Pages

Aug 14, 2009

H1N1 Ragut 7 lagi nyawa

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

KUALA LUMPUR: Jumlah kes kematian berkaitan Influenza A(H1N1) di negara ini meningkat kepada 51 orang, apabila tujuh lagi kematian disahkan semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kebanyakan mereka yang menjadi mangsa dalam kumpulan berisiko tinggi sama ada menghidap darah tinggi, penyakit jantung dan keadaan imuniti (daya tahan) rendah.

Bagaimanapun, beliau terus mengingatkan rakyat supaya tidak panik dan mematuhi nasihat pencegahan diberikan.

Menurutnya, kematian hari ini (semalam) membabitkan mereka yang berusia antara empat bulan hingga 92 tahun.

Beliau berkata, buat masa ini, ada 51 kes di wad, 29 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 16 daripada 29 dalam ICU adalah kumpulan berisiko tinggi.

“Saya meminta orang ramai tidak panik kerana kira-kira 98 peratus kes menghidap HIN1 dipulihkan selepas diberikan rawatan sepatutnya.

“Jika semua rakyat kita bertanggungjawab mengikut arahan diberikan kementerian, kita yakin dapat membendung wabak ini dan ia tidak akan merebak lagi.

“Mereka yang mempunyai simptom penyakit seperti Influeza (ILI) dan masalah jantung selain mengalami demam kuat berterusan lebih dua hari dan sesiapa yang positif dengan Influenza A atau B melalui ujian pantas akan diberikan rawatan antiviral dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Pengkajian Obesiti Malaysia (MASO), di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden MASO, Mohd Ismail Mohd Noor dan Presiden Persatuan Pengkajian Obesiti Antarabangsa (IASO),

Mengulas lanjut pandemik itu, Liow berkata, kumpulan yang mempunyai simptom yang dinyatakan itu, tidak perlu menunggu pengesahan daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) atau Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, beliau mengarahkan semua hospital dan klinik merawat kumpulan pesakit berkenaan dengan segera.

“Saya juga meminta doktor memberi cuti sakit tujuh hari kepada mereka yang menghidap selesema supaya meneruskan rawatan di rumah dan tidak mendedahkan diri kepada orang ramai.

Ketika ditanya mengenai keadaan H1N1 di negara ini, Liow berkata, kerajaan berpendapat buat masa ini, belum memerlukan satu perintah darurat kesihatan walaupun kematian semakin meningkat.

Beliau berkata, bagi mengisytihar darurat berkenaan, beliau perlu melakukan kuarantin keseluruhan komuniti apabila perlu menghalang pergerakan individu secara keseluruhan.

“Apa yang pasti, kita belum sampai ke tahap berkenaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bentong, Pahang.

Mengenai cadangan mengawal penutupan sekolah, Liow berkata, kementerian meminta pihak sekolah melakukan pengawasan rapi khususnya terhadap murid tidak sihat diarah pulang dan berehat di rumah.

Menurutnya, ibu bapa juga perlu bekerjasama bagi memastikan anak mereka tidak ke sekolah jika ada menunjukkan tanda H1N1 sebaliknya terus mendapatkan doktor bagi mendapatkan rawatan segera.

No comments:

Post a Comment