SELAIN bahu beku, sindrom bahu lenguh merupakan keadaan yang sering dialami oleh semua orang terutama individu yang bekerja di pejabat atau kilang.
"Ramai menganggap bahu lenguh seperti perkara biasa namun apabila ia dibiarkan tanpa sebarang terapi dan rawatan, ia mampu memberi kesan sakit yang membebankan," kata Siti Farah Aini Jamaludin.
Sindrom yang membabitkan tengkuk dan bahu ini mampu merebak ke dada bagi lelaki manakala golongan perempuan akan terasa ngilu di bahagian atas payu dara.
"Berdiri atau menghadap komputer dengan postur yang salah selama beberapa jam akan memberi tekanan kepada otot.
"Sebab itu, berehat selama lima minit pada setiap setengah jam mampu memberikan rehat kepada otot dan sendi.
"Walaupun begitu ramai orang tidak mengetahuinya. Selalunya, pesakit akan memberitahu doktor yang dia sakit tulang belikat atau sakit urat sedangkan ia sebenarnya merujuk pada sindrom bahu lenguh," katanya.
Menurut Siti Farah, lenguh bahu dan tengkuk akan berulang walaupun pesakit menjalani terapi atau pembedahan.
"Dengan lapan hingga 10 sesi rawatan terapi, lenguh tengkuk dan bahu boleh dipulihkan dengan syarat pesakit rajin bersenam dan mengelak daripada menggunakan bahagian tubuh pada postur yang salah," katanya.
Sindrom ini lebih berisiko pada perempuan kerana kebanyakan wanita tidak duduk dengan posisi yang betul.
Selain wanita, golongan yang berisiko diserang sindrom tengkuk dan bahu lenguh adalah mereka yang banyak menggunakan pergerakan tangan seperti atlet dan mereka yang suka tidur mengiring.
No comments:
Post a Comment