APABILA anak mengadu sakit perut, ibu selalunya akan terus mengurut lembut perut anaknya untuk mengetahui punca kesakitan sambil berusaha melegakan kesakitan si kecil.
Tidakpun, yang kerap dilakukan oleh seorang ibu adalah menepuk lembut perut anaknya menggunakan hujung jari untuk mengetahui adakah si kecil mengalami kembung.
Jika anak terus merengek kesakitan, ibu akan menjadi tidak keruan. Saat itu, alangkah bagusnya jika si ibu dapat bertindak seperti seorang doktor untuk mengenalpasti punca sebenar kanak-kanak itu mengalami sakit perut.
Mungkin cadangan itu kedengaran lucu atau tidak logik. Tetapi, sebenarnya jika si ibu belajar serba sedikit tentang masalah sakit perut di kalangan kanak-kanak, ia dapat membantu si kecil mendapat rawatan dengan segera apatah lagi jika kesakitannya boleh mengundang bahaya.
Sebagai permulaan, jurucakap Akademi Pediatrik Amerika Syarikat, Laura Jana berkongsi maklumat mengenai punca-punca yang selalunya terjadi apabila seorang kanak-kanak diserang sakit perut.
Sekiranya anak - kembung dan kekejangan di perut.
Kemungkinan - disebabkan makan berlebihan atau perut dimasuki angin.
Cadangan yang mungkin diberikan doktor - mengurut lembut perut si anak. Ataupun carilah ubat yang dapat membantu melegakan pedih ulu hati yang dirasai kanak-kanak tersebut.
Sekiranya anak - perut rasa sakit dan keras, malah perut juga terasa memulas,
Kemungkinan - si kecil mengalami sembelit
Cadangan yang mungkin diberikan doktor - perah buah prun atau pear untuk dijadikan jus. Tidakpun lebihkan fiber dalam diet pemakanan mereka.
Sekiranya anak - loya, muntah-muntah, cirit-birit, demam dan berasa kesejukan.
Kemungkinan - demam dan sakit perut
Cadangan yang mungkin diberikan doktor - berikan si kecil minum banyak air atau memberi makanan yang mengandungi banyak air seperti sup untuk mengelakkan kekurangan air dalam badan.
Sekiranya anak - kejang perut, muntah dan sakit perut selepas diberi makan atau minum susu.
Kemungkinan - tubuh si kecil tidak dapat menerima bahan makanan daripada laktosa.
Cadangan yang mungkin diberikan doktor - menukar kepada susu bebas laktosa dan keju.
Sekiranya anak - sakit perut bersama sakit tekak dan kadang-kala demam.
Kemungkinan - wujudnya jangkitan bakteria di tekak.
Cadangan yang mungkin diberikan doktor - doktor memberi antibiotik.
Sekiranya anak - sakit teruk di keliling pusat atau bahagian kanan perut.
Kemungkinan - Apendisitis iaitu radang apendiks
Cadangan yang mungkin diberikan doktor - perlu segera berjumpa doktor di hospital berdekatan.
Sekiranya anak - sakit perut yang dialami kanak-kanak yang disahkan sihat.
Kemungkinan - disebabkan tekanan Cadangan yang mungkin diberikan doktor - cari cara untuk mengurangkan tekanan seperti mengatur semula jadual si kecil yang berkemungkinan terlalu padat. Ataupun, sesi bersama kaunselor mungkin dapat membantu melegakan tekanan
No comments:
Post a Comment