|
|
Mengikut laporan terbaru mengenai kejadian ini seperti yang disiarkan pada 2 Oktober lepas, sepasang suami isteri terkejut apabila sejadah di bilik sembahyang mereka tiba-tiba berdiri tegak menyerupai orang sedang solat.
Dalam kejadian yang berlaku di Taman Haji Mohd. Amin Bukit Mertajam pada pukul 9.45 malam, Mohamad Shuhaimi Md. Ilias, 26, dan isterinya, Zainab Ramli, 26, berselisih pendapat mengenai kedudukan sebenar kiblat rumah mereka sebelum pergi ke ruang tamu untuk memandikan anak perempuannya manakala isterinya pula pergi menggosok pakaian.
Tidak lama kemudian, Zainab tiba-tiba meluru kepada suaminya dalam keadaan muka pucat dan terkejut dan memberitahu sejadah yang dihamparkan tadi sudah tegak seperti orang sedang solat antara dua sujud.
Suaminya kemudian menghubungi keluarga dan jiran terdekat yang kemudian datang dengan kompas untuk membuat ukuran dan ternyata kedudukan sejadah itu tepat menghala ke arah kiblat.
Lebih mengejutkan berita mengenai kejadian itu tersebar begitu cepat sehingga ada orang awam dari merata tempat termasuk Kuala Lumpur yang sanggup datang untuk menyaksikannya.
Namun perkara ini berakhir setelah dua pegawai daripada Jabatan Agama Islam negeri menasihat agar sejadah itu dilipat bagi mengelak daripada berlaku perkara khurafat yang boleh menyesatkan akidah umat Islam.
Bagi pasangan suami isteri ini mereka percaya ada hikmah di sebalik kejadian itu dan menganggapnya sebagai tanda kekuasaan Allah SWT.
Peristiwa sama turut dialami oleh seorang wanita yang singgah di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu untuk menunaikan solat di Masjid Kristal namun terkejut apabila melihat dua helai sejadah tiba-tiba bercantum sebelum 'bangkit berdiri' di sisinya pada awal Julai lepas.
Pada awalnya kakitangan kerajaan berasal dari Dungun yang tidak mahu dikenali itu menyangka objek tersebut hanya bayang jemaah lain yang mendirikan solat di sebelah kirinya.
Namun setelah selesai solat, wanita itu terkejut apabila melihat dua helai sejadah bercantum dalam keadaan menegak seolah-olah berdiri.
Menurutnya, pengalaman pelik itu amat luar biasa dan bersyukur kerana 'terpilih' menyaksikannya.
Seorang petugas di Masjid Kristal menjelaskan, kejadian tersebut mungkin ada kaitan dengan jin Islam kerana sebelum ini seorang wanita mengadu mengenai kejadian yang hampir sama.
Pada bulan September lalu kejadian sama berlaku di Kampung Tok Sangkut, Repek Pasir Mas serta di Meru pada Februari 2008. Sebelum itu pernah disiarkan dalam You tube kejadian yang sama terjadi di Muscat, Oman. Itu merupakan antara beberapa kejadian yang berlaku berkaitan dengan fenomena sejadah berdiri.
Rata-rata berpandangan kejadian sejadah berdiri ini yang tidak mampu dihuraikan oleh akal adalah tanda dan petunjuk kebesaran Tuhan. Allah boleh melakukan apa sahaja. Segala kejadian alam, langit dan bumi, siang dan malam adalah antara tanda-tanda kebesaran Tuhan.
Ada pula yang berpandangan kejadian pelik sebegini adalah cara Tuhan memperli atau berlaku sinis kepada manusia. Jika dengan ilmu, kefahaman dan pimpinan guru pun manusia tidak mahu sembahyang, maka kita didedahkan dengan kejadian sejadah yang tidak bernyawa sedang sembahyang.
Saintifik
Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Mohd Yusuf Othman menyifatkan kejadian ini mungkin ada hikmah yang yang cuba ditunjukkan oleh Allah SWT kepada umat manusia.
Beliau yang merupakan seorang ahli fizik berkata kejadian sebegini adalah sukar untuk dijelaskan secara saintifik kerana pergerakan yang berlaku perlu diperjelaskan secara terperinci.
Namun umat Islam perlu melihat perkara ini sebagai kekuasaan Tuhan tetapi tidaklah sehingga berlebihan sehingga boleh mengakibatkan syirik dan khurafat.
Menurut beliau secara umumnya sejadah yang berdiri seperti ini memerlukan tenaga atau "daya" untuk bergerak. Daya ini akan diperoleh melalui tujuh cara iaitu sama ada melalui proses elektrik, mekanik, sinaran, haba, magnet, nuklear atau kimia.
"Mungkin selepas ini ada ahli saintis yang mahu menjalankan kajian tentang kejadian ini dan saya mengalu-alukan pandangan mereka,". katanya
Mohd Yusuf berkata, secara fitrahnya alam ini ada tabiinya yang tersendiri seperti pokok memerlukan air untuk hidup atau air dicincang tidak akan putus. Kemudian manusia akan mula bertanya kenapa kejadian itu berlaku dan dari situ ilmu sains mula berkembang.
Namun hakikatnya menurut beliau ilmu sains merupakan ilmu yang terbatas dan bukan ilmu yang mutlak maka beliau berpandangan kejadian sejadah berdiri bukanlah antara perkara yang boleh diterangkan secara saintifik.
Katanya, tugas ahli sains ialah memahami tabiat alam namun malangnya pemikiran saintifik kini terlalu mendominasi manusia sehingga kita semakin meminggirkan agama. Namun ilmu sains adalah tetap merupakan satu keperluan dan perlu dikuasai oleh umat Islam tetapi biarlah diseimbangkan dengan ilmu agama.
Dalam pada itu menurut Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa ( UIA), Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi, beliau tidak yakin kejadian sejadah berdiri ini benar-benar berlaku.
Menurut beliau kita seringkali dihidangkan dengan cerita-cerita mistik dan luar biasa seperti api yang tiba-tiba menyala dan membakar, mutiara atau kaca yang keluar dari mata dan sebagainya dan sesungguhnya apakah perkara ini benar-benar perlu untuk didedahkan kepada umum.
Katanya semua pihak belum pasti apakah kejadian ini melibatkan sesuatu petunjuk dari tuhan.
"Apakah benar kejadian sejadah berdiri ini berlaku atau mungkinkah ia sengaja dilakukan oleh manusia dan kemudian disensasikan oleh pihak tertentu untuk menarik perhatian ramai.
"Saya melihat perkara ini lebih kepada sengaja dibuat-buat dan kemudian dibesar-besarkan," katanya.
Menurut Mahmood, beliau bukan menolak kekuasaan tuhan tetapi perkara sebegini tidak memberi apa-apa erti kepada kehidupan manusia. Manusia pula secara umumnya sangat meminati kisah-kisah sensasi sebegini, kemudian akan mula mempercayainya dan akhirnya mereka mula terlibat dalam kegiatan syirik dan khurafat.
"Jika kita lihat mereka yang percaya dengan bomoh pada awalnya melihat perkara-perkara yang ajaib seperti ini dan kemudian akan lebih mempercayainya sehingga terlibat dalam perlakuan syirik dan sebagainya,".
Sesungguhnya pelbagai penjelasan dan pandangan tentang kejadian ini adalah sesuatu yang biasa dan perbezaan pendapat sememangnya sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Memandangkan manusia adalah makhluk ciptaan tuhan yang paling sempurna mereka pastinya akan cuba mencari jawapan yang dirasakan paling sesuai untuk mengisi kehendak dan perasaan ingin tahu mereka.
Namun yang pasti bukan semua perkara boleh dijawab hanya dengan berlandaskan akal fikiran dan kaedah saintifik yang terbatas sifatnya. Apatah lagi sifat ingin tahu manusia itu juga yang akan mengheret mereka sehingga terjebak dalam kepercayaan syirik dan khurafat. Oleh itu adalah sesungguhnya hanya Allah jua yang mempunyai jawapan terhadap segala persoalan dan kemusykilan tentang segala kejadian yang berlaku di alam yang mana tuhan juga yang menjadi penciptanya.
No comments:
Post a Comment