SI manja anda kemungkinan besar akan mengalami sakit perut sekali-sekala. Berikut adalah panduan yang boleh membantu anda memahami lebih lanjut tentang sakit perut berulang serta tanda yang perlu anda perhatikan.
Sakit di bahagian perut atau usus juga dikenali sebagai sakit abdomen. Anak anda dikatakan mengalami sakit abdomen berulangan jika dia mengalami sakit perut yang cukup serius sehingga menjejaskan kehidupan harian sebanyak tiga kali dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan.
Kajian menunjukkan bahawa kira-kira 10 peratus daripada murid sekolah berusia antara 11 hingga 16 tahun mengalami sakit abdomen berulangan.
Sakit abdomen berulang dengan sendiri sebenarnya bukan satu penyakit tetapi istilah yang digunakan untuk menggambarkan suatu gejala.
Puncanya kadang kala adalah organik, bermakna terdapat gangguan atau penyakit tersirat seperti jangkitan salur kencing, kurang toleransi terhadap laktosa, penyakit radang usus, pankreatitis (radang pankreas), gastritis (radang lapisan perut), esofagitis (radang lapisan esofagus), ulser peptik atau penahanan najis.
l Mengenal pasti
Ciri-ciri yang menjadi petanda punca organik ialah:
n Tempat sakit: Sakit bukan organik biasanya dirasai di bahagian tengah (periumblikal). Lebih jauh sakit dirasai dari bahagian tengah, lebih tinggi kemungkinan ia disebabkan oleh penyakit tersirat.
n Gangguan tidur: Adakah sakit abdomen menyebabkan anak anda terjaga di tengah malam? Jika ya, terdapat kebarangkalian lebih tinggi bahawa keadaan ini disebabkan gangguan organik yang tersirat.
n Usia kanak-kanak: Umumnya, lebih muda usia kanak-kanak, lebih tinggi peluang mereka menghidap penyakit organik.
n Kehadiran ciri-ciri penyakit organik: Demam, darah dalam najis, radang (sendi, kulit atau mata) kehilangan berat badan, tumbesaran kurang sempurna, anemia, penyakit kuning, sakit apabila kencing, tekanan darah tinggi dan ulser mulut berulang.
n Sejarah keluarga: Jika terdapat sejarah penyakit dalam keluarga seperti penyakit radang usus, penyakit ulser peptik atau gangguan renal, anak anda mengalami risiko lebih tinggi menghidap penyakit tersebut.
Sakit perut yang berulang mungkin mempunyai kesan negatif ke atas keadaan fizikal dan psikologi kanak-kanak.
Kesakitan boleh menyebabkan kanak-kanak tidak dapat hadir sekolah dan juga menjejaskan selera makan, tidur, mood dan emosi mereka.
Semua masalah ini mungkin mempengaruhi tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak, selain daripada kesejahteraan mereka secara keseluruhannya.
Jika anak anda mengalami sakit perut berulangan, lebih baik anda membawanya berjumpa doktor.
l Tertekan
Kajian mengenai sakit abdomen berulangan dalam zaman kanak-kanak menunjukkan bahawa 95 peratus daripada kanak-kanak yang mengalami sakit perut tidak menghidap apa-apa penyakit tersirat.
Dalam kes ini, punca sakit perut ialah tekanan dan masalah emosi lain berkaitan kebimbangan.
Kajian yang saya jalankan mendapati bahawa kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 15 tahun yang baru melalui peristiwa seperti kematian, perubahan alamat, gagal dalam peperiksaan penting atau dibuli di sekolah mempunyai kemungkinan lebih tinggi mengalami sakit abdomen yang berulang.
Anda tidak harus mengabaikan masalah si manja apabila dia mengerang kesakitan. Anda perlu prihatin walaupun tiada punca perubatan bagi sakit tersebut, ini tidak bermakna ia tidak benar atau anak anda membuat-membuatnya (berlakon).
Masalah yang dialami mungkin berpunca daripada tekanan, kebimbangan atau kemurungan.
Adakah sakit perut disebabkan oleh tekanan? Jika doktor tidak dapat mengesan punca organik sakit perut, sakit perut mungkin disebabkan oleh stres atau kebimbangan. Anda boleh membantu dengan memerhatikan perkara berikut:
n Masa:
Bilakah anak anda mula mengadu tentang sakit perut? Adakah sakit bermula semasa berlaku masalah keluarga? Atau adakah perutnya kesakitan semasa di sekolah? Kadangkala sakit perut tiada ada punca yang nyata.
n Gejala lain:
Anda perlu prihatin tentang ciri lain seperti sembelit, cirit-birit, sakit kepala, masalah makan, mimpi ngeri atau rasa takut untuk ke sekolah.
n Sejarah keluarga:
Tanya diri sendiri jika terdapat sejarah masalah berkaitan stres di dalam keluarga seperti sakit kepala, dispepsia, (sakit atau rasa tidak selesa pada bahagian tengah atas perut), sindrom usus terganggu, sakit belakang atau ketakteraturan haid.
l Perut si manja sakit
Anda boleh membantu melegakan rasa tidak selesa anak di rumah dengan melakukan perkara berikut:
"Baringkan si manja anda.
"Berbincang dengan anak anda tentang apa-apa perkara yang mungkin menyebabkan dia rasa bimbang atau terlalu tertekan.
"Alihkan tumpuan anak anda dengan kegiatan seperti membaca atau bermain.
"Jika sakit perut anak anda tidak dapat dilegakan, anda dinasihati untuk mendapatkan bantuan perubatan awal kerana terdapat pelbagai sebab sakit perut dan mungkin masalah itu mempunyai punca organik.
Beri perhatian untuk tidak memberi anak anda ubat yang dibeli dari kaunter untuk melegakan sakit perut, melainkan melalui preskripsi doktor.
l Menggembirakan anak anda
Jika anak anda mengalami sakit perut berulangan dan punca organik telah diketepikan, berundinglah dengan doktor untuk menyelesaikan masalah ini.
Luangkan masa untuk mendengar kebimbangan dan kekhuatiran anak anda. Anak anda perlu sedar bahawa anda bersedia untuk menyelami perasaannya.
Selain itu, luangkan masa untuk menilai keadaan anak anda secara menyeluruh, termasuk keluarga anda, suasana rumah anda dan keadaan sekolah anak anda.
Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan anak anda berada dalam suasana yang sesuai, dengan sokongan kukuh dan sifat saling memahami di rumah dan di sekolah.
Pastikan si manja anda sentiasa riang gembira dengan bertindak serta-merta apabila anda mengenal pasti isu yang mengganggunya dan menyebabkan sakit perut.
No comments:
Post a Comment