Ertinya :
Daripada
Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu
beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami
sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak
akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam
tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal,
binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin
Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di
timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir
sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau
manusia kepada Padang Mahsyar mereka".(H.R Muslimi)
Keterangan
Sepuluh
tanda-tanda qiamat yang disebutkan Rasulullah saw. dalam hadis ini
adalah tanda-tanda qiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir
tibanya hari qiamat. Sepuluh tanda itu ialah:
Dukhan
(asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema
di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang
kafir.
Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.
Binatang
besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap
bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt.
Matahari
akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt.
tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada
orang yang berdosa.
Turunnya Nabi
Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung
pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan
mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian dan beliau
juga yang akan membunuh Dajjal.
Keluarnya
bangsa Ya'juj dan Ma'juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi
ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari
besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama
dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
Gempa bumi di Timur.
Gempa bumi di Barat.
Gempa bumi di Semenanjung Arab.
Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.
Mengikut
pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau
mengatakan: "Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari
himpunan hadis-hadis Rasulullah Saw. bahawa keluarnya Dajal adalah yang
mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan
besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi
dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah belian turun dari
langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah
permulaan tanda-tanda qiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam
cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya
peristiwa qiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang
disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu
terbit dari tempat tenggelamnya".