Topic

ACV (1) Addin (265) agenda kristian (3) Agong (1) Akhirat (2) Akidah (5) Al-Quran (23) Al-Quran Digital Readpen (3) Amanah (8) Anak yatim (2) apple cider (1) april fool (1) Aurat (1) Bajet (1) Bajet 2014 (1) Berita (67) Bonus (1) Cerpen (2) Cinta (25) Coklatminda (1) cuka epal (1) Derma (6) derma palestine (1) Doa (8) Doa Akhir tahun (1) Doa awal tahun (1) Ebook jana RM (13) Elaun (1) Famili (49) free (4) free cash (2) free cek (1) Gaji (12) Gaji Agong (1) gaji baru DG41 (8) gaji baru guru (6) Gaji baru guru 2013 (1) gaji kakitangan awam 2015 gaji 2015 (1) Gaji MP (1) Gaji PM (1) Gaji Sultan (1) Gambar menarik (191) games (1) Gula Stevia (2) Gula stevia air zam-zam (2) guru (2) guru berkesan (1) guru oh guru (1) Hadith (27) Halal (14) Halloween (1) hari guru (1) Hari ibu (1) Hijrah (11) Hudud (2) Hukum (10) ilmu (6) Imam Mahdi (1) internet (1) IRM (1) Islam (1) isreal (1) Isu (302) jadual gaji 2015 (1) Jaga aurat (1) jam azan (1) Jenaka (65) Jom belajar (35) Jom melabur (10) Kesihatan (147) Kiamat (2) komputer (3) Kristianisasi (1) laksa sarawak (1) laksa sarawak hj Manan (1) Make money (55) MAS (1) MAS MH17 (1) MAS MH370 (1) Meaning of life (1) MH17 (1) MH370 (1) My Qalam (4) myqalam 4 kids (1) onexox (1) online survey (1) pa (1) palestine (1) Pasport Khulafak (3) PasportRasul (4) paste laksa (1) paste laksa sarawak (1) percuma (5) perlindungan takaful (6) Pilihanraya (2) Plan Medical card (1) Plan Ummah (1) PM (2) Politik (4) promosi (1) PRU 12 (1) PruBSN (6) prubsn takaful (1) Rasul (2) Rasulullah saw (3) Renungan (153) Rezeki (14) RM percuma (2) rumah rasul (1) Saham akhirat (1) sajak guru (1) sajak guru oh guru (1) SAVE PALASTINE (5) Sedekah (2) Seminar buat RM (2) Sesat (1) siapalah kita (1) sifir gaji SPBA (7) Sifir gaji SPBA terkini (6) sifir gaji SSM (3) simkad (1) simkad onexox (1) simkad RM10 (1) simkad termurah (1) SPBA (6) SPBA 2012 (3) spba batal (3) SSM 2012 (2) SSM baru (2) Stevia (1) Sultan (1) sunnah (3) survey (1) survey online (2) Syiah (1) Taat ibu bapa (1) takaful (6) takwim (3) takwim 2014 (1) takwim 2015 (1) takwim 2016 (1) Takwim persekolahan 2015 (1) takwim persekolahan 2016 (1) telur tiruan (1) umat (1) Ustaz Haslin (2) valentine (2) web hosting (4) xox (1) zionis (1)

Total Pageviews

Sep 8, 2009

Bangganya Ayah & Ibu

Muhammad pelapis ulama


Muhammad selain menguasai bidang hafazan al-Quran turut dilengkapkan dalam pelbagai cabang ilmu.


ADIK Muhammad Ahmad Zahid pastinya sudah tidak perlu diperkenalkan lagi, sama ada di khalayak rantau ini mahupun antarabangsa. Ini kerana personaliti cilik kelahiran kota metropolitan Kuala Lumpur ini, sering menjadi rebutan stesen-stesen televisyen, radio dan media cetak.

Malah kelunakan suara dan kefasihan beliau memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, apatah lagi dalam bulan Ramadan, menjadikan kemunculan hafiz muda ini sentiasa dinanti-nantikan tidak kira tua mahupun muda.

"Malam semalam dan malam tadi, Muhammad mengetuai solat sunat tarawih di Masjid Negeri Shah Alam. Boleh dikatakan sepanjang Ramadan ini juga, jadual sebelah malamnya sudah terisi penuh.

"Muhammad juga insya-Allah akan menjadi imam solat tarawih di Masjid Negeri Shah Alam sekali lagi pada Isnin malam Selasa iaitu pada 7 September (malam ini). Ia adalah atas permintaan khas adinda Sultan Selangor di mana Sultan Selangor sendiri akan bersolat berimamkan Muhammad pada malam itu. Saya berharap masyarakat Islam, khususnya yang berada di Shah Alam beramai-ramai mengimarahkan Masjid Negeri pada malam itu.

"Pada sebelah pagi pula, kalau cuti sekolah macam ini, ada juga dia memenuhi undangan mengaji daripada pelbagai pihak, selain menjayakan sesi wawancara," terang bapa Muhammad, Ahmad Zahid Zainal Abidin, 42, sebaik menjemput penulis masuk dan tatkala melabuhkan punggung di sofa empuk di rumah teres mereka yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Kesudian dan kebenaran penasihat undang-undang, Ahmad Zahid dan isterinya, Dr. Siti Khadijah Fadzil, 42, yang juga seorang doktor gigi, memenuhi sesi wawancara dan fotografi bagi terbitan Mega sempena Nuzul Quran memang amat dihargai.

Apatah lagi, ia dibuat pada cuti umum di mana rakyat Malaysia sedang meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-52 pada tahun ini.

Sempat membelek sebuah bibliografi beliau bertajuk, Muhammad - Hafiz Muda yang telah diterbitkan dan dipasarkan oleh syarikat Galeri Ilmu.

Seketika itu, penulis mengakui usaha mengangkat adik Muhammad menjadi role model, sekali gus bergelar juara itu berbaloi apatah lagi, menyedari ia bukanlah sesuatu yang mudah. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Bahkan, segala yang direncanakan oleh ibu bapa pelajar tingkatan dua Sekolah Integrasi Darul Hikmah yang terletak di Jalan Ampang, Selangor ini, bukan sekadar melahirkan anak-anak hafiz dan hafizah, tetapi perjuangan mereka masih belum selesai iaitu melahirkan pelapis ulama.

Kenangan manis

Berada di bulan Ramadan, sebenarnya mengimbau kenangan manis buat anak sulung daripada lima adik-beradik ini. Apa tidaknya, selain sibuk dengan pelbagai undangan mengaji dan bertarawih, rupa-rupanya pada Ramadan 2005, Muhammad telah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Malah kebetulan pada tahun itu juga, Muhammad sedang mengecapi ulang tahun ke 10. Lantaran itu, pastinya acap kali tibanya Ramadan, ia membawa pengertian yang mendalam buatnya.

Kini pada usia 14 tahun, hampir setiap hari Muhammad akan ke udara melalui azan Zuhur dan Asar di saluran TV 9. Beliau juga muncul melalui rancangan Mari Bertarannum juga pada siaran serupa dari Isnin hingga Khamis mulai pukul 6.30 petang.

Selain itu, beliau juga muncul dalam slot khas bacaan surah Yasin pada hari Khamis malam Jumaat setiap dua minggu di saluran Astro Oasis.

Mulai tahun 2006 hingga 2008, Muhammad sudah dilantik menjadi imam solat tarawih di beberapa masjid besar dan surau-surau di sekitar Lembah Klang.

Di samping itu, sebagai usaha dakwah beliau menyemarakkan minat masyarakat kepada al-Quran khususnya golongan remaja, Muhammad sering memperdengarkan bacaan dalam banyak acara peringkat negeri dan kebangsaan, sama ada di masjid, surau, dewan, hotel, stadium dan penjara.

Sehingga kini Muhammad telah merakamkan empat cakera padat (CD) dan sebuah cakera padat digital (DVD) iaitu Bacaan Al-Quran Juz Amma dan Surah-Surah Pilihan yang diterbitkan oleh syarikat Inteam Records, Surah-surah pilihan untuk Ibu Mengandung dan Anak-Anak Soleh, terbitan syarikat Hijjaz Records dan DVD bacaan al-Quran yang dirakamkan di Austria oleh sebuah syarikat penerbitan antarabangsa.

Dari segi penyertaan beliau dalam pelbagai pertandingan hafazan, Muhammad pada 2007, telah menjadi johan hafazan al-Quran peringkat Kebangsaan bagi kategori 1-15 juzuk. Sementara tahun lalu, menjadi johan hafazan kategori 1-30 juzuk di peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada tahun ini, menjadi johan hafazan Al-Quran peringkat Kebangsaan bagi kategori 1-30 juzuk yang diadakan di Kota Bharu Kelantan, April lalu.

Beliau juga telah dua kali menjadi johan tilawah al-Quran bagi kategori remaja peringkat Kebangsaan Petronas.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia hanya Tuhan yang tahu. Kejayaan paling membanggakan di peringkat antarabangsa ialah pada majlis Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai 2008, apabila Muhammad dinobatkan juara bagi kategori Bacaan/Suara Terbaik. Pertandingan ini disertai oleh wakil daripada 85 buah negara.

Kecemerlangan kanak-kanak yang meniti zaman remaja ini semakin menyerlah apabila mendapat dua anugerah serentak sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor dan Kebangsaan 2009.

Detik itu menyaksikan wajah gembiranya sebaik menerima anugerah Tokoh Kebangsaan Anugerah Sambutan Maulidur Rasul kerajaan Malaysia. Malah pada masa yang sama, bapanya mewakilinya menerima Anugerah Khas Saidina Ali, Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor.

Muhammad yang juga adalah 'anak angkat Jakim', mengakui penganugerahan demi penganugerahan dan pujian demi pujian itu, sentiasa menjadi cabaran dan pembakar semangat untuk beliau terus memperbaiki diri.

Ia juga dijadikan aspirasi ke arah mencapai cita-cita bergelar ulama profesional dan pendakwah yang berkesan.

Menurut Ahmad Zahid, sejak kecil Muhammad dididik dengan didikan agama dalam suasana persekitaran masjid. Sejak berusia empat tahun lagi, beliau sering berulang-alik ke masjid bersama ibu bapa untuk mendirikan solat Subuh, Maghrib dan Isyak secara berjemaah, waima rutin hariannya begitu ketat.

"Hakikatnya, melahirkan seorang al-hafiz bukannya mengambil masa dalam sehari semalam tetapi kami melalui proses yang panjang. Malah ia penuh dengan pelbagai rintangan.

"Apa tidaknya pada usia tujuh tahun, saya dan isteri terpaksa mengambil keputusan besar iaitu memfokuskan kepada bidang hafazan al-Quran semata-mata, ketika kanak-kanak seusia Muhammad memasuki persekolahan normal iaitu bidang akademik," jelas beliau.

Apa yang dilakukan ini adalah sesuatu yang belum pernah dilakukan. Jadi, secara tidak langsung ia bukan sahaja meninggalkan tekanan kepada Ahmad Zahid dan isteri tetapi juga kepada Muhammad.

"Sesungguhnya, percubaan ini umpama bahan ujian. Sebab itulah, kita terpaksa menghantar Muhammad mengikuti pengajian di beberapa buah pusat. Antaranya; Institut Al-Quran Kuala Lumpur (IQKL) di TTDI KL, Muassasah Darul Furqan di Bangsar, Maahad Tahfiz Al-Azhariyyah di Shah Alam dan secara intensif dan individu dengan Allahyarham Sheikh Hussain dari Myanmar di Petaling Jaya," katanya bersyukur, hasrat melahirkan hafiz termakbul juga semasa Muhammad berusia 10 tahun.

Tambah beliau, ketika usia Muhammad sembilan tahun, dia telah menghafaz kitab hadis Matan Al-Arbain himpunan Al-Imam Al-Nawawi, Matan Tuhfatul Atfal dalam bidang tajwid, 60 kaedah fiqh, syarah Matan Al-Ajrumiyah dalam bidang nahu dan beberapa kitab saraf dalam bahasa Arab.

Menyedari Muhammad yang semakin menjangkau ke peringkat alam remaja, Ahmad Zahid cuba menyelami jiwa anak remajanya itu menerusi pendekatan sebagai kawan.

"Kalau semasa dia kecil dahulu, kami (Ahmad Zahid dan isteri) boleh menyuruh mereka mengikut kata dengan secara arahan, tetapi kini caranya kena berbeza. Ini kerana diketahui bahawa pada usia sebegini, dia sedang mencari identiti diri.

Masa depan

"Jadi, pendekatan lebih berhikmah perlu digunakan. Namun, alhamdulillah, Muhammad ini anak yang mudah dibentuk. Tidak ada istilah kongkongan kerana dia juga ada kehidupan zaman kanak-kanaknya, cuma caranya sedikit unik dan berbeza," cerita Ahmad Zahid berkongsi pengalaman.

Dalam merencanakan masa depan Muhammad, Ahmad Zahid sudah bersiap sedia dengan perancangan rapi. Katanya, pada 2010, Muhammad akan mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), diikuti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dua tahun berikutnya.

"Tamat SPM, kami akan pastikan Muhammad menerima pendidikan peringkat universiti dengan mengambil beberapa bidang ilmu serentak. Apa yang ada dalam perancangan saya ialah bidang sains sosial, syariah dan usuluddin serta sains tulen.

"Ini bukan sesuatu yang membebankan kerana saya yakin kemampuan Muhammad kerana dia sudah ada pemantapan daya fikiran disebabkan daripada proses hafazan yang dilalui selama ini.

"Segelintir daripada kita merasakan bidang hafazan ini tidak ke mana atau setakat bergelar ustaz dan memang lumrah beginilah senarionya. Jadi, saya mahu Muhammad ini sebagai seorang hafiz yang serba boleh dalam semua bidang ilmu," tegas Ahmad Zahid yang turut ditemani isteri sepanjang perbualan pagi itu.

Bertanya petua insan istimewa dan paling rapat dalam diari kehidupan Muhammad iaitu Dr. Siti Khadijah, akui beliau apa yang selalu diamalkan semenjak disahkan mengandung anak sulung ialah sentiasa rapat dengan surah-surah pilihan yang menjadi amalan ibu mengandung seperti surah Maryam, Lukman dan Yusuf.

"Dalam bab menjaga pemakanan itu, kami tidaklah terlalu rijid tetapi seperkara yang dititikberatkan ialah cuba menjaga daripada mengambil makanan yang ada unsur syubhah atau timbul was-was," kata Dr. Siti Khadijah sopan berjubah rona ungu.

Sebagai seorang kanak-kanak yang tidak disekat tabiat semulajadinya, Muhammad juga mahir berenang dan dan kini memiliki tali pinggan hitam sukan taekwando (1st Dan). Beliau juga mengikuti kelas tuisyen Kumon Matematik, astronomi dan komputer.

Muhammad pernah menjadi naib johan pertandingan bercerita dalam bahasa Inggeris kategori 10-12 tahun anjuran Smart Kids-Utusan di PWTC pada tahun 2005.

Berkongsi rutin harian, kata Muhammad, setiap hari aktivitinya bermula seawal 5 pagi. Selepas solat Subuh di masjid bersama keluarga, beliau akan ke sekolah sehingga selepas Asar. Kemudian solat Maghrib dan Isyak di masjid bersama keluarga.

"Di antara waktu Maghrib dan Isyak itulah saya mengulangi hafazan serta membuat mana-mana kerja sekolah yang belum disiapkan. Dalam sehari, saya akan menghafaz lima juzuk dan aktiviti inilah yang dimantapkan setiap hari.

"Tentu ramai yang pelik kerana saya kurang selesa berada di luar melakukan aktiviti seperti teman-teman seusia lain. Tapi yang sebenarnya, saya lebih selesa apabila bersama dengan keluarga. Malah boleh dikatakan aktiviti keluarga kami ialah ketika mengiringi saya memenuhi ke mana-mana jemputan," jelas abang sulung kepada Siti Aminah, 13, Ismail, 9, Fatimah, 8 dan Abdullah, 2 tahun.

No comments:

Post a Comment