tidak cuba memahaminya, tidak menjadikannya sebagai panduan untuk merawat penyakit masyarakat dan kemanusiaan. Kalau adapun, dijadikan untuk hantaran perkahwinan. Ketika empayar Rom dan Parsi jatuh ke tangan orang Islam, pemimpin Rom berbicara sesama sendiri dengan penuh kekaguman mengenai tentera Muslim. Antara komen mereka, orang Islam adalah mereka yang suka bersolat pada malam hari dan berpuasa di siang hari, mereka menepati janji, menyeru orang melakukan kebaikan, melarang daripada kejahatan dan membahagi-bahagikan harta rampasan perang sama banyak antara mereka. Umat Islam berada di zon kecemerlangan kerana ditempa dan dibentuk oleh al-Quran. Melihatkan kepada suasana semasa, nampak sangat kita berada di satu lembah dan al-Quran berada di tempat lain. Prestasi yang semakin jauh dari al-Quran ini mencetuskan 1,001 macam onar dalam masyarakat. Dengarlah al-Quran, selalulah membacanya, cuba fahami isinya - akan datang penghayatan dan akhirnya terserlah al-Quran dalam bentuk tindakan dan generasi al-Quran pun berulang. Dengan kehadiran Ramadan yang mulia, banyak membaca al-Quran kerana pahala yang diberikan kepada mereka yang melakukan amalan mulia itu sangat besar. Ambil peluang yang Allah berikan itu kerana rugi jika tidak berbuat demikian. |
No comments:
Post a Comment