Disebabkan itu, ada ibu bapa berusaha menunaikan segala permintaan anak hingga istilah ‘tidak boleh’ langsung tidak diguna pakai.
Sewaktu kecil, barangan diminta anak masih mampu dibeli, tetapi apabila dia pandai memilih barangan berjenama atau meminta barangan mewah, ibu bapa mula mengeluh kerana tidak larat memenuhi segala kemahuannya.
Banyak faktor menyebabkan ibu bapa mudah ‘cair’ dengan rayuan anak kecil yang mahukan sesuatu, misalnya bimbang jika tidak ditunaikan, nanti ralat jika berlaku kejadian tidak diingini pada anak.
Ada ibu bapa menuruti kemahuan anak disebabkan terlalu sayangkan anak yang juga satu-satunya cahaya mata hingga menjadikan anak ‘mua’ atau terlalu dimanjakan.
Kes terlalu manjakan anak juga mungkin berlaku pada suami isteri yang lambat mendapat anak, cuma ada seorang anak perempuan atau anak lelaki atau di kalangan keluarga kaya.
Ada juga ibu bapa yang berpendapat apa salahnya memanjakan anak dengan kemewahan kerana pendapatan atau rezeki diperoleh daripada penat lelah bekerja sememangnya untuk anak.
Tambahan pula, banyak masa dihabiskan di pejabat dan terlalu sedikit masa bersama anak, terasa bersalah pula jika tidak dapat menggembirakan hati anak.
Apapun, bukan itu caranya menunjukkan kasih sayang kepada anak. Ada ibu bapa gagal membezakan antara mencurahkan kasih sayang dengan sikap terlalu memanjakan anak. Memberi kasih sayang bukan bermakna memberi sepenuh kebebasan kepada anak kerana tindakan itu hanya merugikan anak dan ibu bapa sendiri.
Ibu bapa harus menggunakan kaedah pendidikan seimbang iaitu memenuhi permintaan anak biarlah berpada. Sesekali tiada salah anda menghampakan permintaan anak yang meminta mainan walaupun harganya mampu anda dibeli.
Ketika anak menarik muka masam atau merajuk kerana tidak mendapat barangan dihajati, cuba selitkan nasihat dan renungan mengenai nasib kanak-kanak daripada keluarga susah.
Anda boleh menunjukkan contoh ketika menonton televisyen, misalnya, “Tengok anak orang tu. Kasihan dia, makan nasi dengan kicap saja. Kita patut bersyukur dapat makan sedap setiap hari. Mainan langsung tak ada. Amin ada mainan banyak. Mesti kena pandai jaga, jangan rosakkan dan jangan asyik nak beli yang baru saja.”
Ibu bapa juga boleh menunaikan permintaan anak tetapi mengenakan syarat tertentu seperti jika dia berkelakuan baik dan menuruti perintah, baru permintaannya ditunaikan.
Selain itu uji perasaan anak dengan menunaikan permintaannya pada tempoh tertentu, misalnya selepas dia meminta berkali-kali atau ketika dia sudah lupa.
Cara ini dapat mendidik anak bukan semua perkara boleh diperoleh pada waktu berkenaan, selain mengajarnya menghargai sesuatu barangan.
Elak terlalu memanjakan anak dengan membiasakan mereka makan atau minum secara berlebihan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.
Jika anak asyik merungut atau terlalu cerewet memilih makanan, ingatkan dia mengenai keadaan kanak-kanak yang kebuluran di negara miskin dengan menunjukkan contoh menerusi media elektronik dan cetak.
Cara ini dapat mengajar anak mensyukuri nikmat diberi Allah dan mengajaknya berfikir mengenai kehidupan. Anak yang terlalu dimanjakan sukar menjadi individu lasak yang tahan menghadapi cabaran.
No comments:
Post a Comment