Sebaik-baik Orang Yang Berhijrah
Diriwayatkan
daripada Abdullah bin Amr r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang
maksudnya:” Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim
lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang
Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua
larangan Allah SWT.”
Huraian
Hijrah mengandungi hikmah yang besar
sekali peranannya dalam pembangunan ummah. Suatu kumpulan masyarakat
tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah
rosak kerana kumpulan masyarakat itu bergantung kepada individu itu
sendiri. Oleh itu hijrah amat ditekankan di dalam al-Quran dan
disebutkan sebanyak lebih 28 kali di dalam berbagai bentuk dan makna.
Dengan hijrah, hati, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih
dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin
al-Khathab r.a yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum
memeluk Islam dikenali dengan julukan “penghulu para pelaku kejahatan”,
namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani,
tawaddhu’ dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi
berkembangnya agama Islam. Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di
samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan
aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan
godaan dari kenikmatan dunia yang fana.