Kes terbaru mayat bayi terendam dalam tong cat di dalam tandas tingkat tiga Wisma Bola Sepak Pahang, awal pagi 29 Jun lalu amat menyentuh perasaan. Ramai juga yang kesal dan marah serta bertanya apalah dosa bayi itu hingga sanggup diperlakukan sedemikian oleh ibunya sendiri.
|
|
Namun, persoalan dalam kejadian itu tidak semudah yang dilihat. Pastinya, si ibu itu tidak keruan dan tenggelam punca hingga tergamak ‘membunuh’ anak sendiri.
Walhal, anak pinak itu adalah antara perhiasan hidup yang amat diidamkan oleh pasangan suami isteri.
Ini sebagaimana firman Allah yang maksud-Nya: Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. (al-Kahfi: 46)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal bagi mengupas isu ini.
MEGA: Berdasarkan kes ini, bolehkah disimpulkan sebagai parahnya masalah sosial di kalangan belia kita?
AZIAH: Mengikut statistik Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, jumlah belia yang terlibat dalam masalah sosial tidak banyak. Mengikut Indeks Belia Dalam Gejala Sosial kita mencatat markah 87 peratus. Berasaskan indeks Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan > Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), jika markah mencapai melebih 80, negara tersebut berada pada tahap sangat baik. Dari data tersebut, Malaysia adalah negara terbaik dalam Komanwel dari segi pencapaian ini iaitu hanya sejumlah kecil sahaja belianya yang terlibat dengan gejala sosial. Cuma apabila kes-kes melibatkan golongan belia, ia mendapat liputan meluas media massa. Itu yang menjadikan ia seolah-olah kelihatan berada pada tahap yang teruk.
Sebenarnya, dari segi kelakuan, belia kita adalah yang terbaik berbanding belia di negara-negara lain. Namun begitu, soal kenapa kes melibatkan buang bayi, bunuh anak dan melahirkan anak luar nikah berlaku, ini agak merunsingkan.
Dalam kajian saya di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 2005 mencatatkan 388 bayi luar nikah. Sebenarnya, ini yang membimbangkan kita terutama ibu bapa Muslim yang mempunyai anak gadis.
Menghukum golongan yang terlibat memang mudah. Namun, apa bantuan yang perlu untuk membantu mereka terutama bayi yang baru dilahirkan?
AZIAH: Saya setuju. Zina itu perbuatan haram dan berdosa besar. Malah al-Quran sudah mengingatkan kita supaya menjauhi perbuatan itu melalui firman Allah yang maksud-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu perbuatan tercela dan suatu jalan (menuju banyak) kejahatan (dan kerosakan yang lain). (al-Israk: 32)
Di antara akibat zina adalah merosakkan nasab keturunan, mengembangkan penyakit berbahaya, menimbulkan pergaduhan dan pembunuhan. Saya tidak mahu mempertikaikan tentang itu.
Cuma apabila gadis itu telah mengandung, kita perlu membantu. Mereka juga kena mencari bantuan, lebih-lebih lagi jika mereka adalah mangsa rogol.
Kita ada beberapa agensi dan pertubuhan yang menyediakan bantuan kepada mangsa dan juga anak mereka. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) misalnya mempunyai Pusat Perlindungan Wanita iaitu Rumah Persinggahan dan Taman Seri Puteri di Cheras, Selangor.
Demikian juga dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Jemaah Islam Malaysia (JIM) yang mempunyai Rumah Persinggahan Darul Sakinah. Malah pihak swasta juga mempunyai tempat yang sama iaitu Kem Modal Insan Kewaja di Gombak.
Malah, kalau mangsa pergi ke JKM atau NGO yang berkaitan memang mereka akan diberi bantuan. Kadang-kadang bantuan yang dihulurkan itu lebih daripada bidang tugas pegawai yang berkenaan. Sebabnya, mereka kasihan kepada mangsa dan juga bayi yang tidak berdosa itu.
Memang dari segi perundangan, mereka yang berzina ada hukumannya. Cuma, kes-kes yang dilaporkan sahaja akan dihukum. Tetapi jangan salah anggap bahawa dengan tidak menghukum, kita galakkan zina.
Pada masa yang sama, mangsa juga diberi peluang kedua. Sebabnya, kebanyakan yang terlibat dalam kes mengandung luar nikah adalah golongan muda yang perjalanan hidup mereka masih panjang.
Saya tertarik dengan Baitulmal Negeri Sembilan yang menyediakan khidmat kaunselor percuma di stesen bas di Seremban. Sekurang-kurangnya, golongan bermasalah ini boleh mendapatkan nasihat atau meluahkan apa yang terbuku di hati mereka kepada kaunselor berkenaan.
Dalam banyak kes, ibu bapa turut marah-marah sehingga ada yang 'membuang' anak gadis mereka yang mengandung luar nikah. Adakah ini menyelesai atau merumitkan lagi keadaan?
AZIAH: Dalam situasi ini, ibu bapa perlu menjadi tempat 'mendengar' yang paling baik kepada anak-anak atau mangsa. Jangan pula, ibu bapa bertindak keterlaluan memukul sehingga ada yang menghalau anak keluar rumah dan tidak mahu mengaku mangsa sebagai darah daging mereka.
Sebaliknya, ibu bapa juga perlu muhasabah diri, apakah kesilapan mereka sehinggakan anak itu tadi boleh terlibat dalam seks luar nikah. Tentu ada silapnya.
Apabila timbul masalah begini, ibu bapa sepatutnya membantu menyelesaikan bukannya menambah lagi kekusutan yang berlaku. Jika menambah lagi masalah, ia akan menjejaskan lagi emosi anak kita tadi menyebabkan mereka rasa tidak ada lagi kasih sayang dan tempat untuk mengadu.
Adakalanya, tindakan ibu bapa yang terlalu rigid dan mengongkong anak-anak turut menyumbang kepada masalah ini. Anak-anak yang selalu dalam perhatian ibu bapa dan tidak pernah dilepaskan bebas lebih terdedah kepada kejutan budaya.
Anak gadis dari kampung yang tidak pernah terdedah kepada pergaulan lelaki dan perempuan atau memasuki pusat hiburan seperti disko lebih mudah terpedaya dan menjadi mangsa berbanding mereka yang sudah biasa dengan suasana itu.
Hasil kajian mendapati, kebanyakan mangsa yang mengandung luar nikah mengaku mereka melakukan seks untuk suka-suka atau bagi membuktikan kesetiaan kepada teman lelaki.
Sebab itu, saya rasa pendidikan seks kepada anak-anak perlu diajar di sekolah. Ibu bapa juga kena bersikap terbuka dalam hal ini.
Golongan bapa misalnya boleh memberitahu tentang perkembangan jantina lelaki kepada anak-anak lelaki dan ibu pula memberitahu anak perempuan.
Begitu juga di sekolah. Pendidikan seks ini perlu diajar supaya para murid tahu punca dan akibat daripada sesuatu perlakuan seks itu.
Adakalanya akibat terlalu mengongkong, ibu bapa tidak mahu menjelaskan bab seks apabila ditanya oleh anak-anak yang meningkat remaja. Ini kadang-kadang menjadi punca budak lelaki cepat terangsang sehingga terlanjur apabila disentuh oleh pelajar wanita.
Kes ini juga menunjukkan bahawa ada umat Islam memang tidak lagi menjaga tepi kain orang. Adakah tindakan ini betul?
AZIAH: Tindakan begini kurang tepat. Namun ia berlaku kerana masyarakat kita kini semakin individualistik. Tiada lagi semangat kejiranan yang kuat.
Kalau jiran bertanya tentang anak atau suami kita yang agak lama tidak kelihatan, mereka dianggap suka menjaga tepi kain. Tetapi semangat inilah yang menjadi amalan masyarakat dulu-dulu di kampung. Ternyata ia berjaya memelihara kerukunan hidup bermasyarakat di kampung.
Ia bukan sahaja baik tetapi mampu membendung masalah sosial di kalangan penduduk kampung. Sebabnya, apabila nampak anak jiran yang masih bersekolah merokok atau ponteng, perkara itu akan diberitahu kepada ibu bapa berkenaan.
Ibu bapa tersebut pula berterima kasih kerana dimaklumkan tentang hal itu. Tetapi sekarang, ada ibu bapa yang marah apabila dimaklumkan salah laku anak mereka. Malah, ada juga ke tahap mahu menyaman jiran berkenaan atas dakwaan fitnah.
Kita jangan lupa, masa anak-anak di rumah bukan panjang. Sebahagian besarnya, masa mereka habis di luar baik di sekolah atau pun di tempat lain. Kadang-kadang rumah hanya menjadi tempat tidur saja.
Sebab itu, kita sebagai ibu bapa yang 'terpedaya' dengan tingkah laku anak yang nampak baik atau 'pijak semut pun tak mati di rumah'. Walhal, ada ketikanya, tingkah laku mereka jauh berbeza apabila berada di luar rumah.
Ini hakikat yang perlu kita terima. Sebab, kita tidak boleh memerhatikan anak-anak kita 24 jam sehari.
No comments:
Post a Comment