Pages

Mar 20, 2009

Waspada pemikiran berlawanan Islam

UMAT Islam perlu berwaspada dengan pemikiran dan amalan supaya tidak bertentangan dengan ajaran Islam yang suci, sekali gus memelihara akidah daripada terpesong dan terjerumus ke dalam golongan yang rugi.


Pengerusi Gabungan Pendakwah Islam Selangor (GPIS), Mohd Zain Abdul Rahman, berkata mereka yang menaruh perasaan benci hukum Allah, malah memperlekehkannya akan rosak akidah.


"Demikian juga mereka yang benci atau memandang serong terhadap saudara Islam memakai serban iaitu sunnah Nabi s.a.w akan turut terbatal syahadahnya," katanya pada satu ceramah di Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesiapa mengambil (berpegang) akan sunnahku, maka ia daripadaku (daripada umatku). Dan sesiapa tidak suka daripada sunnahku, maka ia bukan daripadaku (bukan dari perjalanan umatku)." (Riwayat Ibn Asakir dari Umar)

Mohd Zain berkata, sebagai Muslim sejati, sesiapapun tidak harus membenci hukum Tuhan dalam apa bentuk sekalipun.

"Anehnya, ada juga sesetengah orang Islam sendiri tidak suka mendengar azan, konon mengganggu mereka sedang tidur.

"Ini adalah berdosa besar kerana mempermainkan hukum Tuhan," katanya sambil berpesan kepada Muslim supaya turut berwaspada dengan pengaruh liar media terutama melalui televisyen dan Internet.

"Televisyen mempunyai pengaruh kuat dalam kehidupan kita sehari-hari dengan pelbagai bentuk aksi dan sesetengah program yang boleh merosakkan akhlak generasi muda.

"Demikian juga pengaruh Internet, sepatutnya umat Islam menggunakannya bagi tujuan kebaikan, bukan bagi hiburan mengasyikkan," katanya.

Menurutnya, seseorang Muslim sejati tidak sepatutnya bergelumang dengan perbuatan fasik iaitu yang merosakkan dan tidak memandang rendah terhadap suruhan dan tegahan Allah.

"Orang fasik percaya kepada ajaran Islam, tetapi tidak mengamalkannya atau mentakwil hukum Allah mengikut kefahaman dan selera sendiri.

"Akibat fasik boleh membawa kepada kufur jika membabitkan soal akidah seperti mengutamakan pendapat manusiawi walaupun ia bertentangan dengan hukum Allah," katanya.

No comments:

Post a Comment