Topic

ACV (1) Addin (265) agenda kristian (3) Agong (1) Akhirat (2) Akidah (5) Al-Quran (23) Al-Quran Digital Readpen (3) Amanah (8) Anak yatim (2) apple cider (1) april fool (1) Aurat (1) Bajet (1) Bajet 2014 (1) Berita (67) Bonus (1) Cerpen (2) Cinta (25) Coklatminda (1) cuka epal (1) Derma (6) derma palestine (1) Doa (8) Doa Akhir tahun (1) Doa awal tahun (1) Ebook jana RM (13) Elaun (1) Famili (50) free (4) free cash (2) free cek (1) Gaji (12) Gaji Agong (1) gaji baru DG41 (8) gaji baru guru (6) Gaji baru guru 2013 (1) gaji kakitangan awam 2015 gaji 2015 (1) Gaji MP (1) Gaji PM (1) Gaji Sultan (1) Gambar menarik (191) games (1) Gula Stevia (2) Gula stevia air zam-zam (2) guru (2) guru berkesan (1) guru oh guru (1) Hadith (27) Halal (14) Halloween (1) hari guru (1) Hari ibu (1) Hijrah (11) Hudud (2) Hukum (10) ilearn (1) ilearn ace (1) ilearn sasbadi (1) ilearnace (1) ilmu (6) Imam Mahdi (1) internet (1) IRM (1) Islam (1) isreal (1) Isu (302) jadual gaji 2015 (1) Jaga aurat (1) jam azan (1) Jenaka (65) Jom belajar (35) Jom melabur (10) Kesihatan (147) Kiamat (2) komputer (3) Kristianisasi (1) laksa sarawak (1) laksa sarawak hj Manan (1) Make money (53) MAS (1) MAS MH17 (1) MAS MH370 (1) Meaning of life (1) MH17 (1) MH370 (1) mindtech education (1) My Qalam (4) myqalam 4 kids (1) onexox (1) online survey (1) pa (1) PAK21 (1) palestine (1) Pasport Khulafak (3) PasportRasul (4) paste laksa (1) paste laksa sarawak (1) pembelajaran online (1) percuma (5) perlindungan takaful (6) Pilihanraya (2) Plan Medical card (1) Plan Ummah (1) PM (2) Politik (4) promosi (1) PRU 12 (1) PruBSN (6) prubsn takaful (1) Rasul (2) Rasulullah saw (3) Raya (1) Renungan (153) Rezeki (14) RM percuma (2) rumah rasul (1) Saham akhirat (1) sajak guru (1) sajak guru oh guru (1) sasbadi (1) sasbadi online (1) SAVE PALASTINE (5) Sedekah (2) Seminar buat RM (2) Sesat (1) siapalah kita (1) sifir gaji SPBA (7) Sifir gaji SPBA terkini (6) sifir gaji SSM (3) simkad (1) simkad onexox (1) simkad RM10 (1) simkad termurah (1) SPBA (6) SPBA 2012 (3) spba batal (3) SSM 2012 (2) SSM baru (2) Stevia (1) Sultan (1) sunnah (3) survey (1) survey online (2) Syiah (1) Taat ibu bapa (1) takaful (6) takwim (3) takwim 2014 (1) takwim 2015 (1) takwim 2016 (1) Takwim persekolahan 2015 (1) takwim persekolahan 2016 (1) telur tiruan (1) umat (1) Ustaz Haslin (2) valentine (2) web hosting (4) xox (1) zionis (1)

Total Pageviews

Jul 7, 2009

Bila hilang nikmat dan rasa


BUAH, apa jenis sekalipun, membekalkan banyak keperluan nutrien seperti vitamin, garam galian, serat dan juga air.


MAKAN! Satu proses membekalkan nutrien serta tenaga yang diperlukan badan, juga antara nikmat besar kehidupan.

Walaupun kebanyakan kerja penghadaman dilakukan perut dan usus, ramai yang lebih gemar mengamal pemakanan berpandukan rasa lidah. Pilih yang sedap, bukan yang perlu!

Manusia sememangnya perlu makan untuk hidup dan nikmat makan bagaikan bonus, seperti mana kelebihan nikmat hubungan seks dalam proses mendapatkan zuriat.

Namun, masih ramai tidak sedar bagaimana pilihan pemakanan menentukan keutuhan sistem penghadaman badan.

Secara mudahnya, jika hidup untuk makan, pastinya mudarat kepada salur gastro usus. Akhirnya, tanpa kemampuan menghadam, hilanglah keistimewaan nikmat makan.

Memelihara

Kita sebenarnya tidak akan kekal memiliki badan yang cergas dan sihat seumur hidup jika hidup sesuka hati.

Setiap yang masuk ke dalam badan pasti akan meninggalkan kesan, sama ada udara yang disedut, air yang diminum dan juga apa yang dimakan.

Organ terbesar manusia, kulit, juga boleh menyerap bahan luaran, yang baik dan diperlukan, mahupun yang toksik dan merosakkan.

Tidak keterlaluan dikatakan badan manusia mula menerima hentaman demi hentaman bahan asing sejak dari dalam kandungan lagi (melalui darah ibu).

Kemampuan bertahan, melindung dan memperbaiki kerosakan menggunakan nutrien yang diterima badan menjadi kunci jangka hayat seseorang.

Bekalan cukup bahan yang diperlukan dan mengurangkan sebanyak mungkin bahan berbahaya menjadi kunci untuk kita cergas dan cerdas seumur hidup.

Tiada gunanya umur panjang jika kualiti hidup begitu teruk dengan bermacam jenis masalah dan penyakit!

Gastro usus bagaikan satu sistem pemprosesan dan penyampaian nutrien makanan mengikut keperluan badan.

"Sistem penghadaman yang sihat membolehkan badan menghadam makanan dan menyerap nutrien dengan berkesan.

"Jika sistem penghadaman kita lemah, usus kita (tapak penyerapan nutrien makanan) akan kehilangan keupayaan menyalurkan nutrien dari makanan untuk keperluan badan," jelas Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau yang merupakan Presiden of Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia menegaskan kita perlu sedar bahawa keseimbangan sistem penghadaman memberi kesan terus kepada bekalan nutrien badan.

"Refluks esofagitis, penyakit ulser peptik, sindrom usus terganggu dan kanser kolon menjadi antara penyakit yang banyak meragut nyawa di negara ini.

"Rekod sepanjang 2006 menunjukkan penyakit sistem penghadaman sebagai punca kematian keenam utama di hospital kerajaan dan punca ketujuh utama kemasukan ke hospital," katanya.

Seperti bernafas, makan merupakan antara cara menyumbang kepada pembentukan radikal bebas, kemasukan toksin, kuman dan juga parasit ke dalam badan.

Badan berterusan menerima hentaman teruk yang berterusan jika tidak menjaga tabiat pemakanan.

Bukan sahaja masalah sistem penghadaman, ia juga memberi kesan berangkai yang membawa kepada masalah kronik lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi, masalah buah pinggang dan obesiti.

"Faktor utama yang meningkatkan risiko masalah sistem penghadaman, terutamanya untuk ulser peptik dan refluks esofagus ialah pilihan gaya hidup dan pemakanan.

"Sebab utama dan paling ketara bagi kanser kolon pula ialah sejarah penyakit dalam keluarga. Namun, faktor penyebab kedua iaitu pemakanan cara Barat (terlalu banyak daging merah dan kekurangan serat) turut menyumbang sama."

Tambahnya, amalan kurang bersenam dan lebih kerap menonton televisyen daripada melakukan aktiviti fizikal hanya memburukkan lagi keadaan.

"Stres yang berlebihan juga boleh melencongkan aliran darah dari sistem penghadaman anda. Ini juga menjejaskan kecekapan penghadaman dan penyerapan nutrien.

"Sebagai contoh, gejala Sindrom Usus Terganggu atau SUT, boleh meruncing akibat stres. Jika anda mengalami SUT, stres boleh merangsang kekejangan dalam kolon."

Dr. Muhammad Radzi menegaskan kawalan stres juga menjadi keutamaan dalam mengurang dan mengelakkan masalah mahupun penyakit sistem penghadaman.

Petanda

Sakit perut, sembelit, muntah, cirit-birit dan bermacam lagi gejala menjadi petunjuk kepada masalah dan ancaman terhadap keseimbangan sistem penghadaman.

Sakit perut mungkin menunjukkan masalah pada perut, usus dan organ-organ lain dalam abdomen.

Muntah dan cirit-birit pula menjadi antara cara badan membuang toksin dan kuman berbahaya dari badan, secepat mungkin. Ia juga menjadi petanda bagi beberapa masalah atau penyakit pada sistem penghadaman.

'Sakit perut' juga sering kali diabaikan, cuma sebagai satu ketidakselesaan biasa dan tidak mengancam nyawa.

"Kesedaran tentang kesihatan penghadaman di kalangan rakyat Malaysia tidak setinggi masalah kesihatan umum lain seperti sakit jantung, diabetes dan obesiti.

"Kesedaran dan pendidikan menjadi antara komponen penting untuk menguruskan segala isu masalah kesihatan, termasuklah kesihatan gastrousus. Pengetahuan yang lengkap akan membantu orang ramai memahami dan menguruskan masalah yang dihadapi."

Dr. Muhammad Radzi memberi contoh penyakit refluks asid perut yang dapat dikawal ataupun menjadi semakin teruk berdasarkan tabiat pemakanan serta jenis makanan yang dipilih.

"Dengan pengetahuan yang sewajarnya mengenai penyakit dan pencegahan, segala gejala ini boleh dikawal dan dielakkan," katanya.

Salur penghadaman bagaikan dua pintu gerbang masuk dan keluar yang melalui satu terowong yang amat panjang (6.5 meter atau 20 kaki panjang).

Apa yang masuk dan dikeluarkan (dibuang) bakal menentukan keadaan di dalam 'terowong' tersebut.

Oleh itu, adalah amat penting untuk kita mengawal apa yang dimasukkan ke mulut, kerana ia juga akan melalui keseluruhan salur penghadaman.

Jika yang dimasukkan itu membahayakan keseimbangan sistem penghadaman, pasti ia juga mengancam kesihatan badan (selagi tidak disingkirkan).

Cabaran

"Aktiviti fizikal, kawal stres, jaga apa yang kita makan, amalkan pemakanan sihat, makan makanan yang kaya dengan serat, kurangkan daging merah dan minum air secukupnya!"

Semua ini mungkin menjadi satu klise bila menceritakan isu kesihatan. Tapi, hakikatnya klise itu juga menunjukkan penjagaan kesihatan diri sebenarnya begitu mudah.

l Aktiviti fizikal - sebarang bentuk pergerakan yang melajukan pernafasan dan menggunakan sedikit tenaga. Kebiasaannya, hanya mereka yang sakit, koma atau enam kaki di bawah tanah sahaja yang langsung tidak bergerak dalam sehari.

l Kawal stres - terutamanya stres yang tidak dapat dihadapi. Hidup sentiasa ada tekanan, tetapi sebagai manusia berakal kita perlu mencari ikhtiar mengawalnya dengan cara tersendiri.

l Serat - seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin penuh. Selain mengekalkan lembapan dan melancarkan pergerakan usus, serat juga membuatkan kita lebih cepat kenyang, seterusnya mengelakkan tabiat makan berlebihan (mulakan makan dengan makanan berserat sebelum makanan berat lain).

l Kurangkan daging merah dan berlemak - banyakkan daging putih seperti ayam, ayam belanda atau ikan. Protein dari daging paling banyak diperlukan ketika membesar, dan perlu dikurangkan selepas pembesaran berhenti (selepas umur 21 tahun).

l Air secukupnya - lebih 60 peratus badan manusia terbina dari air. Banyak penyakit yang dikaji turut menunjukkan kaitan dengan kekurangan air dalam badan atau pengambilan sumber air yang tercemar dengan kuman atau toksin.

l Pilih makanan - Bukan semua makanan yang sedap melibatkan pengawet, pewarna atau perasa tiruan. Beberapa rempah ratus semula jadi mewakili keseimbangan bahan dan perasa. Namun, pilihan terlalu banyak makanan berminyak, berlemak, berkafein, mempunyai alkohol, garam atau gula berlebihan sudah pasti menjejaskan kesihatan.

l Elakkan rokok - boleh dikatakan kesemua struktur badan manusia boleh terjejas akibat amalan merokok. Umpama ketagihan dadah, merokok hanya membawa kesan negatif dan tiada kesan positif ke atas badan.

Dr. Muhammad Radzi mendakwa perbezaan perspektif antara doktor dan orang ramai dalam isu kesihatan memberi cabaran besar dalam pencegahan, saringan dan rawatan.

"Jika lebih banyak inisiatif dan tindakan diambil untuk merapatkan jurang antara doktor dan orang ramai menerusi program kesedaran dan sesi pendidikan, di semua peringkat di seluruh negara, mungkin pelbagai masalah kesihatan lebih mudah ditangani.

"Sambutan Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia Malaysia 2009 pada 29 Mei lalu menjadi contoh usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang masalah kesihatan yang kita hadapi, juga merapatkan jurang antara kakitangan kesihatan dan masyarakat umum."

Beliau juga berharap cabaran kekurangan pakar gastroenterologi dan pakar beberapa bidang lain di Malaysia dapat diatasi secepat mungkin untuk manfaat rakyat dan negara.

Mungkin ada antara kita yang tidak menyedari perkembangan tamadun manusia telah mencapai satu tahap di mana hidup boleh diteruskan tanpa organ tertentu.

Beberapa tisu dan organ yang menghasilkan hormon atau enzim khusus kini boleh dibuang sepenuhnya jika bermasalah atau diserang penyakit.

Fungsinya akan digantikan oleh hormon atau enzim tiruan yang boleh diambil sebagai pil ataupun melalui suntikan.

Tidak lama lagi, mungkin kita mempunyai pilihan untuk hidup tanpa organ tertentu. Mungkin hidup tanpa perut atau usus. Ianya satu kemungkinan yang bukan lagi mustahil untuk dicapai.

Persoalannya, adakah itu menjadi pilihan? Mampukah kita hidup seperti robot yang tidak makan, sebaliknya mendapat bekalan nutrien melalui suntikan semata-mata?

Bagi sesetengah penghidap penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit buah pinggang atau kanser kolon, hidup yang menyerupai 'robot' ini terpaksa diterima.

Hilang sudah nikmat makan dan makanan memandangkan sistem penghadaman dan badan secara keseluruhannya tidak dapat lagi menampung tabiat 'makan mengikut rasa'.

Suntikan, ubat dan catuan makanan menjadi satu kebiasaan yang menyerupai permulaan hidup tanpa makanan.

Sementara waktu masih mengizinkan, ambil iktibar dan pandang lebih setapak ke hadapan. Fikirkan bagaimana nada mahu hidup di hari tua dan fahami setiap pilihan hari ini menjadi penentu segalanya.

Pendidikan, kerjaya, kewangan dan kemewahan pasti tiada maknanya jika anda hidup terikat tanpa nikmat hidup semudah makanan dan dibelenggu penyakit dan masalah kesihatan yang tiada penghujungnya.

Ambil satu langkah kecil ke arah hidup lebih sihat. Kemudian ambil satu lagi langkah, dan lagi, dan lagi.

Setiap langkah, kecil atau besar akan memberi anda lebih peluang untuk melayari usia emas tanpa sebarang sekatan, halangan atau sesalan.

Setiap langkah membolehkan anda terus menikmati hidup, termasuklah nikmat makan dan makanan.

No comments:

Post a Comment