SECARA umumnya faedah dan maksud terpenting yang dapat dipetik melalui peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah menzahirkan kekuasaan Allah yang meliputi tiap-tiap sesuatu tanpa sebarang batasan.
Di sudut yang lain pula, menzahirkan ketuanan, kemuliaan dan keutamaan kekasih-Nya, Sayyiduna Muhammad SAW berbanding makhluk lain.
Telah thabit melalui riwayat yang sahih bahawa Rasulullah telah diperjalankan ke Masjid al-Aqsa dan di sanalah Baginda menjadi imam kepada sekelian rasul bagi membuktikan keutamaan dan kemuliaannya sebagai penghulu bagi sekelian nabi Allah SWT.
Apabila kita telah mengetahui dan mengakui hakikat tersebut, maka secara tidak langsung kita telah mengikrarkan di dalam diri bahawa kemuliaan Rasulullah itu adalah sentiasa mendahului para rasul yang lain.
Sebarang penghormatan yang dikurniakan ke atas mereka juga adalah terlebih layak dan utama dianugerahkan ke atas Baginda. Maka sesuailah Baginda digelar dengan gelaran penghormatan yang selayaknya dengan kedudukannya sebagai kekasih Allah yang paling agung dalam sejarah umat dan bangsa semenjak kejadian Nabi Adam lagi.
Para ulama yang telah dikurniakan basiroh (pandangan mata hati) oleh Allah telah menyatakan beberapa pendapat yang indah dan menakjubkan berdasarkan peristiwa Baginda diperjalankan ke langit.
Di sisi mereka, perjalanan Baginda ke langit melepasi tingkatan-tingkatan yang ada pada setiap tingkat tersebut para rasul yang mulia bukanlah sekadar melintasi suatu lapisan langit ke satu lapisan yang lain.
Bahkan, ia adalah suatu simbolik ruhiyyah bahawa kemuliaan Baginda itu naik setingkat demi setingkat melebihi kemuliaan para rasul dan nabi yang lain. Demikian juga Baginda naik sehingga ke suatu peringkat yang tidak boleh dinaiki oleh Jibril. Ia bertepatan dengan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Rasulullah adalah lebih mulia daripada Jibril.
Kewajaran Gelaran Sayyiduna
Di antara cara memelihara adab dengan Baginda ialah dengan menggandingkan namanya dengan sebutan yang mulia seperti Kekasih Allah, Nabi Termulia atau Penghulu yang agung atau menggandingkan nama Nabi dengan lafaz siyadah (ketuanan) seperti Sayyidi atau Sayyiduna yang bermaksud 'Penghuluku' atau 'Penghulu Kami'.
Lafaz penghormatan seumpama ini bukanlah merupakan suatu pelampauan dan berlebih-lebihan dalam memberi penghormatan. Bahkan ia merupakan suatu perkara yang baik yang telah dipetik oleh ulama-ulama tentang keharusannya melalui firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah memberikan khabar gembira kepadamu dengan kelahiran seorang bayi bernama Yahya sebagai membenarkan kalimah Allah, menjadi Sayyid (penghulu), lelaki yang menahan diri dari menurut runtunan nafsu dan sebagai seorang Nabi dari kalangan Nabi-nabi yang soleh. (al-Maidah: 39 )
Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa Allah telah menggelarkan Nabi Yahya sebagai Sayyid. Maka adalah terlebih utama bagi kita menggunakan lafaz 'Sayyiduna' atau 'Tuan' atas Penghulu Sekelian Rasul iaitu Sayyiduna Rasulullah SAW.
Dalam menguatkan lagi pendapat ini, Sheikh al-Islam al-Imam al-Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud yang merupakan seorang Sheikh al-Azhar yang terunggul di kurun ini menyatakan di dalam fatwanya yang bermaksud: "Adalah Rasulullah merupakan seorang yang tawaduk dan tidak memandang sesuatu melainkan sebagai suatu tanda pengabdian kepada Allah.
"Tatkala Baginda ditanya bagaimana caranya hendak mengucapkan selawat ke atasnya, maka Baginda tidak menyebut lafaz siyadah di dalam selawat tersebut.
"Akan tetapi Baginda tatkala menceritakan tentang nikmat Allah SWT ke atasnya, maka Baginda bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Aku adalah Sayyid (Penghulu Anak-anak Adam) pada hari kiamat dan aku tidaklah berbangga, di tanganku terdapat Liwa' al Hamdi (panji kepujian) dan aku tidaklah hendak berbangga-bangga dengannya. (Fatawa al Imam Abdul Halim Mahmud. Jilid 1, Halaman 270-271)
Di dalam perenggan yang lain pula beliau menyatakan tegahan terhadap orang yang melarang dan melampau-lampau dalam meninggalkan lafaz siyadah dengan katanya: "Maka yang tinggal lagi yang hendak saya nyatakan di sini bahawa sesetengah manusia terlalu melampau dalam meninggalkan lafaz siyadah terhadap Nabi SAW lalu mengharamkan sebutannya.
"Tatkala dia tidak menemui dalil syarak sebagai sandarannya untuk menghukumnya sebagai haram, maka dia pun mencipta hadis-hadis palsu yang secocok dengan hawa nafsunya iaitu mendakwa Rasulullah bersabda: "Janganlah kalian mengucapkan sayyiduna ke atasku di dalam solat".
Sesungguhnya perkataan ini bukanlah hadis dan seperti yang dinyatakan oleh al-Sakhawi dan selainnya dari kalangan ulama-ulama hadis: Hadis ini tidak ditemui asalnya dalam mana-mana kitab hadis." (Fatawa, Jilid 1, Halaman 271)
Demikian juga telah diriwayatkan banyak hadis yang mana Baginda menggelar para sahabat dengan lafaz sayyid. Semua ini secara tidak langsung menggugurkan tuduhan sesetengah pihak bahawa tidak boleh mengucapkan lafaz Sayyiduna pada nama Rasulullah kerana ia terlalu mendewa-dewakannya dan gelaran sayyid hanya untuk Allah.
Di sini dipaparkan beberapa kalam Rasulullah yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai suatu perlampauan dalam memberikan penghormatan:
Pertama: Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa tatkala penghulu bagi kaum Ansar yang bernama Saad ibnu Muaz masuk ke dalam majlis, Rasulullah memerintahkan para sahabat berdiri dengan sabda yang bermaksud: Bangunlah kalian bagi memuliakan Sayyid (penghulu) kalian. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad)
Kedua: Diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Sayyiduna Umar ra berkata: Abu Bakar adalah Sayyiduna (penghulu kami) dan beliau telah memerdekakan Sayyiduna (Bilal r.a).
Ketiga: Rasulullah SAW bersabda mengenai cucunya al Hasan, maksudnya: Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al Tirmizi, Abu Daud, al Nasa'i dan Ahmad)
Menunaikan Perintah dan Memelihara Adab
Di antara perkara yang sering dibangkitkan dan menyemarakkan lagi fitnah dalam masyarakat Islam kini adalah pendapat bahawa haram hukumnya mengucapkan lafaz Sayyiduna dalam bacaan tasyahhud ketika solat.
Ada juga pendapat yang lebih melampau daripada itu menyatakan haram dan batal solat seseorang yang mengucapkannya.
Pendapat ini pada hakikatnya dipetik dan dikeluarkan oleh hati-hati yang dikuasai nafsu. Jika dikaji dan diteliti, hanya terdapat dua sebab lemah yang menjadi dalil sandaran mereka dalam memarakkan lagi fitnah dalam kehidupan masyarakat umat Islam:
Pertama: Hadis larangan mengucapkan selawat ke atas nabi di dalam solat.
Kedua: Lafaz selawat yang diajarkan oleh Nabi SAW tiada sebutan Sayyiduna dan Nabi tidak melafazkannya di dalam solat dan tidak dilakukan pula oleh para salaf.
Dalil pertama di atas telah pun kita sebutkan mengenai martabatnya sebagai hadis dusta yang tidak diriwayatkan oleh mana-mana imam dan kitab hadis yang muktabar. Dalil yang kedua pula mengajak kita sama-sama merenung tentang bagaimana para sahabat mempraktikkan persembahan adab terhadap Rasulullah SAW dan mendahulukannya daripada menunaikan perintah.
Ketika Rasulullah gering yang membawa kepada kewafatan, Baginda SAW memerintahkan Abu Bakar r.a menjadi imam solat. Jika diteliti ini adalah suatu perintah. Akan tetapi Abu Bakar tidak berganjak ke depan untuk menjadi imam bagi menunaikan perintah tersebut. Apabila Nabi keluar dari rumahnya, maka Baginda bertanya kepadanya, lalu Abu Bakar menjawab: "Tidaklah harus bagi anak kepada Abu Quhafah (Abu Bakar) mendahului Rasulullah SAW dalam hal ini".
Maka Rasulullah mengakui (taqrir) mengenai perbuatan Abu Bakar tersebut dalam mengutamakan persembahan adabnya.
Telahpun kita ketahui sebelum ini bahawa hadis yang menerangkan kaifiat membaca selawat telah dilafazkan oleh Baginda SAW tanpa lafaz Sayyiduna dan di masa yang sama tidak terdapat dalil menunjukkan Baginda melarang atau mengharamkannya. Maka dari perkara seumpama inilah ulama fiqh menerbitkan kaedah: Al-Tarku La Yuntiju Hukman. Maksudnya, sesuatu yang ditinggalkan tidak dilakukan oleh Nabi SAW tidak membawa hukum haram selagi tiada dalil menunjukkan tentang pengharamannya. Bahkan telah didatangkan pula banyak hadis yang terdapat lafaz Sayyid disifatkan kepada Nabi SAW.
Maka tiada masalah dan terlebih utama sekiranya lafaz Siyadah diharuskan dalam ucapan selawat baik di dalam dan di luar solat sebagai suatu cara mempersembahkan adab dan memuliakan Nabi SAW.
Pendapat yang baik ini disokong dan didokong oleh ramai ulama di antaranya al-'Allamah al-Muhaqqiq al-Usuli Jalaluddin al-Mahalli dengan katanya: "Dan ucapan orang yang solat yang menambah lafaz Sayyiduna dalam tasyahhudnya adalah satu tanda menunaikan perintah memuliakan Nabi SAW berdasarkan dalil-dalil dan menambahkan lagi penerangan mengenai realiti kemuliaan Nabi (dengan melafazkan siyadah) adalah suatu adab, maka ucapan sayyiduna lebih utama diucapkan daripada ditinggalkan."
Al Hafiz Ibnu Hajar al-Haitami menaqalkan, sesungguhnya pendapat yang menyatakan bahawa menambah lafaz Sayyiduna dalam tasyahhud membatalkan solat adalah pendapat yang jelas salah, maka hendaklah ia dijauhi.
Semoga kita semua sentiasa ditawfiqkan untuk mendaulatkan ketuanan Nabi kita Muhammad SAW serta memelihara adab-adab dan hak Baginda ke atas kita dengan sesempurna mungkin.
No comments:
Post a Comment