Apakah tip untuk ibu bapa yang ingin membiarkan anak berdikari seorang diri di rumah?
PADA usia berapakah, anda berasa cukup selamat untuk membiarkan anak seorang diri di rumah? Adakah mereka terlalu muda untuk dibiarkan tanpa pengawasan seorang penjaga atau sebaliknya?
Dalam sesetengah kes, ibu bapa mahu menghabiskan masa berdua-duaan tanpa kehadiran anak. Pada ketika itu, timbul persoalan sama ada anak selamat ditinggalkan seorang diri di rumah.
Ada ketika persoalan seperti itu menimbulkan perasaan bimbang sehinggakan ibu bapa terpaksa bergegas pulang biarpun sedang menghadiri mesyuarat.
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda pertimbangkan apabila memutuskan untuk membiarkan anak seorang diri di rumah tanpa penjaga:
* Secara logiknya, seseorang kanak-kanak harus berusia sekurang-kurangnya 12 tahun sebelum dibenarkan bersendirian di rumah untuk satu tempoh masa. Di sesetengah negara, faktor usia adalah berbeza. Jadi, sebelum anda melakukan perkara itu, lebih baik anda mendapatkan kepastian daripada sistem perundangan di kawasan anda terlebih dahulu.
* Anak anda perlu berasa bertanggungjawab. Usia bukan satu masalah besar. Asalkan, si anak tahu berada di rumah sendirian adalah peluang terbaik untuknya melakukan tugasan atau ulang kaji sekolah daripada menghabiskan masa bermain permainan video.
Pada masa yang sama, pastikan anak memiliki tahap penilaian yang baik. Ini bagi mencegah mereka daripada membuka pintu atau berbual dengan orang yang tidak dikenali menerusi panggilan telefon.
* Adakah anak anda bersedia untuk dibiarkan sendirian di rumah? Tidak dinafikan bahawa sesetengah kanak-kanak berasa takut apabila terpaksa bersendirian di rumah. Mungkin mereka belum bersedia. Jadi, adalah tidak perlu untuk anda memaksanya sehinggalah mereka benar-benar bersedia.
* Bagaimana pula hubungan sesama adik-beradik? Sekiranya terdapat pertelingkahan antara anak-anak anda, maka ia bukan satu idea yang baik untuk membiarkan mereka di rumah sendirian.
* Adakah rumah anda selamat? Jika anda menetap di kawasan perumahan yang selamat, pastikan pintu dan tingkap rumah anda berada dalam keadaan baik. Sekiranya terdapat sistem penggera di rumah, pastikan anak tahu menggunakannya di saat-saat kecemasan.
Ibu bapa juga perlu mengambil kira sejauh mana kawasan perumahan anda terdedah kepada risiko bahaya penjenayah dan keganasan. Jika situasinya sedemikian rupa, maka adalah tidak bijak untuk meninggalkan anak sendirian di rumah.
* Sudahkah anda mengajar anak tip-tip keselamatan yang betul? Dalam saat-saat genting seperti berlakunya kebakaran atau kemasukan pencuri, apakah si anak tahu cara menyelamatkan diri?
Sekiranya jawapan anda adalah 'ya' untuk kesemua soalan di atas, maka dengan yakinnya, si anak sudah bersedia untuk memasuki tahap tumbesaran yang seterusnya. Ikuti langkah seterusnya untuk memberi kedua-dua anak dan ibu bapa pengalaman yang mengujakan:
1. Mulakan dari bawah
Pertama sekali, biarkan anak bersendirian di rumah selama 30 minit sementara anda keluar bersiar-siar dengan haiwan kesayangan. Secara perlahan-lahan, tingkatkan tempoh masa itu kepada satu jam. Lama-kelamaan, ibu bapa boleh menyelaraskan tempoh masa mengikut kesesuaian dan keselesaan si anak.
2. Berikan penekanan kepada peraturan
Si anak perlu memahami dan jelas dengan semua peraturan yang telah ditetapkan di rumah. Ini termasuk tanggungjawab menjaga adik di rumah, waktu-waktu tertentu untuk membuat kerja rumah dan kawan daripada gender lain tidak dibenarkan berkunjung ke rumah tanpa kehadiran ibu bapa.
3. Bersedia untuk menghadapi saat-saat kecemasan
Si anak mungkin perlu mempelajari cara-cara menggunakan alat pemadam api, mendail nombor kecemasan dan memberi maklumat penting apabila bercakap dengan seorang pegawai kecemasan. Pastikan juga anak mempunyai nombor telefon ibu bapa dan saudara-mara yang lain sebagai simpanan.
4. Berlatih contoh berada sendirian di rumah.
Latihan itu amat penting untuk menunjukkan kepada anak beberapa senario yang tidak dijangka apabila bersendirian di rumah. Antaranya termasuk berdepan dengan kelaparan, kehilangan kunci rumah, membenarkan orang asing masuk ke rumah atau menangani perasaan sunyi.
No comments:
Post a Comment