AL-QURAN memberitahu, kejahatan muncul melalui tiga jalan iaitu mengikut kemahuan sendiri, nenek moyang tanpa berfikir dan kepatuhan bukan kepada Allah.
Jalan pertama ialah kemahuan diri sendiri. "Kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu; dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsu dengan tidak mendapat petunjuk Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.(al-Quran, surah al-Qasas: Ayat 50)
Sama sekali tidak mungkin bagi seseorang untuk menjadi hamba Allah, sedangkan dia masih menuruti hawa nafsunya.
Dia akan terus memikirkan pekerjaan yang mendatangkan wang, usaha yang membawa kemasyhuran dan penghormatan kepada dirinya, bahkan mengejar apa saja memberikan kesenangan dan kepuasan.
Pendeknya, orang terbabit sanggup menempuh segala rintangan dengan pelbagai cara untuk mencapai tujuan terbabit, tanpa mempedulikan larangan Allah.
Mereka tidak teragak-agak menipu, rasuah dan manipulasi asalkan kehendak nafsunya tercapai.
Bagi orang ini, perintah tinggal perintah. Jadi, Tuhan bagi orang seperti itu ialah dirinya sendiri, bukannya Allah Yang Maha Agung.
"Adakah engkau nampak orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya?
Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami, Mereka hanya seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi." (al-Furqan: Ayat 43-44)
Menjadi hamba hawa nafsu adalah lebih jelek daripada menjadi haiwan.
Jika melihat alam haiwan, tiada seekor pun yang mahu melanggar batas ditetapkan, bahkan rantaian kehidupannya hanya melaksanakan peranan yang ditentukan Allah.
Tetapi manusia yang mempunyai segala-galanya apabila sudah menjadi hamba nafsu akan melakukan tindakan yang lebih 'hebat' bahkan membuatkan syaitan 'gementar.'
Jalan kedua menuju kesesatan ialah menuruti adat kebiasaan, kepercayaan dan pemikiran, malah amalan dan upacara kuno nenek moyang secara membuta tuli dan menganggap ia lebih penting daripada perintah Allah.
Apabila perintah Allah dibacakan, orang yang suka menjadi pak turut nenek moyang akan bersikap keras dan hanya melakukan amalan biasa.
Bagaimana orang yang terkena penyakit ini akan dapat menjadi hamba Allah? Tuhannya adalah nenek moyang, kaum keluarga dan suku bangsanya. Apakah hak bagi dirinya untuk mendakwa yang dia adalah hamba Allah?
"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Turutlah apa yang telah diturunkan oleh Allah, mereka menjawab: (tidak), bahkan kami hanya menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami lakukannya. Patutkah (diikut) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham suatu apapun."(Surah al-Baqarah: Ayat 170)
Jahatnya kesesatan itu adalah sedemikian rupa, sehingga semua orang menjadi dungu di setiap zaman akibat terkena cengkamannya. Kepada anak cucu diingatkan menjaga pantang larang, kononnya mengelak musibah.
Tetapi sebenarnya kesesatan menuruti kepercayaan karut marut nenek moyang itulah musibah terbesar, cuma ia tidak dimengertikan. Kesesatan mencegah mereka menerima petunjuk dari Allah, sehingga yang terang lagi bersuluh tidak kelihatan.
Ketika Nabi Musa a.s mengajak kaumnya mengikuti syariat Allah, mereka menjawab: "Apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan kami dari apa yang kami dapati nenek moyang kami mengerjakannya?" (Surah Yunus: Ayat 78)
Jalan ketiga menuju kesesatan ialah kepatuhan kepada selain Allah, seperti mengikuti setiap kata dan perintah manusia yang jelas menyisihkan perintah Allah.
"Dan jika engkau menurut kebanyakan orang di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta."(Surah al-An'am: Ayat 116)
Maksud ayat di atas memberikan penjelasan bahawa manusia hanya boleh berada di jalan lurus apabila kita menyerahkan diri sepenuhnya kepada Tuhan yang satu.
No comments:
Post a Comment