Tangani anak yang tidak suka makan atau terlalu cerewet memilih makanan dengan tip-tip berikut.
KEGEMUKAN atau masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang baru diperkatakan. Ibu bapa kerap risau jika anak mereka kuat makan sehingga boleh menyumbang kepada kegemukan.
Namun, tanpa disedari kanak-kanak yang cerewet makan juga menjadi masalah yang patut diambil berat oleh ibu bapa.
Ini kerana, masalah itu boleh menjejaskan pertumbuhan fizikal dan psikologi kanak-kanak berkenaan.
Ibu bapa yang mempunyai anak cerewet makan sahaja yang tahu betapa sukarnya berhadapan dengan masalah ini. Bayangkan, pelbagai cara dilakukan ibu bapa untuk menarik perhatian si kecil untuk menjamah makanan. Namun, tidak berhasil.
Masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk mengemas rumah, membasuh baju dan lain-lain terpaksa dikorbankan demi memujuk si kecil makan. Untuk itu, Pesona menyenaraikan beberapa cara menangani kanak-kanak yang cerewet memilih makanan:
Sajian comel
Sediakan sajian berkhasiat tetapi dalam bentuk yang comel untuk menggoda si kecil menjamahnya. Misalnya, anda boleh meletakkan pelbagai jenis sayuran aneka warna atau membuat bentuk mainan daripada buah-buahan pada sajian mereka.
Ini akan membuatkan si kecil makan dan mendapat zat yang secukupnya daripada sajian yang diberikan.
Pelbagaikan menu
Sediakan menu yang berlainan sekurang-kurangnya seminggu sekali. Ini dapat mengelakkan si kecil berasa jemu.
|
|
Alihkan perhatian
Jika anak tidak mahu menjamah makanan yang diberi, cuba alihkan perhatiannya. Tunjukkan pada si kecil bahawa makanan tersebut sangat enak dan anda sangat berselera ketika menikmatinya.
Ia secara tidak langsung membuatkan anak anda teringin untuk mencubanya. Selang seli menyuapkan makanan tersebut pada mulut anda dan juga pada mulut si kecil.
Temani anak
Temani anak anda sepanjang dia makan, dan jadikan waktu itu pengalaman santai yang menyeronokkan.
Jauhkan makanan ringan
Jauhkan makanan ringan seperti kentang goreng daripada rumah anda. Makanan ini mempunyai kandungan nutrisi yang rendah dan akan merosakkan selera makan anak anda terhadap makanan yang lebih berkhasiat.
Jumlah sedikit
Beri makanan dalam jumlah yang sedikit, tetapi lebih kerap. Ruang perut anak adalah kecil. Oleh itu, mereka akan berasa lapar dengan lebih cepat.
Buat sajian
Galakkan anak anda merancang dan membuat sajian bersama-sama. Ia sekali gus membuatkan anak anda bersemangat untuk menikmati makanan yang mereka sediakan bersama ibu tersayang.
Sajian lain
Jika anak anda menyukai makanan tertentu, cuba masak makanan lain dengan cara yang sama.
No comments:
Post a Comment