Senja sudahpun berlabuh, namun Zakuan masih ligat bermain bola di
“Wan, kenapa balik lambat ni? Cepat mandi, maghrib dah nak habis ni”, teguran ibunya, Wan Halijah bagai angin yang berlalu, seperti mencurah air ke daun keladi. Zakuan terus masuk ke bilik dan melemparkan tubuhnya ke katil. Dengan baju yang kotor dan keringat ditubuh, akhirnya Zakuan terlena. “ Woi pemalas, apa nak jadi dengan kau ni hah? Anak lelaki sorang, tapi tak boleh harap!”, jeritan yang betul-betul di telinganya, menyentak lena Zakuan. Terpisat-pisat Zakuan membuka mata, dilihatnya Zahila sedang berdiri dengan muka singa lapar. “Along ni kenapa? Wan penatlah, jangan kacau Wan boleh tak?,” tengking Zakuan sambil cuba memejamkan kembali matanya. “Ewah, ewah, kau jangan nak mengada-ngada. Bangun sekarang! Mandi, sembahyang!. Mentang-mentang mak senyap, kau naik tocang ya!”, Zahila menarik-narik tangan Zakuan. Zakuan bingkas bangun, marah!. Dia memang tidak sebulu dengan kak longnya yang garang dan tegas, berbeza dengan si angah, Zurina yang lembut dan jarang masuk campur urusannya. Begitu juga adik bungsunya Zulaikha. “Ah, along memang suka menyusahkan orang!.” Bisik hati kecilnya.
Seperti biasa, Zakuan sampai lewat ke sekolah. Namanya sudah sebati dengan buku catatan pengawas. Sudah berkali-kali amaran diberikan oleh guru disiplin, namun tidak pernah dipedulikan. Hukuman, denda, rotan semuanya sudah, tapi kesalahan masih tetap dilakukan. Zakuan tetap Zakuan!.
Kelas 3 Delima memberi tumpuan pada p & p di depan kelas. Celoteh Cikgu Soraya dengan lenggok “penangnya” menjadikan subjek Bahasa Inggeris seronok dipelajari. Tetapi, di antara 32 pelajar yang yang sedang tekun dengan topik baru itu, Zakuan hanya memandang kosong. Fikirannya menerawang entah ke mana, mungkin Zakuan sudah pun sampai ke negara China!. Tumpuannya langsung tiada untuk mendengar penerangan Cikgu Soraya. Dia tidak berminat langsung!. Baginya sekolah cukup membosankan, inikan pula bahasa asing yang langsung tidak difahami butir bicaranya, melainkan…i…u….i love u…heheeh…Zakuan mengulum senyum…dalam hati.
“Zakuan, awak ada apa-apa soalan? Saya tengok awak dari tadi takde beri apa-apa respon pun”, suara lunak Cikgu Soraya yang sudah berada di depan mejanya mematikan lamunan Zakuan. Argghh!! Dengus Zakuan menyampah. Soalan Cikgu Soraya tidak diendahkan, pandangannya dilemparkan ke luar tingkap. Memerhati sekumpulan pelajar dengan aktiviti jasmaninya. Cikgu Soraya hanya tersenyum nipis. Raut wajahnya yang sentiasa tenang sedikit pun tidak tersentak dengan perlakuan Zakuan. Dia langsung tidak ambil hati. Walaupun baru 3 bulan dia mencurahkan bakti di sekolah itu dan sekaligus menjadi guru kelas 3 Delima, namun dia sudah cukup memahami anak muda itu. Siapa tidak kenal Zakuan, pelajar bermasalah di sekolah. Dalam rekod disiplin namanya paling popular, tapi pelajarannya amat mengecewakan. Sudah bermacam cara dan tindakan yang dilakukan oleh guru-guru, namun Zakuan tetap tidak teringin untuk berubah.
Satu hari persekolahan berlalu begitu sahaja. Zakuan tidak langsung memanfaatkan peluang yang telah diberikan kepadanya. Kelas tambahan PMR tetap dihadirinya, namun hanya sebagai syarat. Tiada impak langsung buat dirinya. “Okey, cukuplah kelas kita petang ini. Jangan lupa buat ulangkaji. InsyaAllah, saya akan berikan contoh-contoh soalan yang selalu keluar dalam peperiksaan pada kelas tambahan akan datang. Siapkan latihan yang saya beri”, tutur bicara penamat Cikgu Soraya petang itu. Sambil mengemas bukunya di atas meja Cikgu Soraya menyambung pesanannya, “Oh ya, kalau boleh saya nak setiap seorang daripada kamu bawa kamus ke sekolah. Boleh improved English kamu”, cikgu Soraya mengingatkan pelajar-pelajarnya. Sebelum keluar, Cikgu Soraya sempat menahan Zakuan. Zakuan yang nampak tergesa-gesa tidak mengendahkan Cikgu Soraya malah hampir-hampir guru kecil molek itu terjatuh dilanggar Zakuan yang bertubuh sasa. Tumpuan Zakuan hanya di padang.
Sejak 3 bulan lalu, sejak Cikgu Soraya mengajar di sekolah itu, hati Zakuan tidak pernah tenang. Bukan kerana keayuan dan kelembutan guru itu menggamit hati, tapi….kerana sikap guru itu yang terlalu mengambil berat tentang dirinya. Kerana sikap guru itu yang terlalu mengambil kisah tentang kehidupannya, walhal guru-guru lain sudah menganggapnya seperti tidak wujud. Zakuan betul-betul pelik. Dan kepelikan itu yang menggusarkan hatinya. Bukan dia tidak kasihan melihat Cikgu Soraya yang tidak pernah dipedulikannya,….cuma… keras hatinya sukar untuk dilembutkan. Dia seperti sudah berputus asa untuk terus belajar. Dia sudah jemu menghadap buku. Zakuan pernah minta ayahnya memberhentikan sahaja persekolahannya, namun ayahnya mahu dia terus belajar kerana dia lelaki, dia akan menjadi ketua keluarga suatu hari nanti. Kena cari duit. Ah….itu alasan lapuk ayah. Orang yang tidak sekolah pun boleh jadi jurawan. Boleh berjaya dalam hidup. Zakuan mengeluh lagi………..
“Woi kusyuknya..cerita apa tu Ida”, tegur Soraya kepada Farahida, teman serumahnya. Dia duduk di hadapan temannya itu sambil meletakkan dua cawan milo di atas meja. “Air untuk aku ke? Heehee…terima kasih..”, sengih Farahida menghirup milo panas tanpa menjawab pertanyaan Soraya. “Hei..aku tanya tadi. Kau tengok cerita apa malam-malam ni?”, Soraya bertanya lagi, geram melihat aksi temannya yang selamba mencelup biskut ke dalam air tanpa memberi respon padanya. “Laa…sorry, sedap sangat milo kau ni. Lagi-lagi bila dah celup biskut marrie ni. Hingga menjilat bibir”, Farahida ketawa kecil. “Malam minggu macam ni cerekarama la. Apa tajuknya tadi ye……..aaa…yassin untuk bonda!”, Farahida menghabiskan minumannya. Dia menyandarkan badannya ke sofa sambil mengusap-usap perutnya. Menandakan dia sudah kenyang. Soraya tersenyum, mengalihkan tumpuannya ke kaca televisyen 21 inci itu. Wajah pelakon Azizah Mahzan yang terlantar sakit di katil mencuri perhatiannya. “Kau buat apa kat bilik tadi? Lama aku tunggu baru keluar. Solat hajat nak dapat jodoh ye..” seloroh Farahida. “ Ke situ pulak kau ni. Aku tanda buku budak-budaklah. Kalau ada jodoh kahwinlah aku ni. Kan masih muda lagi, baru 27 tahun. Kau tu pulak? Bila si Taufeek nak masuk meminang?” Soraya mengenakan Farahida. Farahida tersengih macam kerang busuk. Teringat kepada teman lelakinya yang mengajar di sekolah menengah Teknik di Bandar itu. Sudah 3 tahun bercinta, sejak di universiti, tapi Farahida belum bersedia untuk menjadi seorang isteri. Tunggulah dulu. Farahida tersenyum lagi.
“Su, aku tengok kau care sangat kat si Zakuan tu. Kau dah tahukan Zakuan tu macam mana, buang masa kau je Su,” Farahida memecahkan suasana setelah agak lama mereka mendiamkan diri, memberi sepenuh tumpuan kepada cerita yang masih ditayangkan di televisyen. Farahida mengajar di sekolah yang sama dengan Soraya. Cuma Farahida sudah 2 tahun mengajar Matematik di situ. “Takpe lah Da. Mungkin satu hari nanti hatinya akan jadi lembut semula. Dengan budak macam tu kita tak boleh berkeras, kena sentiasa berlembut. Masa depan dia panjang lagi”, Soraya faham, Farahida sudah masak dengan sikap Zakuan sepanjang dua tahun dia mengajar pelajar itu. Matematik tidak pernahnya lulus. Merah memanjang. “Kenapa Zakuan? Apa kelebihan yang dia ada sampai aku perhatikan kau terlalu mengambil berat sangat kat budak tu?” Farahida masih tidak berpuas hati dengan jawapan Soraya. “Satu hari nanti kau akan tahu…” Soraya menjawab sambil bangun dari sofa. “Nak milo lagi?” Soraya berlalu menuju ke dapur meninggalkan Farahida terkulat-kulat sendirian. Hisss….cerita tak pernah habis, omel Farahida geram.
“ Poobalan, awak kawan baik Zakuan kan?. Boleh tolong saya tak?”, satu hari Soraya memanggil Poobalan berjumpa dengannya. “Tolong apa cikgu?..Errr Eusoff pun baik dengan Zakuan cikgu”, Poobalan teragak-agak. Apa yang Cikgu Soraya nak tanya dia ni?. Soraya tersenyum. Dia mengajak Poobalan ke kantin. Sambil minum, dia meminta Poobalan bercerita tentang Zakuan. Soraya mahu mengenali Zakuan sedalam-dalamnya. “Cikgu nak cerita yang macam mana cikgu? Sikit-sikit saya tahulah”, Poobalan bertanya. “Cerita pasal Zakuan. Keluarganya, sikap sebenarnya. Tentu awak dah tahu sangat kan? Nanti saya belanja awak makan apa yang awak nak”, Soraya cuba memancing perhatian Poobalan yang seakan berat hati nak berkongsi cerita dengannya. Lama Poobalan termenung….panjang….seperti memikirkan sesuatu, ataupun sedang menyusun ayat terbaik untuk diluahkan kepada guru baru itu. Wajah manis di sebalik tudung merah jambu itu ditenung penuh tanda tanya. Kenapa cikgu ni sibuk nak tahu pasal Zack ye?, Poobalan masih berteka teki.
Setelah hampir setengah jam Soraya mengambil masa Poobalan, dan dia agak berpuas hati dengan maklumat yang diterima, Soraya membawa Poobalan makan di sebuah restoran makanan segera sebelum menghantar pelajar India itu pulang ke rumah. Soraya sempat melihat rumah keluargan Zakuan yang berdekatan dengan rumah Poobalan. Dari jauh, dia nampak seorang wanita separuh usia sedang menyapu halaman rumah dibantu gadis kecil berambut panjang. Mungkin itu ibu dan adik Zakuan yang baru Poobalan ceritakan. Rumah yang nampak tenang dan bersih itu sejuk mata memandang. Terubat rindu Soraya pada kampung halamannya.
Soraya menghabiskan masanya malam itu di dalam bilik sahaja. Dari luar terdengar suara Farahida. Anak bungsu itu memang manja dan serba tak kena kalau keseorangan. Sebelum Soraya menyewa bersamanya, Farahida tinggal bersama Yuhanis, guru Bahasa Malaysia yang kini sudah pun mendirikan rumahtangga. Soraya hanya membatukan diri, buat-buat tidak dengar panggilan Farahida yang memanggilnya. Sekeping gambar kecil di tangannya di tatap sayu. Dia amat merindui pemilik wajah itu. Tetapi apakan daya, si dia sudah pergi buat selamanya. Yang pergi tetap pergi namun apa yang dikesalinya dia tidak sempat meminta maaf kepada yang empunya diri. Soraya tidak akan lupa, sehari sebelum pemergian insan itu, mereka bergaduh. Kerana terlampau terkejut, Soraya tidak sedarkan diri hampir sehari apabila mendengar berita pemergian Saif Imran kerana lemas. Terkilan sungguh hatinya kerana tidak berpeluang manatap wajah Saif Imran buat kali terakhir. Soraya tidak dapat menahan sebak apabila terkenangkan satu-satunya adik lelakinya. Akhirnya Soraya terlena dalam tangisan.
Zakuan terjaga dari tidurnya. Cikgu Soraya muncul dalam mimpinya. Dalam mimpinya, Cikgu Soraya tersenyum lalu pergi meninggalkannya tanpa kata-kata. Mata Zakuan terarah pada buku di atas mejanya. Dia bangkit dan membelek-belek buku yang jarang mendapat perhatian dan sentuhannya itu. Entah mengapa hatinya terusik apabila terpandang tulisan Cikgu Soraya dalam buku latihan Bahasa Inggerisnya itu. Malam itu hati Zakuan mudah tersentuh. Dia teringatkan kata-kata dan nasihat yang tidak pernah lekang daripada mulut Cikgu Soraya. Zakuan akui kedegilannya tidak membawa apa-apa kebaikan kepada dirinya. Dia terkenangkan ayahnya yang bertungkus-lumus mencari rezeki untuk mereka sekeluarga, lewat malam begini pun ayahnya masih belum pulang bertugas sebagai pengawal keselamatan. Ibunya yang masih belum tidur kerana menyiapkan tempahan jahitan, esok pagi terpaksa bangun awal untuk memasak kuih-muih dan nasi lemak. Zakuan sebak, kata-kata semangat Cikgu Soraya yang membakar perasaannya membuatkan jiwa lelakinya merintih pilu. Begitu banyak kesilapan yang dilakukan. Zakuan tekad dan berazam, apabila sekolah dibuka seminggu lagi dia akan minta maaf daripada Cikgu Soraya dan semua guru lain. Menanti cuti sekolah berakhir begitu lama dirasakannya.
Kringgggggggg……waktu persekolahan hari ini sudah berakhir, kelibat Cikgu Soraya tidak langsung kelihatan. Zakuan tercari-cari guru yang mula mendapat tempat di hatinya itu. Ketika sedang leka, Cikgu Farahida menyapa. Di tangannya ada sekotak hadiah yang cantik dibalut kertas jingga, warna kegemaran Zakuan. Hadiah itu dihulur kepada Zakuan dengan air mata bercucuran jatuh di pipinya. Zakuan tergamam! Apa kena dengan Cikgu Ida ni? Zakuan tertanya-tanya. Akhirnya tanda tanya Zakuan terjawab. Zakuan mengetahui cerita sebenar. Dengan sebak Cikgu Farahida menghabiskan cerita walaupun banyak kali terganggu menahan kesedihan yang teramat sangat. Zakuan terjelepok jatuh di lantai kantin sekolah yang lengang. Lama Zakuan duduk di tepi tiang selepas Cikgu Farahida berlalu meninggalkannya. Sampai hati Cikgu Soraya meninggalkannya ketika pintu hatinya mula terbuka…ketika semangatnya mula membara. Kemaafan belum sempat dipohon. Zakuan tidak menyangka kemunculan Cikgu Farahida membawa berita bahawa Cikgu Soraya sudahpun meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Cikgu Soraya dilanggar kereta dari belakang ketika cuba menggantikan tayar keretanya yang bocor di tepi jalan awal pagi tadi. Arwah mendapat kecederaan yang teruk di kepala dan meninggal dunia beberapa jam yang lalu. Semalam, arwah Cikgu Soraya sempat membeli sesuatu untuk Zakuan. Dan hadiah itu masih kejap dalam pelukan Zakuan.
Zakuan sampai lewat di rumah. Matanya kelihatan bengkak. Selepas mandi dan bersembahyang, Sambil menahan sebak di hatinya, Zakuan mengambil hadiah yang diterimanya tadi. Menggigil tangannya membuka bungkusan itu. Sebuah kamus dengan sepucuk surat terletak kemas dalam sebuah kotak jernih. “ Zakuan, mungkin satu hari nanti ia akan berguna buat awak. Saya sayangkan awak kerana awak sudah saya anggap seperti adik saya sendiri. Jangan biarkan keegoan memusnahkan masa depan awak yang masih panjang. – Cikgu Soraya Hanum b. Daud”. Dalam nota yang cukup ringkas itu terselit sekeping gambar Cikgu Soraya bersama seorang remaja lelaki yang seiras dengan Zakuan. Mungkinkah kerana itu Cikgu Soraya…………….Zakuan menangis lagi.
Kini…15 tahun sudah berlalu….Zakuan sedang menanti panggilan untuk melayakkan dirinya menjadi angkasawan ketiga negara. Dengan jawatan sebagai Doktor pakar dalam Angkatan Tentera Malaysia, Zakuan sudah mampu tersenyum. Kamus pemberian Cikgu Soraya masih baik dan elok dalam simpanannya. Kerana kamus itu, dia telah banyak berubah. Kerana kamus itu juga dia mampu berjaya seperti hari ini. Semuanya kerana Cikgu Soraya Hanum. Terima Kasih cikgu…..terima kasih atas segala-galanya.
No comments:
Post a Comment